By Linda Edward
June 18 2020
KENINGAU – Di dalam arus pandemik yang masih berlanjutan, Paroki Katedral St Francis Xavier (KSFX) menebar ke tempat yang dalam dengan memantapkan keluarga yang disebut Gereja Domestik, untuk mengungkap iman dalam normal baharu.
Walaupun pandemik telah mempengaruhi kehidupan umat, paroki KSFX mengakui bahawa Gereja Domestik iaitu keluarga-keluarga Kristiani telah menjadi aktif dan proaktif dalam mengungkap iman di kala realiti yang sukar.
“Oleh itu, perkara-perkara yang berkaitan dengan Gereja Domestik perlulah disampaikan kepada umat agar setiap keluarga mendapat (pengetahuan dan) kesedaran,” kata penganjur, Tim Pastoral Keuskupan Keningau (PKK).
Program ‘Santai Dalam Iman’ akan diadakan khusus untuk membincangkan peranan keluarga sebagai Gereja Domestik dan bagaimana mereka dapat terus mengungkap iman dalam konteks normal baharu.
Barisan panel terdiri daripada pemimpin KSFX sendiri iaitu Uskup Cornelius Piong yang akan membincangkan Fungsi dan Peranan Gereja Domestik, Cikgu John Lainsin membincangkan topik Mengenal Normal Baharu dalam Kehidupan dan Gereja, Fr David Gasikol Mengungkap Iman Dalam Normal Baharu dan Nancy Nelly Joneh akan menyentuh hal SOP Dalam Gereja. Moderator program adalah Patrick Marius, Pengerusi Tim PKK.
Program webinar ini akan diadakan secara online melalui link Youtube Keuskupan Keningau atau laman rasmi Facebook Diocese of Keningau pada 19 Jun, jam 7.00 pm.
Program bersiri ini adalah untuk umat Keuskupan Keningau namun turut terbuka kepada semua umat. Sesi pertanyaan dan jawapan akan diadakan di mana umat boleh bertanya soalan berkaitan.
Panel pembicara juga akan membincangkan persoalan-persoalan seperti: Apa yang boleh dilakukan dan yang tidak boleh dilakukan oleh Gereja Domestik?, Bagaimana memenuhi keperluan iman umat yang berumur 12 tahun ke bawah dan 70 tahun ke atas yang tidak dibolehkan mengikuti perayaan gereja?, Gereja Domestik dan Ibadat Sabda dan lain-lain lagi.