Perayaan ulang tahun kedua KekitaanFM di Tatal, Didiroy Joneh memotong kek ulang tahun, disertai oleh Uskup Cornelius Piong (kiri), Fr Roney Mailap (kanan) dan yang lain
Oleh Caroline Liew
Oct 15 2022
TATAL, Keningau – Radio Online Katolik Keuskupan Keningau KekitaanFM menyambut ulang tahun kedua pada 2 Oktober lalu dengan Rekoleksi, Misa Kudus dan Majlis Kesyukuran yang dihadiri oleh Uskup Cornelius Piong, Fr Roney Mailap, Fr Alberto Ireneus, Fr Clement Abel serta semua kakitangan KekitaanFM bertempat di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal (RRKKT).
Seramai 25 kakitangan KekitaanFM yang hadir iaitu para penyampai radio dan krew berkumpul di Tatal seawal jam 3.00pm untuk menyertai rekoleksi yang dikendalikan oleh Fr Roney Mailap. Dalam sesi, kakitangan diajak untuk merenungi perjalanan sepanjang dua tahun sebagai anggota KekitaanFM dan merenung kembali tujuan utama pelayanan.
Fr Roney menyeru kepada semua kakitangan agar sentiasa memohon sokongan dan menghidupkan Yesus Kristus dalam peribadi semasa bersiaran di KekitaanFM serta menjelaskan bahawa media paling utama dalam penginjilan adalah diri kita sendiri sebagai penyampai dan suara Tuhan.
Dalam Misa Kudus yang bermula pada jam 5.30pm, Uskup Cornelius Piong sebagai selebran, dalam homilinya, mengungkapkan rasa syukur kepada Tuhan atas penyertaan dan sokonganNya terhadap kekitaanFM yang kini telah mencapai ulang tahun yang kedua sebagai saluran berkomunikasi dengan umat sejak pandemik berlaku.
Prelatus mengingatkan untuk sentiasa menjaga relasi dengan Tuhan agar iman sentiasa diteguhkan, lebih dapat mengasihi dan melayani Tuhan. Uskup mendorong agar kita membangkitkan kuasa Roh Kudus yang ada pada diri kerana Ia dapat menolong, mengajar dan mengingatkan kita sesuai dengan kehendak Tuhan khususnya dalam pelayanan sebagai satu komuniti di KekitaanFM.
Kakitangan KekitaanFM bersama prelatus dan klergi
Atas pimpinan Roh Kudus, KekitaanFM yang semakin dikenali kini mempunyai lebih 16,000 pengikut di laman Facebook. Didiroy Joneh, Pengerusi KOMSOS Keuskupan Keningau, di dalam ucapannya, berkata terwujudnya KekitaanFM adalah atas inspirasi dan anugerah Roh Kudus. Dia berkata lagi KekitaanFM adalah komuniti yang masih membangun dan memerlukan usaha bersama sebagai satu komuniti yang saling peka dan sentiasa saling bantu-membantu dan memohon umat untuk terus mendoakan pelayanan KekitaanFM.
Radio Online KekitaanFM yang telah dilancarkan pada 3 Oktober 2020 kini telah menghasilkan seramai lebih 25 kakitangan yang melayani sebagai penyampai radio dan kru dengan latar belakang dan keunikan masing-masing dari sekitar Keuskupan Keningau.
Dalam majlis kesyukuran secara sederhana selepas Misa Kudus, para kakitangan KekitaanFM meneruskan kebersamaan dengan acara makan bersama, penyampaian sijil penghargaan komitmen pelayanan, pertukaran hadiah serta mendengar perkongsian pengalaman daripada beberapa penyampai radio KekitaanFM. – Keuskupan Keingau