Peserta program Seminar Pemantapan Iman di Chapel St Joseph, Kg Kokol, Manggatal
Oleh MPD SPI – CSG UMSKK
Jan 18 2024
MANGGATAL – Pada 8-10 Dis 2023, Catholic Student Group – Untuk Melayani Sesama (CSG-UMS) telah mengadakan Seminar Pemantapan Iman (SPI) yang berlangsung di Chapel St Joseph, Kg Kokol, Manggatal.
Seramai 42 orang Ahli Jawatankuasa Pelayanan (AJP), 13 orang peserta, dua orang sukarelawan serta CMO dan CMT terlibat dalam menjayakan program ini.
Tema yang telah dipilih bagi program SPI 2023 dipetik dari kitab Amsal 3:5-6 iaitu “Janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri”. Tema ini dipilih untuk menyampaikan mesej daripada Tuhan bahawa pentingnya untuk kita bersandar dan percaya kepada Dia dengan segenap hati, tanpa bersandar kepada pengertian diri sendiri.
Program ini bertujuan untuk membantu memberi ruang dan membuka hati pelajar Katolik CSG-UMS untuk mendalami iman kepada Tuhan dan menjadikannya sebagai garis panduan dalam perjalanan hidup pelajar Katolik untuk sentiasa mengutamakan Tuhan.
Pada hari pertama program, para peserta dan AJP menghadiri Ibadat Sabda Bonda Maria Dikandung Tanpa Noda di chapel. Setelah itu, program dimulakan dengan Doa Chaplet Roh Kudus yang dibimbing oleh AJP Kerohanian diikuti dengan sesi Pentakhtaan Alkitab dan Lectio Divina di mana ia memberikan ruang kepada para peserta untuk membuat renungan peribadi melalui mesej tema program. Hari pertama diakhiri dengan pengenalan Statue Sleeping Saint Joseph di mana para peserta mempelajari tentang perantaraan doa daripada Sleeping Saint Joseph.
Hari kedua program dimulakan dengan sesi pertama iaitu ‘Sejarah Perkembangan Gereja Katolik’ oleh Dominic Lim dari Keuskupan Agung KK. Melalui sesi ini, para peserta mempelajari tentang sejarah pembentukan gereja, kepentingan dan peranan seorang Bapa Suci serta perhimpunan Konsili Vatikan pertama dan kedua bagi memantau dan memastikan Gereja berkembang sesuai dengan peredaran masa.
Sesi kedua iaitu ‘Kristus Sumber Kehidupan’ oleh Alex Paulus mengajar peserta memahami hubungan antara Yesus dan Bonda Maria. Dalam sesi ini, para peserta dapat menghayati saat-saat dalam Ekaristi melalui perspektif orang-orang kudus, mengenali siapakah Yesus dan memperkenalkan Ekaristi sebagai dasar mula iman Kristian.
Pada sesi ketiga iaitu The Seven Sacraments of the Catholic Church, para peserta memperkuatkan pemahaman mereka tentang tujuh sakramen dalam Gereja Katolik melalui persembahan sketsa mini tentang sakramen-sakramen tersebut.
Dalam sesi keempat iaitu The Power of Prayer, para peserta mendengarkan perkongsian oleh wakil EXCO, Lembaga Pengarah dan peserta tentang kekuatan doa yang membawa kepada pembentukan peribadi mereka sehingga hari ini.
Hari kedua program diakhiri dengan sesi Taize yang dipimpin oleh AJP Kerohanian dan ‘Malam Perdamaian’ di mana para peserta menghayati dan menerima kehadiran Tuhan dalam diri mereka serta berdamai bersama peserta lain.
Hari terakhir program dimulakan dengan sesi Faith Sharing oleh wakil Lembaga, Jessy Coriena dan alumni CSG-UMS, Jonathan Jimmey Lucas di mana mereka berkongsi tentang perjalanan iman mereka dan pengalaman-pengalaman hidup yang menguatkan iman mereka.
Setelah itu, Misa Kudus penutupan program dipimpin oleh Fr Wiandigool Runsab diikuti dengan tayangan video montaj dan ucapan penutupan program oleh Pengarah Program SPI, Alveonna Alfred, Presiden CSG-UMS sesi 2023/2024, Ceron Ezra Yangun dan Pengerusi KUK Chapel St Joseph, Kg Kokol.
Pihak penganjur berharap program ini telah membantu para pelajar yang sudah semestinya sibuk dengan pembelajaran di universiti dengan sama-sama meluangkan masa untuk merenung perjalanan iman mereka melalui sesi dan aktiviti program ini. Tidak dilupakan juga pihak Chapel St Joseph, Kg Kokol, Manggatal yang telah membantu menjayakan program SPI dengan memberikan peluang dan kebenaran untuk melaksanakan program di tempat mereka.