Fr Lazarous Uhin sedang mejalankan upacara pembaptisan
Oleh JRD Surian Sebastian, Komsos SYPS
Apr 8 2024
SIPITANG – Kesengsaraan, wafat dan kebangkitan Kristus dalam misteri Paskah seharusnya menjadi suatu pengharapan besar dan juga semangat keberanian kepada umat untuk terus berjalan di dalam iman dan terang. “Jangan takut untuk bersaksi dan melayani dalam nama Tuhan dalam apa jua cabaran”. Demikian khotbah yang disampaikan oleh Fr Lazarous Uhin pada perayaan Misa Kudus Malam Paskah di Gereja Santo Yohanes Pembaptis dengan memetik kata malaikat di dalam ayat Injil misa iaitu “Jangan takut! Kamu mencari Yesus orang Nazaret, yang disalibkan itu. Ia telah bangkit (Mrk 16: 6).
Mengambil contoh ketika dunia lalu dikejutkan dengan Pandemik Covid-19, jelasnya merupakan pengajaran berguna buat semua bahawa disaat manusia dibelenggu ketakutan terhadap kegelapan kematian yang tidak dapat digambarkan, ini seharusnya tidak mematahkan iman kepercayaan kita tetapi sebaliknya suatu dorongan buat kita agar kekal melayani dengan sungguh, mencintai, mengimani dan tetap setia sebagai pengikut Kristus.
Perayaan Malam Paskah itu turut memberi sinar baru kepada 26 orang calon baptis dan 14 orang calon Krisma untuk masing-masing menerima Sakramen Pembaptisan dan Sakramen Penguatan dengan disaksikan oleh ibu bapa, penanggung dan seluruh umat Gereja Santo Yohanes.
Fr Lazarous dalam nasihatnya menyeru kepada baptisan baru yang juga sebagai umat baru gereja agar dapat terus menyumbang di dalam mana-mana perlayanan gereja kerana itulah komitmen yang harus dilakukan disamping sokongan, galakan dan doa daripada umat sedia ada amat diperlukan agar perjalanan pertumbuhan iman mereka yang baru saja bermula akan kekal berbuah dan segar.
Sebagai tanda kesyukuran, para baptisan baru bersama ahli keluarga masing-masing telah diraikan bersama-sama dengan seluruh umat gereja dalam satu jamuan keesokan harinya iaitu selepas berakhirnya misa kudus Hari Minggu Paska bertempat di dewan gereja iaitu Dewan Pope John Paul II.
Para baptisan baru dan penguatan yang menerima Sakramen bergambar bersama Fr Lazarous