Oleh SOCCOM STKM
KOTA MARUDU – Kem Keluarga Katolik Siri-1 telah diadakan pada 30-31 Ogos lalu di Dewan Gereja Paroki St Theresa,Kota Marudu. Sebanyak 25 buah keluarga telah menghadiri program yang dijalankan di pusat paroki. Dengan tema “Bersama Keluargku Melayani Tuhan” buat julung kalinya kem keluarga seumpama ini telah diadakan di paroki ini.
Program itu merupakan anjuran Komiti Kerasulan Keluarga Katolik Paroki St Theresa, Kota Marudu. Objektif kem ini adalah untuk memberi penyegaran dalam hubungan kekeluargaan dan menjalinkan silaturrahim dalam kalangan komuniti yang terdapat di paroki agar dapat berjalan bersama sebagai sebuah keluarga separoki yang padu.
Kem ini juga bertujuan untuk mempersiapkan keluarga Katolik di paroki ini untuk merayakan Hari Paroki pada 29 Sept 2024 bersempena dengan lawatan pastoral Uskup Agung John Wong. Walaupun objektif asalnya adalah untuk menghimpunkan kelapan-lapan zon yang terdapat dalam paroki ini untuk bergabung dan menyertai kem tersebut namun demikian hanya terdapat lima daripada lapan zon yang telah menghantar wakil keluarga bagi menjayakan Kem Keluarga Katolik atau juga dikenali sebagai Program 3K.
Antara zon yang telah menghantar wakil keluarga adalah Zon Bandau, Zon Tandek, Zon Damai, Zon Langkon dan Zon Tagaroh. Manakala tiga zon lagi tidak dapat menghantar wakil untuk mengikuti program 3K.
Para peserta disajikan dengan tiga slot ceramah berkaitan dengan tiga kata ajaib menurut Bapa Suci Fransiskus, iaitu ‘Minta Maaf, Minta Tolong dan Terima Kasih’. Ketiga-tiga ceramah tersebut telah diwakili oleh tiga komuniti yang diberi kepercayaan untuk menyampaikan sesi ceramah tersebut.
Semasa Misa Kudus pembukaan paderi paroki Fr Rayner Bisius dan Fr Mithcelly Kiun turut hadir bersama-sama dengan para keluarga untuk merayakan Ekaristi. Dalam homili yang disampaikan oleh Fr Mitchelly Kiun, beliau berharap agar keluarga yang hadir dan menyertai kem tersebut akan mengambil peluang untuk mengalami penyegaran dalam hubungan kekeluargaan mereka.
Selain tiga sesi ceramah, para peserta turut mengalami beberapa pengalaman baharu untuk memantapkan tahap komunikasi dan memperbaiki hal yang berkaitan dengan aspek komunikasi. Para peserta bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur atas penganjuran kem tersebut yang begitu memberi manfaat dan membantu mereka memperbaiki hubungan antara sesama. Para peserta turut berpeluang untuk bermain bersama dengan keluarga dalam lapan siri dinamik bagi mengaplikasikan tiga kata ajaib yang telah mereka dengar dalam ceramah.