Pasukan bola sepak Paroki Sakramen Mahakudus Labuan
Oleh Soccom CBSL
Dis 19 2023
KUDAT – Kejohanan Bola sepak Piala Solidariti Keuskupan Agung Kota Kinabalu 2023 anjuran Paroki St Peter, Kudat telah berlangsung pada 13 Nov 2023. Kejohanan melibatkan 21 buah pasukan termasuklah pasukan para Paderi (Alter Christus) yang disertai Uskup Agung John Wong.
Syukur! Syabas kepada Pasukan Bola Sepak Paroki Sakramen Mahakudus Labuan di atas kejayaan melakar sejarah meraih tempat kedua dalam Kejohanan Bola sepak Piala Solidariti Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Penyertaan pasukan bola sepak paroki untuk kali ke-2 tahun ini telah menunjukkan keputusan yang tidak dijangka berbanding keputusan tahun lalu yang hanya bertahan pada perlawanan peringkat kumpulan sahaja.
Pada tahun ini, paroki Labuan berada dalam Kumpulan D dan sepanjang kejohanan ini berlangsung, pasukan Labuan tidak kalah dalam sebarang perlawanan, hanya pada perlawanan akhir tewas kepada pasukan dari Paroki Holy Rosary Limbahau, Papar melalui tendangan penalti 4:2. Tahniah kepada Paroki Holy Rosary Limbahau yang telah menjadi juara Kejohanan Bola sepak Piala Solidariti Keuskupan Agung Kota Kinabalu 2023.
Tahun ini, setelah jemputan untuk pemilihan para pemain yang berminat telah dibuat, beberapa perlawanan persahabatan telah diadakan untuk menguji komitmen dan kobolehan. Penampilan sebagai Tim bola sepak Paroki Labuan tersebut memperlihatkan penglibatan hidup bermasyarakat yang sihat lagi cergas – tanggungjawab bersama.
Semangat setiakawan mereka secara tidak langsung mendorong sesama untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti gereja mahupun dalam usaha memperdalamkan pengetahuan iman peribadi terutamanya bagi mereka yang belum menerima Sakramen Penguatan.
Paderi Paroki, Fr Thomas Madanan berkata, “Sememangnya doa Novena, Rosari dan nyanyian lagu paroki We will serve the Lord telah mengungkapkan komitmen dan usaha bersungguh-sungguh daripada semua pihak yang terlibat.”
Paroki Labuan berjaya masuk ke perlawanan akhir pada tahun ini dan pemain pasukan, Marvin Domingo dianugerahkan gelaran pemain terbaik pada kejohanan tersebut. Terima kasih atas pelayanan ikhlas dari semua khasnya atas pengurusan pasukan yang mantap.