Kompilasi Oleh Sr Bibiana Densia, FSP
Apr 16 2022
KENINGAU – DJ Endu menemuramah Bapa Uskup Cornelius Piong melalui Radio Online Kekitaan FM pada 30 Mac 2022, 7.30 malam, sempena ulang tahun Pentahbisan kepaderiannya yang ke-45 pada 27 Mac 2022.
DJ Endu telah mengajukan lebih kurang 10 soalan kepada Bapa Uskup yang merangkumi pelbagai aspek berkaitan dengan kehidupan menggereja. Berikut adalah perkongsian dari Bapa Uskup dalam temuramah tersebut.
DJ Endu: Adakah cita-cita untuk menjadi paderi itu jelas bagi Bapa Uskup sejak dari awal?
Uskup CP: Jelas atau tidak bagi saya itu adalah rencana Tuhan. Selain bercita-cita menjadi paderi cita-cita lain seperti menjadi cikgu dan karya dalam bidang perubatan pernah timbul dalam fikiran. Nasihat bijak dari nenek yang tidak pernah saya lupakan telah membantu saya untuk lebih fokus dalam membuat pilihan hidup. Selain daripada itu, kata-kata nasihat dari seorang Franciscan Sister kepada saya “Dimana ada kemahuan di situ ada jalan” juga telah memberi inspirasi dan dorongan kepada saya dalam usaha menyahut panggilan.
Bapa Uskup lalu mengongsikan kisah panggilannya dan perjalanan awalnya untuk menjadi seorang paderi dan seterusnya sebagai Uskup. Menurut Bapa Uskup memang banyak cabaran yang telah dilaluinya namun semuanya itu telah dapat diatasi dengan berkat Tuhan.
DJ Endu: Dalam perjalanan panggilan kepaderian selama ini, bagaimanakah Bapa uskup telah menjadi wakil Kristus di kalangan orang yang terabai: yang sakit, miskin. Apakah kata-kata penghiburan yang memberi peneguhan kepada umat yang Bapa Uskup selalu sampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan?
Uskup CP: Tugas pelayanan sebagai seorang paderi ialah membawa Yesus kepada semua orang tidak kira di mana saja mereka berada. Tidak dapat dinafikan bahawa di dalam pelayanan pastoral, memang banyak cabaran dan pengorbanan. Ianya berat, namun tidak membebankan.
Mempelajari gaya dan budaya orang-orang yang saya layani memang sesuatu yang saya selalu dan suka lakukan. Dengan demikian saya akan lebih memahami kehidupan mereka dan dapat melayani mereka secara lebih baik dan efektif.
Saya sungguh bersyukur kerana berpeluang untuk menimba dan mempelajari banyak pengalaman dari budaya orang-orang yang saya layani. Misalnya dari segi sifat keramahan, semangat hidup berkomuniti, saling menghargai, menyokong dan semangat kuat untuk melayani antara sesama mereka.
Walaupun kehidupan di kampung-kampung jauh lebih mencabar daripada kehidupan di bandar sebab kebanyakan kampung tidak ada kemudahan, tetapi mereka tetap hidup gembira dengan apa yang mereka miliki. Hal ini juga telah banyak memberi inspirasi dan pengajaran kepada diri saya sendiri untuk memilih hidup sederhana. Kehadiran paderi bersama umat itu boleh dikatakan suatu penghiburan kepada umat tetapi saya sedari bahawa bukan saya sahaja yang membawa penghiburan kepada mereka malah mereka juga sebenarnya memberi penghiburan kepada saya sebagai seorang pelayan Tuhan.
Dari segi kata-kata penghiburan, tiada lain tetapi Sabda Tuhan sendiri. Setiap kali paderi melawat kampung-kampung, Misa Kudus dirayakan, Sabda Tuhan diberitakan dan mereka mendengar homili paderi dan menerima tubuh dan darah Kristus dalam Ekaristi, dan membolehkan mereka menerima sakramen-sakramen lainnya, semuanya itu adalah cara di mana mereka dibaharui, dikuatkan dan diteguhkan.
DJ Engu: Di sepanjang penggembalaan di Keuskupan Keningau, adakah sesuatu perkara yang Bapa Uskup rasakan seakan-akan mustahil untuk dilaksanakan tetapi atas rahmat Tuhan telah membuahkan hasil pada ketika ini?
Uskup CP: Memang banyak. Panggilan Tuhan memang sukar untuk difahami, tetapi jika kita percaya dan yakin bahawa Dia menyertai kita, maka tidak ada perkara yang mustahil.
Contohnya, di awal permulaan penubuhan Keuskupan Keningau, saya merasa risau bagaimana untuk memimpin umat di seluruh keuskupan, sesuai dengan kehendak Tuhan. Melalui doa-doa dan renungan yang telah saya buat, saya mendapat inspirasi dari gaya hidup umat Kristian Purba dari Kisah Para Rasul 2: 41-47, di mana mereka hidup dengan dorongan Roh Kudus mengamalkan semangat kekitaan yang kuat yang memberi kebahagiaan dalam kehidupan seharian mereka. Dengan inspirasi tersebut maka lahirlah Slogan Keuskupan Keningau “Kebahagiaan adalah kekitaan – Happiness is belonging” yang menjadi landasan perjalanan iman umat Tuhan di seluruh keuskupan. Suatu slogan yang sungguh bermakna kerana ianya mencerminkan hidup berkomuniti dengan ikatan tali persaudaraan yang erat.
Saya pernah menerima teguran dari seorang Uskup mengapa memilih slogan yang luar biasa. Namun bagi saya itulah satu cara yang pasti di mana Tuhan hendakkan saya membangun umat Tuhan di Keuskupan Keningau yang telah dipercayakan kepada saya untuk melayani.
DJ Endu: Hidup selibat sebagai paderi dikatakan suatu bentuk kehidupan yang sunyi. Apakah benar hidup selibat itu sukar? Di luar negara ada juga isu kontroversi yang mengatakan hidup selibat itu sebagai gay dan ada juga yang beranggapan bahawa mereka menjadi paderi kerana telah putus cinta. Apa kata Bapa Uskup tentang hal ini?
Uskup CP: Ya…masing-masing punya pendapat yang berlainan. Tetapi sebenarnya hidup tunggal atau selibat untuk Kristus adalah suatu pilihan bebas (tidak ada paksaan) yang perlu dibuat jika kita mahu menjadi paderi Katolik. Inilah peraturan Gereja Katolik kita dan sebagai umat katolik, kita setia kepada peraturan ini.
Hidup tunggal itu bukanlah perkara yang mudah. Ini kerana walaupun seseorang itu sudah ditahbis menjadi paderi, kita ini tetap manusia dengan darah daging dan mempunyai perasaan kemanusiaan dimana ada masa-masanya perasaan sunyi akan timbul. Namun, sebagai paderi, kita sedar akan pilihan hidup yang telah kita buat sewaktu pentahbisan menjadi paderi, iaitu memilih untuk hidup tunggal bagi Kristus dan untuk gerejaNya. Oleh itu, kita tidak boleh melayan dan mengikut perasaan semata-mata. Malahan kita harus sentiasa fokus dan sentiasa membaharui janji kesetiaan kita kepada Kristus dan gerejaNya.
Tanggapan yang mengatakan bahawa seseorang yang menjadi paderi itu kerana putus cinta tidaklah benar menurut pengalaman saya sendiri. Namun Tuhan dapat menggunakan pelbagai cara untuk memanggil seseorang untuk menjadi pelayanNya.
DJ Endu: Melalui media massa, kita terbaca isu-isu skandal di luar negara yang berlaku di kalangan paderi (klergi) sendiri, misalnya penderaan seksual, penyalahgunaan kewangan, tidak mahu memberi pelayanan Sakramen jika tidak ada stipend. Apa kata Bapa Uskup dalam hal ini? Selain merayakan Misa Kudus dan memberi Sakramen-Sakramen, apakah lagi sifat sebenarnya seorang paderi?
Uskup CP: Sejak dari awal pembentukan untuk menjadi paderi, kita harus jelas bahawa panggilan kapaderian itu bukanlah suatu profession tetapi suatu bentuk pelayanan. Kita melayani kerana kita dipanggil oleh Tuhan dan kita menjawab panggilanNya. Pusat pelayanan yang terutama ada Kristus sendiri. Secara konkrit paderi dipanggil untuk meneledani Kristus dengan melayani antara sesama manusia dengan kerendahan hati, memelihara alam ciptaan Tuhan, mengutamakan mereka yang memerlukan pertolongan. Itulah Sifat sebenar seorang paderi.
Memang pada masa sekarang ini, jika kita tidak berhati-hati, ada banyak pengaruh yang boleh membawa kita jatuh ke dalam dosa, dan tidak dinafikan ianya berlaku dikalangan clergy sendiri. Jika sekiranya ada kecenderungan untuk terpesong kepada sifat-sifat negative dalam pelayanan, bagi saya ada baiknya jika kita dapat memeriksa diri kita dari segi motif sebenar pelayanan kita supaya kita dapat kembali kepada asal, sumber dan tujuan kita melayanai bukan untuk tujuan kepentingan diri sendiri melainkan untuk umat Allah yang memerlukan.
DJ Endu: Umat awam mendengar malah melihat sendiri skandal yang berlaku di gereja seperti tingkah laku buruk di kalangan clergy, religious atau katekis yang sudah tentunya memberi kesan negative kepada mereka. Apa nasihat Bapa Uskup agar umat yang terkesan itu tidak akan kecewa tetapi akan terus beriman dan setia kepada gereja katolik?
Uskup CP: Gereja katolik mempunyai dua sifat utama iaitu Ilahi dan manusiawi. Aspek manusiawi inilah yang selalu lemah dan terkadang menjatuhkan imej gereja. Tetapi yang paling penting kita harus ingat sifat keilahian gereja kita. Gereja yang didirikan oleh Yesus Kristus sendiri di atas dasar baru karang yang kukuh dan memilih Rasul Petrus untuk menjadi pemimpin yang pertama akan tetap teguh selama-lamanya. Engkau adalah Petrus dan di atas batu karang ini Aku akan mendirikan jemaat-Ku dan alam maut tidak akan menguasainya. Kepadamu akan Kuberikan kunci Kerajaan Sorga. Apa yang kau ikat di dunia ini akan terikat di sorga dan apa yang kau lepaskan di dunia ini akan terlepas di sorga.” (Mat 16:18 – 19)
Dengan itu, walaupun adanya berlaku kelemahan-kelemahan atau skandal-skandal yang kita lihat, jangan kita lupa bahawa Tuhan sentiasa hadir, sentiasa menyertai dan sentiasa melindungi dan kerana itu jangan kita cepat mengambil keputusan yang bersifat ‘mengaus’.
DJ Endu: “Belia mencintai Tuhan tetapi bukan gereja” Apa komen bapa uskup tentang hal ini dan apa cadangan bapa uskup untuk membawa kembali belia ke gereja?
Uskup CP: Kalau hanya berdoa kepada Tuhan tetapi tidak mahu melibatkan diri dalam gereja, itu boleh diumpamakan berdoa secara maya (online) kerana tidak pergi ke tempat di mana Tuhan itu hadir. Memang Tuhan hadir di mana-mana sahaja tetapi sebagai Kristian Katolik kita percaya Tuhan hadir secara lebih nyata di mana ada saudara-saudara seiman berkumpul di gereja, merayakan Ekaristi bersama-sama.
Tuhan dilahirkan ke dunia melalui seorang ibu, Dia menjadi manusia seperti kita kecuali dosa. Dia tinggal bersama dengan kita. Tuhan dan gereja itu tidak dapat dipisahkan. Oleh yang demikian tidak cukup jika kita hanya berdoa secara maya atau sendirian. Pergi ke Gereja itu penting bagi kita kerana ia adalah tempat di mana kita boleh mendapatkan peneguhan dan sokongan rohani apabila kita berjalan bersama dengan komuniti-komuniti lainnya.
DJ Endu: Apa yang membuat sesebuah komuniti itu Katolik, khasnya di keuskupan Keningau?
Uskup CP: Pertama-tamanya kita harus mengakui bahawa kita ini orang Kristian Katolik. Tanda-tanda dan sifat kekatolikan kita yang paling jelas adalah perayaan Ekaristi di mana Yesus hadir secara nyata melalui tubuh dan darahNya. Dan kita lanjutkan cintakasih terhadap Yesus melalui Ekaristi dengan mengadakan adorasi atau saat teduh di hadapan Sakramen MahaSuci. Devosi kepada Bunda Maria dengan berdoa Rosari, berdoa Novena dan devosi kerahiman Ilahi juga menampakan identiti kekatolikan kita. Selain daripada itu, peranan Sri Paus sebagai ketua dan wakil Kristus dalam tugas menyatukan gereja Universal memang sungguh penting di dalam gereja katolik.
Melalui bual bicara itu, Bapa Uskup telah mengumumkan kepada para pendengar tentang Misa Kudus Pesta Kerahiman Ilahi peringkat keuskupan yang akan dirayakan pada 24 April di Katedral KSFX pada jam 8.00 pagi. Misa Kudus itu juga akan disiarkan secara langsung bagi mereka yang tidak dapat datang ke KSFX.
DJ Endu: Ada di kalangan umat yang keliru tentang apa itu Gereja Sinodal? Adakah Gereja Sinodal ini akan mengubah ajaran Gereja. Bolehkah Bapa Uskup terangkan?
Uskup CP: Mungkin ianya sedikit mengelirukan sebab kita belum biasa dengan perkataan Sinodal. Secara ringkas ianya bermaksud perhimpunan para Uskup. Dan gereja Sinodal sebenarnya bersifat komuniti, keturutsertaan atau partisipasi dan misi.
Bagi kita di Kesukupan Keningau, sifat-sifat ini sejak dari awal mula, setahun sesudah Keuskupan Keningau didirikan, kita sudah mula mengamalkan gereja Sinodal iaitu umat Tuhan berjalan bersama dalam Yesus Kristus dengan wawasan keuskupan kita yang jelas.
Gereja Sinodal ini tidak akan mengubah ajaran gereja. Keprihatinan Sri Paus kepada perkara-perkara yang berlaku di gereja Katolik di seluruh dunia, mendorongnya untuk memperkenalkan program sinodal untuk kepentingan dan pembaharuan gereja sejagat. Bagi kita di Asia, Gereja Sinodal itu memang sangat baik dan khasnya di Keuskupan Keningau, ini adalah kesempatan rahmat bagi kita untuk mendalami pengetahuan kita tentang gereja melalui program sinodal.
DJ Endu: Bagaimana Gereja Sinodal ini berkait rapat dengan Visi dan Misi Keuskupan Keningau?
Uskup CP: Memang ianya berkait rapat. Sewaktu visi dan misi keuskupan Keningau digubal, matlamat gereja yang hendak kita kenali dan dipersetujui adalah gereja yang bersifat komuniti, berpartisipasi dan misi. Hanya dengan semangat itu kita dapat mencapai wawasan kita iaitu menjadi komuniti umat Tuhan yang komited dan efektif melayani kerajaan Allah. Semoga melalui program gereja Sinodal ini, kita akan lebih bersemangat untuk mencapai cita-cita keuskupan.
DJ Endu: Apakah memori yang Bapa Uskup tidak dapat lupakan selama 45 tahun kepaderian?
Uskup CP: Kehidupan berkomuniti memang sungguh berharga bagi saya. Ini kerana dalam hidup berkomuniti, selain saling mendoakan, kita juga mendapat sokongan dan dorongan yang kita perlukan dalam panggilan dan pelayanan kita.
Di akhir temuramah ini, Bapa Uskup mengungkapkan kesyukurannya kepada Tuhan kerana panggilan kepaderiannya yang membolehkannya melayani sampai pada saat ini. Dia juga berterima kasih kepada para Uskup seluruh Malaysia, para paderi, religius, katekis, umat awam, MPKK, TPK, semua staf yang bekerja melayani di pelbagai paroki dan di peringkat kesukupan serta pelbagai komuniti di Keuskupan Keningau atas segala kerjasama dan sokongan yang sentiasa mereka berikan.
Juga terima kasih kepada semua yang terlibat dalam interview pada malam ini. Kekitaan FM, DJ, technician, choir, busking dari KBK Agudon, termasuk para penonton yang telah mengikuti siaran langsung temuramah pada malam itu.
“Doakan saya agar sentiasa melayani dengan sukacita” kata Bapa Uskup.