Oleh Angela Jika
TELUPID – Gereja St Martin, Telupid mengambil pendekatan proaktif dalam meluaskan pelayanan pastoral melalui perkhidmatan pejabat bergerak.
Inisiatif ini melibatkan kerjasama antara paderi paroki, staf pejabat paroki dan Komiti Kateketikal.
Tujuan utama pejabat bergerak ini adalah untuk menjangkau umat di stasi luar, memberikan kemudahan untuk urusan Gereja tanpa memerlukan mereka melakukan perjalanan jauh ke pejabat paroki.
Pejabat bergerak ini dilaksanakan di tiga buah lokasi selama tiga hari berturut-turut iaitu dari Ogos 13 hingga 15, bermula di Komuniti Umat Katolik (KUK) St Benedict Tongod, KUK St Micheal Genting Estate dan KUK St Patrick, Entilibon.
Setiap hari, perkhidmatan pejabat bergerak ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan diakhiri dengan perayaan Misa Kudus pada sebelah petang.
Pejabat bergerak ini merupakan salah satu usaha Gereja St Martin, Telupid dalam memastikan umat yang berada di stasi luar tidak terpinggir daripada perhatian pastoral dan dapat mengakses perkhidmatan Gereja dengan lebih mudah.
Usaha ini juga mencerminkan komitmen Gereja dalam menjangkau dan melayani setiap umat Tuhan tanpa mengira lokasi mereka.- Herald Malaysia