Para wanita Katolik Dontozidon bergambar bersama dengan Fr Rusell Lawrine penasihat Liga Wanita Katolik Paroki Dontozidon bersama dengan Sr Lucy Embayan
Oleh Nelson Fernandez
Apr 4 2024
DONTOZIDON – “Jadilah lebih yakin, berani dan percaya pada diri sendiri” adalah ungkapan yang diberikan kepada golongan wanita Katolik bahagian Dontozidon (CWL Region Dontozidon) yang mana mereka telah mengadakan rekoleksi pada 16 Mac 2024 bertempat di Paroki St Paul Dontozidon.
Turut mengambil bahagian dalam rekoleksi itu adalah para Wanita dari Paroki Holy Nativity Terawi, Paroki St Thomas More Kepayan, Gereja Our Lady Queen of Peace Kobusak dan Gereja St John The Baptist Kopungit.
Seramai 125 wanita menghadiri rekoleksi yang dianjurkan oleh CWL (Kerasulan Wanita Katolik) bahagian Dontozidon.
Rekoleksi sempena Perayaan Hari Wanita antarabangsa bertemakan: “More women’s leadership for a better world” yang tertumpu untuk membawa para wanita melihat sejauh mana pemahaman mereka terhadap pilihan panggilan ‘perkahwinan’ selaras dengan pernyataan Tema Hari Wanita Antarabangsa.
Dalam perkongsian, Sr Lucy Embayan, fsic mengajak para wanita memahami maksud “panggilan berkahwin”. Mengapa isu ini ditekankan? Sebab, ramai yang membuat pilihan pangilan perkahwinan tetapi tidak memahami bagaimana menghidupi makna pilihan panggilan tersebut. Maka, masalah timbul, perkara kecil sukar di atasi punca kekurangan kemahiran untuk menangani.
Menurut Sr Lucy, “isu dan kemahiran” dua perkara berjalan seiring. Mengapa kemahiran perlu dimiliki dan difahami oleh seseorang? Pelbagai isu dalam perkahwinan boleh berlaku. Maka, para wanita perlu tahu dan mempersiapkan diri dengan pengetahuan.
Selain itu, melahirkan akal untuk menangani isu-isu yang timbul seterusnya membekalkan diri dengan kemahiran dan sentiasa memahami makna panggilan yang dipilih supaya inspirasi baharu tercipta serta menghargai panggilan Tuhan.
Untuk merealisasikan tema rekoleksi “wanita boleh menyumbang dan menjadikan dunia yang lebih baik melalui kepimpinannya. Ia akan menjadi kenyataan, jika wanita berjaya memimpin keluarganya terlebih dahulu, barulah akan menjadi efektif dan lebih bermakna.
“Oleh itu, wanita perlukan iman yang mantap untuk melahirkan wanita bijak, berjaya dan cemerlang.” Demikianlah kata-kata Sr Lucy dalam perkongsiannya.
Setiap insan mempunyai impian dan cita-cita di usia kanak-kanak atau remaja dan ia merupakan satu panggilan. Begitu juga bagi para wanita yang hadir dalam rekoleksi, impian dan cita-cita menjadi idaman semua orang namun para wanita perlu bekerja keras untuk mencapainya. Kemungkinan bagi wanita yang sudah berkahwin mempunyai cabaran besar di mana mereka perlu menyeimbangkan masa pelayanan di rumah dan gereja. Namun, dengan tekad dan niat ia tidak menjadi penghalang apabila kehadiran Tuhan ada dalam diri.
Dalam homilinya, Fr Russell Lawrine memberi contoh teladan Bonda Maria yang merupakan wanita pertama menjadi pengikut Yesus, berani mengatakan ’ya’ kepada panggilanNya.
“Tuhan mempunyai sebab memanggil kita dan Dia tahu kelemahan dan kekuatan kita, sebab itulah kita semua dicipta menurut gambar dan rupaNya, walaupun sama tapi yang membezakan antara semua ialah keunikan dan kemahiran individu.
“Bagi mempertahankan panggilan, anda harus berjalan bersama, jangan jadi orang Yahudi atau Farisi yang suka menghina dan menjaga hal orang lain serta tidak boleh menerima kehidupan orang lain. Hargai setiap kemahiran individu yang diberikan oleh Tuhan,” kata Fr Russell.
Selesai Misa Kudus, penyelaras Liga Wanita Bahagian Dontozidon, Anastasia Modili bersyukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada semua yang hadir menyokong dan melaksanakan rekoleksi tersebut.
Penyerahan sumbangan cenderahati kepada Fr Russell dan Sr Lucy atas penyampaian sesi-sesi mereka yang membina.
Acara diteruskan di dewan dengan jamuan makan tengahari, penyerahan sumbangan derma pakaian, makanan kering dan keperluan lain dari Liga Wanita Dontozidon kepada Sr Dorothy Laudi, fsic untuk diserahkan kepada kanak-kanak dan pelajar Tadika di Paitan.
Fr Rusell mewakili Liga wanita Katolik bahagian Dontozidon menyerahkan sumbangan kepada Sr Dorothy Laundi