Pada 10 Oktober 2021, Bapa Suci Fransiskus secara rasmi membuka “Sinode 2021-2023”. Sesetengah daripada anda mungkin tertanya-tanya apakah ini semua. Apa itu sinode?
Struktur pentadbiran Gereja adalah berbentuk piramid, yang bermaksud bahawa Bapa Suci adalah ketua, diikuti oleh kardinal sebagai pangkat seterusnya, kemudian para uskup, dan paderi. Struktur ini telah digunakan oleh Gereja selama berabad-abad. Tetapi seperti yang anda lihat, terdapat sedikit atau tiada ruang untuk orang awam, para religius untuk mengambil bahagian dalam mentadbir Gereja seperti itu, sebuah Gereja klerikus, di mana mereka yang ditahbis, mentadbir.
Gereja sinodal adalah berbeza sama sekali. Perkataan Yunani “sinode”, mengungkapkan idea “sebuah jalan yang dilalui dengan orang lain, jalan yang dikongsikan.” Dengan kata lain, gereja sinode melihat kedua-duanya, paderi dan awam bersama-sama, dalam perjalanan mereka kepada Tuhan. Ia mengakui bahawa kita mempunyai perjuangan dan kesukaran yang sama, seperti yang dijelaskan oleh skandal seksual dalam Gereja. Tetapi kita adalah saudara dan saudari Yesus yang dipanggil untuk berjalan dan mentadbir Gereja bersama-sama dengan mengasihi satu sama lain, mengikut panggilanNya: “Pikul salibmu dan ikutilah Aku”!
Bapa Suci Fransiskus memilih tiga perkataan untuk merumuskan visinya untuk jalan sinodal: Gereja sebagai tempat Pertemuan, tempat Mendengar, dan tempat Pengamatan.
Tempat Pertemuan
Biasanya, perkataan “pertemuan” membayangkan sesuatu yang negatif. Bersua muka dengan sesuatu yang kita tidak suka atau cuba elakkan. Oleh itu, “memikul salib kita” menggambarkan dengan baik apa yang perlu kita lakukan: hadapi masalah kita, bukan menafikannya, atau meredakannya, atau menyapunya di bawah permaidani seperti yang dilakukan dengan skandal penderaan seksual. Seseorang juga boleh memikirkan ketegangan budaya dan sosial dalam Gereja. Kita cenderung untuk mencari mereka yang kita suka atau bersetuju tetapi mengelak mereka yang mempunyai pendapat dan idea yang berbeza. Sejauh manakah kita bersikap terbuka terhadap golongan miskin, kurang upaya, ketagih, mereka yang berada di pinggir masyarakat? “Pertemuan” menjemput kita untuk menghadapi situasi yang tidak selesa, konflik, perselisihan faham ini. Kita dipanggil untuk tidak lari daripada ini tetapi melihatnya sebagai peluang untuk kita berkembang menjadi lebih seperti Kristus, menerima batasan dan kelemahan kita dengan rendah hati.
Tempat Mendengar
Adakah sukar untuk mendengar? Kita cepat menilai dengan jawapan sedia untuk segala-galanya. Selalunya, kita menilai luaran, manakala Yesus melihat hati kita. Ini digambarkan dengan indah dalam kisah wanita yang memohon pengampunan Yesus dengan membasuh kakiNya dengan air matanya, mengeringkannya dengan rambutnya, meminyakinya dengan minyak wangi, sementara, Simon, orang Farisi, gagal untuk menghormati Yesus, kerana dia mengabaikan malah tradisi Yahudi asas untuk menyambut tetamu.
Apabila Bapa Suci Fransiskus mengucapkan kata-katanya yang kini terkenal “Siapakah saya untuk menilai”, dia meminta kita mendengar kisah semua orang. Saya tidak pernah melupakan air mata yang saya lihat pada seorang paderi yang dihukum kerana jenayahnya hingga dipenjarakan seumur hidup, dan yang kemudiannya membunuh diri kerana dia tidak dapat menanggung prasangka rakan-rakan banduan. Saya tertanya-tanya, “Adakah sesiapa yang mendengar tangisannya?” Kita perlu memupuk pendengaran aktif untuk memahami orang dan situasi. Apabila anda bertemu seseorang yang mengalami penyakit, kemurungan, perceraian, masalah dadah, cuba letakkan diri anda dalam kedudukan mereka. Ini adalah satu-satunya cara untuk bertumbuh dalam belas kasihan, menjadi seperti Yesus, yang penuh belas kasihan dan kasih.
Tempat Pengamatan
Apakah hasil daripada proses ini? Kita tidak tahu!!! Apa yang kita tahu ialah kita boleh menanti dengan penuh kegembiraan untuk merealisasikan rencana Tuhan. Dia akan memimpin kita melalui kuasa Roh Kudus, “yang menyelidiki segala sesuatu, bahkan hal-hal yang tersembunyi dalam diri Tuhan” (1 Korintus 2:10). Di dalam Dia, kita “hidup, kita bergerak, kita ada” (Kisah 17:28). Oleh itu, tidak ada rasa takut untuk melepaskan apa yang telah kita rancangkan, tetapi kita hanya meletakkan kepercayaan kita kepadanya. Pengamatan, dalam pengertian ini, adalah memikirkan bersama apa kehendak dan rencana Tuhan, kerana “Dia yang duduk di atas takhta itu berkata, “Lihat, Aku menjadikan segala sesuatu baru.” Juga, dia berkata, “Tulislah ini, kerana perkataan ini boleh dipercayai dan benar.”
Soalan
- Apakah yang perlu berlaku dalam Gereja anda untuk menjadi sinodal?
- Daripada tiga perkataan tersebut, mana satukah yang paling sukar untuk anda?