Herald Malaysia
PAITAN – Tidak ada keluarga yang sempurna. Dalam hidup keluarga pasti ada pergaduhan dan salah faham tetapi kasih Tuhan akan memulihkan serta mengeratkan lagi hubungan sesama.
Seminar Sukacita dalam Kasih Keluarga yang berlangsung selama dua hari di Gereja St Francis Assisi, Kg Sukang di Mision Paitan telah disertai seramai 167 peserta.
Antara sesi yang disampaikan ialah Komunikasi dan peranannya dalam keluarga; Pengambilan substan dan ketagihan gajet: kesannya kepada keluarga; Cabaran keluargaku; Memahami Keluargaku; Keibubapaan Cemerlang; Harapan Keluargaku; Keluarga adalah anugerah dan bukan masalah yang disampaikan oleh Fr Arthur John.
Paderi itu memetik kata-kata Sri Paus Fransiskus yang mengatakan bahawa dalam keluarga akan selalu ada pergaduhan namun kasih Tuhan pasti dapat meleraikan semua hal yang kurang baik.
“Bergaduh dalam sesebuah keluarga itu normal namun jangan lupa meminta maaf,” kata Fr Arthur semasa menyampaikan homili dalam Misa Kudus.
Beliau mengambil Keluarga Kudus di Nazaret sebagai tauladan apabila setiap ahli keluarga kudus itu memberikan contoh yang mulia.
Fr Arthur memberi contoh Simeon dan Hana yang setia menanti kedatangan Tuhan. “Kita yang semakin berusia ini seharusnya semakin setia kepada keluarga dan Tuhan serta semakin mendekatkan diri kepada Tuhan,” katanya.
Semasa para peserta mengikuti seminar, anak-anak mereka melakukan pelbagai aktiviti seperti menyanyi, mewarna, dan melukis serta menerima hadiah selepas aktiviti mereka dipamerkan di dalam dewan.
Selepas seminar, salah seorang peserta, Julita Singki mengatakan sangat bersyukur kerana dapat mengikuti program ini.
Sudin bin Sulaiman mengatakan bahawa dia begitu bersyukur dapat mengikuti program ini serta dapat memberikan pengetahuan bagaimana mendidik anak-anak dan berdamai dalam keluarga. – Herald Malaysia