Oleh Jarisah Gondikit @ Theresa
KOTA KINABALU – Komiti Pastoral Bahasa Malaysia Paroki Hati Kudus telah menganjurkan Perayaan Pesta Kaamatan yang berlangsung bermula 28 April hingga 1 Mei 2024. Pesta Kaamatan Paroki ini merupakan antara aktiviti utama yang ditadbir urus sepenuhnya Komiti Pastoral Bahasa Malaysia semenjak ianya ditubuhkan pada 22 Nov 2023 oleh Rektor paroki Fr Paul Lo.
Ahli Jawatankuasa pelaksana telah sebulat suara memilih tema perayaan Kaamatan, KEKAYAAN ALAM: Anugerah Tuhan, Tanggunggjawab kita. Tema ini menggalakkan penghargaan terhadap keindahan alam sekitar dan juga menegaskan tanggungjawab umat untuk melestarikan ekosistem yang Tuhan berikan. Sempena perayaan kaamatan, umat dapat menghargai keindahan alam meliputi bukit bukau, hutan dan semua tumbuhan yang ada di sekitar Paroki Hati Kudus. Dalam masa yang sama umat berpeluang untuk menyerapkan kepentingan untuk menjaga dan merawat ekosistem, tanah dan menghormati hidupan sekitarnya. Selain itu, tema ini juga dapat menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kelestarian alam seperti menanam pokok, pembersihan sungai dan pengurusan sumber air. Ini semua adalah menjadi tanggungjawab manusia untuk menjaga ciptaan Tuhan dan mewariskan alam yang lestari kepada generasi akan datang.
Sukan Tradisi adalah acara rasmi pembuka tirai perayaan yang memeriahkan sambutan Kaamatan paroki pada 28 April 2024. Acara dimulakan selepas Misa Kudus Bahasa Malaysia dengan doa pembukaan, perasmian sukan tradisi dan pengoperasian gerai-gerai jualan oleh Fr Paul Lo dan berakhir dengan penyampaian hadiah kepada pemenang sekitar jam 6 petang. Gimik perasmian pelancaran sukan tradisi telah dilancarkan oleh Fr Paul Lo dengan membaling Boling Kelapa. Gerai mula beroperasi sehingga hari kemuncak pada 1 Mei 2024.
Para peserta bertanding dalam kumpulan mewakili komiti-komiti yang ada dalam Paroki Hati Kudus. Seramai lebih kurang 350 umat yang terlibat dalam aktiviti sukan seperti Rampanau (berjalan menggunakan tampanau), Mongompuri (mengupas biji padi menggunakan kuku), Manandus (merejam lembing), Momolositik (melastik), Mipulos (gusti lengan), Moniri (Menampi beras), Kupas Kelapa, Boling Kelapa, Pancing Botol dan Lumba lari dalam Karung. Aktiviti ini melampaui semangat kesukanan, yakni aktiviti kebudayaan yang telah mempersatukan umat paroki yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bahasa.
Msgr Nicholas Stephen yang juga merupakan pengerusi tetap perayaan Kaamatan peringkat Diosis Kota Kinabalu telah dijemput khas untuk menyampaikan katekisis berkaitan dengan tema yang telah dipilih pada malam 29 April 2024. Matlamat aktiviti ini adalah agar umat dapat lebih memahami anugerah Tuhan dan bertanggungjawab terhadap anugerah tersebut. Seramai lebih kurang 250 umat telah menghadiri sesi ini.
Pada malam 30 April 2024, buat pertama kalinya pertandingan Kuiz dan Bahas sempena perayaan Kaamatan telah diadakan. Matlamat kuiz adalah untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan tentang perayaan Kaamatan dari segi budaya yang diwarisi dan juga dari sudut pandangan gereja. Soalan-soalan merangkumi Sejarah Kaamatan, Sundait dan petikan KGK tentang perayaan kebudayaan berdasarkan ceramah yang telah disampaikan oleh Msgr Nicholas Stephen pada malam sebelumnya. Tempat pertama pertandingan kuiz dimenangi oleh Komuniti Tritunggal Mahakudus (KTM), tempat kedua pembimbing IKD dan tempat ketiga anak-anak didik PMG1. Manakala tajuk pertandingan syarahan adalah “Perayaan Kaamatan selaras dengan Konvensi Pastoral Malaysia” bertujuan untuk menggalakkan umat mendengar dan belajar bersama melalui pendapat orang lain mengenai tajuk yang diberikan. Juri pertandingan syarahan terdiri dari Fr Russel Lawrine, Sr Anita FSC dan Seminarian Yosef Yup. Johan syarahan dimenangi oleh Randy Belly mewakili LJCC (BM), Naib Johan Justin Ginduk mewakili IKD dan tempat ketiga Aquinas Simon dari Komuniti Tritunggal Mahakudus (KTM). Penglibatan komiti-komiti dan anak didik PMG dalam menghantar wakil untuk pertandingan ini amat menggalakkan.
1 Mei 2024 , merupakan acara kemuncak Perayaan Pesta Kaamatan Paroki Hati Kudus, Kota Kinabalu dengan Perayaan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong bersama Fr Terans Thadeus. Turut membantu Fr Paul Lo, Fr Russel Lawrine, Fr Isidore Gilbert dan Fr Saimon William. Turut melayani adalah gabungan warden dan pelayan altar dari Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Di hadapan altari dihiasi dengan pokok padi hidup, bunga-bungaan dan buah-buahan segar yang ringkas tetapi cukup menarik. Gereja dipenuhi dengan umat yang hadir dengan mengenakan pakaian tradisional tanpa mengira daerah asal masing-masing. Paluan tagunggak mengiringi lagu pembukaan, persembahan dan penutup misa menghidupkan suasana perayaan pesta kaamatan.
Fr Terans menekankan dua ungkapan yang tidak terpisah iaitu Kaamatan dan Ekaristi di dalam homilinya. Dua ungkapan ini merujuk kepada kesyukuran atas berkat yang kita perolehi dari Tuhan. Sebagaimana Kaamatan menyatukan kita, Ekaristi juga menyatukan kita sebagai umat beriman. Menurutnya lagi, perayaan Kaamatan dan Perayaan Ekarisiti merupakan identiti kita. Kaamatan membawa identiti kita sebagai kadazandusun, Ekaristi pula adalah identiti Katolik kita sebab ia adalah sumber dan puncak kehidupan kristian. Yang paling utama, kita adalah anak-anak Tuhan. Maka, kita harus bersyukur melalui perayaan kaamatan-ekaristi.
Selepas Misa Kudus Kaamatan, umat beralih di dewan paroki bagi acara makan bersama. Gimik perasmian telah disempurnakan oleh Uskup Agung John Wong dengan acara memasukkan padi kedalam tangkob diikuti dengan paluan gong sebanyak tujuh kali.
Acara diteruskan dengan pemotongan kek Kaamatan dan seterusnya makan tengah hari sambil menikmati hiburan pentas dari pelbagai komuniti yang ada di Kathedral Hati Kudus. Acara yang turut memeriahkan Perayaan Pesta Kaamatan ini adalah acara cabutan tiket bertuah dengan pelbagai hadiah yang lumayan. Dalam masa yang sama pertandingan makanan dan minuman tradisi dipertandingkan. Turut hadir dalam acara makan bersama ini adalah pengerusi Majlis Pastoral Paroki Datuk Bernard Liew dan Pengerusi Komiti Pastoral Bahasa Cina Henry Ng bersama ahli jawatankuasa mereka.
Perayaan pesta Kaamatan Paroki Hati Kudus berakhir pada jam 5 petang dengan doa penutup yang dipimpin oleh Fr Terans Thadeus.