Para peserta yang hadir dalam katekesis Kehariman Ilahi
Oleh Suzie Augustine
Apr 2 2024
Pesta Kerahiman Ilahi berasal dari kelembutanKu yang paling dalam. Aku ingin supaya pesta itu dirayakan dengan sungguh-sungguh secara meriah pada hari Minggu pertama selepas Paskah… BHSF 699
KOTA BELUD – Pada 16 Mac 2024, Kerasulan Kerahiman Ilahi, Paroki St Edmund, Kota Belud telah menganjurkan katekesis persiapan diri untuk menyambut Pesta Kerahiman Ilahi pada bulan April. Katekesis itu dihadiri seramai 295 orang Katolik dari enam zon iaitu Zon Tambulion, Zon Bangkahak, Zon Timbang, Zon Purak, Zon Pekan, dan Zon Kelawat.
Program itu, bermula dengan Misa Kudus yang diselebrankan oleh Fr Maxmillianno Hontor. Dalam homilinya, Fr Max mengatakan bagi mempersiapkan diri untuk menyambut Pesta Kerahiman Ilahi, tidak cukup hanya berbelas kasih serta berdamai sahaja tetapi yang paling utama adalah memerlukan kesatuan dengan Tuhan iaitu pergi ke Sakramen Tobat dan menerima Komuni Kudus. Fr Max juga menyeru supaya umat sentiasa memberikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya sepanjang katekesis itu berlangsung agar dapat mengetahui serta memahami persyaratan untuk menerima pengampunan penuh daripada Tuhan Yesus pada Pesta Kerahiman Ilahi nanti.
Katekesis Pesta Kerahiman Ilahi disampaikan oleh Alexander Jiran (Paulus), Pengerusi Kerasulan Kerahiman Ilahi Paroki Kota Belud. Pengenalan katekesis dimulakan dengan ungkapan janji Yesus yang tertulis dalam Buku Harian St Faustina, “Jiwa yang menghampiri Sumber Hidup pada hari ini akan dianugerahi ’Pengampunan Penuh’ atas dosa dan penghukuman (BHSF 300).”
Paulus menegaskan bahawa pengampunan penuh pada Pesta Kerahiman Ilahi akan benar-benar terjadi jika kita sungguh-sungguh percaya dan berharap kepada Belas Kasih Tuhan. Dengan kata lain, kepercayaan dan harapan yang sempurna pada Yesus adalah kunci utama untuk mendapatkan pengampunan penuh pada Pesta Kerahiman Ilahi.
Dalam sesi pengenalan, beliau juga menerangkan bahawa Imej Kerahiman Ilahi dan penyaliban Tuhan Yesus mempunyai hubungan yang sama iaitu pancaran Darah dan Air merupakan sumber kehidupan kekal kepada manusia. Oleh itu, umat diseru agar sentiasa memilih untuk menyebarkan Belas Kasih Tuhan terhadap sesama melalui perbuatan, perkataan dan doa. Namun, untuk menyebarkan Belas Kasih Tuhan umat harus melibatkan Bonda Maria seperti yang dikatakan oleh Santo Paus Yohanes Paulus Ke-2, “Jadilah rasul-rasul Kerahiman Ilahi di bawah bimbingan keibuan penuh kasih sayang daripada Santa Perawan Maria.” Hal ini kerana Yesus dan Bonda Maria sentiasa bersama dan tidak dapat dipisahkan.
Janji Yesus kepada mereka yang menyebarluaskan Belas Kasih-Nya adalah “Mereka yang menyebarluaskan Devosi kepada Kerahiman Ilahi akan Ku lindungi seumur hidupnya seperti seorang ibu yang penuh kasih sayang melindungi bayinya. Pada saat kematiannya, Aku tidak akan tampil sebagai Hakim bagi mereka, tetapi sebagai Juruselamat yang Maharahim (BHSF 1075).”
Katekesis pertama, penceramah berkongsi cara menghidupi Belas Kasih Tuhan (Kerahiman Ilahi) dalam kehidupan harian. Beliau telah menerangkan dengan mengambil contoh kehidupan Santa Faustina iaitu kerendahan hati, tidak sombong dan tidak menghakimi. Hal ini demikian kerana, Yesus sering kali mengingatkan Santa Faustina tentang sikap tersebut. Yesus berkata, “kerendahan hatimu selalu menyenangkan hati-Ku, sebaliknya di mana ada kesombongan, di situ Aku tidak ada. Aku ingin mengangkat kongregasi ini tetapi Aku tidak mampu melakukannya kerana kesombongan.” Oleh itu, jelaslah bahawa kerendahan hati adalah kunci utama mendekati Kerahiman Tuhan kerana kerendahan hati adalah dasar dan jalan menuju kekudusan sebab ia melahirkan kepercayaan, ketulusan, keterbukaan ketaatan, takut akan Tuhan, penghormatan kepadaNya, kesabaran, kesederhanaan, kelemah-lembutan dan damai.
Seperti yang telah dikatakan oleh St Agustinus, “Kerendahan hati adalah jalan yang pasti membawa seseorang kepada Tuhan, sampai dia mengatakan, pertama-tama kerendahan hati, kemudian kerendahan hati, dan yang terakhir kerendahan hati.”
Seterusnya, “pesan utama Kerahiman Ilahi ABC: Ask for His Mercy (Mohon Belas Kasih Tuhan), Be merciful to others (Berbelas kasih kepada sesama) dan Completely trust (Percaya penuh)” serta lima element dalam Devosi Kerahiman Ilahi iaitu Pesta Kerahiman Ilahi, Imej Kerahiman Ilahi, Doa Jam Kerahiman Ilahi, Koronka Kerahiman Ilahi dan Novena Kerahiman Ilahi harus hidup dalam diri para rasul Kerahiman Ilahi.
Walau bagaimanapun, Paulus berkata bahawa menghidupi Kerahiman Tuhan adalah bukan satu perkara yang mudah dilakukan kerana manusia mempunyai banyak kelemahan seperti juga apa yang telah dialami oleh Santa Faustina; dia juga pernah mengalami kegagalan dalam menghidupi dan mengamalkan kesetiannya kepada Yesus. Namun demikian, Santa Faustina tetap maju dalam segala hal kerana diproses dan dibentuk melalui kegagalannya. Dia tetap tekun berusaha, bersemangat, setia dan sentiasa berharap kepada belas kasih Tuhan dan Bonda Maria. Akhirnya, dia telah menjadi kudus dan hidup kekal bersama dengan Tuhan Yesus dan Bonda Maria di syurga. Oleh hal yang demikian, bukan kelemahan dan kegagalan yang membuatkan kita tidak menjadi kudus tetapi kita sering kali lupa membawa Tuhan dan Bonda Maria dalam segala hal. Justeru itu, jadilah seperti ikan yang hidup agar mampu melawan segala arus yang deras sebagaimana yang dilakukan oleh Santa Faustina iaitu tetap maju dalam segala hal dan tidak takut kepada penderitaan yang menantikannya.
Katekesis pertama ditutup dengan penjelasan bahawa Kerahiman Ilahi (Belas Kasih Tuhan) adalah sifat atau Imej Tuhan yang paling tinggi dan mahkota segala karya tanganNya (BHSF 301). Oleh itu, musim Prapaskah adalah masa yang paling sesuai mempersiapkan diri untuk menyambut Pesta Kerahiman Ilahi. Beliau mengajak umat dalam suasana hening untuk merenung soalan ini “Adakah saya menjalani Prapaskah ini dengan tulus, taat dan tekun atau menjalaninya hanya di atas kertas sahaja?
Katekesis kedua bertajuk ‘Apakah Keistimewaan Pesta Kerahiman Ilahi’? Pesta Kerahiman Ilahi tahun ini adalah pada 7 April 2024: hari Minggu pertama sesudah Paskah. Keistimewaan Pesta Kerahiman Ilahi adalah “Jiwa yang menerima Sakramen Tobat dan menyambut Komuni Kudus akan mendapatkan pengampunan penuh atas dosa dan penghukuman (BHSF 699).”
Katekesis kedua menerangkan tentang erti pengampunan penuh (Indulgensi Penuh) menurut Katekismus Gereja Katolik (KGK 1471) iaitu Indulgensi adalah penghapusan siksa-siksa temporal di depan Tuhan untuk dosa-dosa yang sudah diampuni. Warga beriman Kristen yang benar-benar siap menerimanya, di bawah persyaratan yang ditetapkan dengan jelas.
Menurut Stanley C Villavicencio: “Kesaksian peribadinya bertemu dengan Yesus Kristus Kerahiman Ilahi.” Pengampunan penuh adalah penghapusan semua hukuman dan dosa-dosa yang telah diampuni. Sebenarnya apabila kita mengaku dosa kepada paderi, dosa-dosa kita diampuni tetapi hukuman terhadap dosa-dosa kita tetap ada. Sebab itulah, apabila seseorang itu meninggal dunia, dia tidak akan terus ke syurga. Dia akan pergi ke api penyucian untuk membayar hukuman dosa-dosanya. Selepas membayar hukuman dosa-dosa, barulah dia dapat memasuki syurga. Tetapi, sekiranya seseorang itu menerima pengampunan sepenuhnya, apa sahaja yang berlaku dengannya, dia akan terus ke syurga pada saat itu sebab “plenary” bermaksud sepenuhnya atau sempurna. Contoh terbaik tentang pengampunan penuh ialah Perayaan Pesta Kerahiman Ilahi.
Katekesis itu diterangkan secara terperinci bahawa terdapat dua jenis hukuman atas dosa yang dilakukan oleh manusia iaitu hukuman sementara (temporal) dan hukuman kekal (eternal). Apabila kita mengaku dosa dihadapan paderi, dosa yang kita akui telah pun diampuni dan hukuman yang boleh dihapuskan melalui Sakramen Tobat adalah hukuman kekal namun hukuman sementara (temporal) tetap ada dan tidak dapat dihapuskan melalui Sakramen Tobat itu sebabnya kita tidak akan terus ke syurga. Hal ini kerana, kita harus membayar akibat dari dosa-dosa yang kita lakukan. Sebagai contoh, Santo Paus Yohanes Paulus Ke-2 mengampuni orang yang telah menembaknya namun, tidak bererti orang itu dibebaskan dari penjara, dia tetap dipenjarakan kerana akibat daripada perbuatannya. Oleh itu, untuk menghapuskan hukuman sementara (temporal) kita memerlukan indulgensi penuh (rujuk pengertian indulgensi menurut KGK 1471). Contoh terbaik orang yang telah mendapat pengampunan penuh pada Pesta Kerahiman Ilahi iaitu Santo Paus Yohanes Paulus Ke-2. Berkat dan rahmatnya selama 26 tahun menyebarkan Kerahiman Ilahi tanpa henti, dia telah meninggal dunia pada Malam Pesta Kerahiman Ilahi iaitu 2 April 2005 pukul 9.37 malam (Masa Roma). Perayaan Misa untuk ketenangan jiwanya adalah pada 3 April 2005, Hari Minggu Pesta Kerahiman Ilahi.
Persyaratan untuk menerima pengampunan penuh pada Pesta Kerahiman Ilahi adalah percaya sepenuhnya kepada Belas Kasih Tuhan, telah pergi ke pengakuan dosa, menerima Komuni Kudus, doa ujud Bapa Suci, aktif mengasihi sesama, dan Novena Kerahiman Ilahi. Selain itu, umat juga diseru untuk mengikuti Penghormatan Imej Kerahiman Ilahi pada Pesta Kerahiman Ilahi.
Sepanjang Katekisis ini, umat juga telah dibawa untuk melihat beberapa tayangan video yang memberikan inspirasi dan penyegaran iman dan ramai dalam kalangan umat tersentuh serta mengalirkan air mata melihat video yang tersebut.
Dalam sesi soal jawab, Paulus bertanya kepada umat yang hadir dalam katekesis itu, “Tuhan itu Mahakuasa namun kenapa misteri Karya Penyelamatan Tuhan harus melalui penderitaan di kayu salib. Katekis Joutien yang hadir pada masa itu menjawab, sememangnya Tuhan itu Mahakuasa dan kita tidak mahu sebenarnya Tuhan kita Yesus di seksa dan mati di kayu salib namun oleh Kerana Kasih Yesus yang begitu dalam untuk manusia. Dia merelakan diriNya di siksa dan mati di kayu salib sebagai ganti untuk membayar segala dosa-dosa manusia. Dalam kata lain, Tuhan tidak menunjukkan kekuasaanNya kepada manusia tetapi Dia lebih memilih dan mengambil jalan untuk menderita bagi manusia yang dikasihiNya. Tambahan pula, Yesus adalah Tuhan yang menjelma menjadi manusia, wafat di salib sebagai korban tebusan dosa-dosa umat manusia (rujuk Mat 20:28) agar dengan demikian jurang yang memisahkan antara Tuhan dan manusia akibat dosa, dapat dihubungkan semula; supaya manusia dapat kembali kepada Tuhan dan menerima kehidupan kekal.
Katekesis ditutup dengan doa Kerahiman Ilahi dan lagu “Satukan Kami” yang dipimpin oleh Herbert Harvey Jaity, orang muda Katolik Paroki St Edmund, Kota Belud.