Perarakan Patung Bonda Maria ke dewan terbuka Nulu Sosopon semasa Mini Ziarah
Oleh Didiroy, KSFX
18 Ogos 2020
KENINGAU – Majlis Pastoral Paroki dengan kerjasama Team Sukacita, KSFX telah menganjurkan Mini Ziarah pertama kali di Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon, di sini pada 9-14 Ogos yang lalu, sempena Pesta Keangkatan Bonda Maria ke Syurga.
Mini Ziarah lima hari ini disertai oleh setiap KKD, KUK, Zon dan Komuniti berdasarkan jadual ziarah yang disediakan. Umat dari paroki lain juga menyertai iaitu paroki Holy Cross, Tambunan, St Anthony Tenom, D7 dari Kota Kinabalu dan umat persendirian yang datang seawal jam 7.00 pagi untuk berziarah.
Umat peserta melahirkan rasa gembira dengan terwujudnya Mini Ziarah ini kerana mereka berpeluang berdoa bersama komuniti masing-masing di hadapan patung Bonda Maria, selain membawa intensi doa masing-masing.
Antara intensi Mini Ziarah ini khususnya adalah untuk mematahkan penularan wabak COVID-19, keamanan serta keadilan di dunia dan Malaysia khususnya.
Selain itu pihak Komunikasi Sosial (Komsos) dengan kerjasama Pengerusi Team Pastoral Keuskupan Keningau, Patrick Marius, turut memainkan peranan penting kali ini.
Selain mengadakan siaran langsung ziarah pada jam 9.00 pagi dan 3.00 petang di Channel Youtube Keuskupan, kami turut menyiarkan perkongsian dan dogma tentang Bonda Maria sepanjang lima hari itu khusus untuk umat yang tidak berpeluang mengikuti ziarah ini.
Antara pengisian yang disiarkan adalah Dasar dan Ajaran Dogma tentang Bonda Maria oleh Patrick Marius sendiri, dasar dan ajaran tetap tentang keperawanan Bonda Maria oleh Fr David Gasikol dan Theotokos “Maria Bonda Allah” yang disampaikan oleh Sr Evelin Tivit, fsic.
Manakala setiap kumpulan penziarah yang hadir di Nulu Sosopon dapat mendengar secara terus tentang ajaran dan kehidupan Bonda Maria daripada Patrick dan Sr Patricia Limun, fsic. Setiap kumpulan penziarah berpeluang berdoa di hadapan patung Bonda Maria, menaiki menara Salib suci, berdoa Jalan Salib dan membuat intensi doa secara peribadi.
Pada hari terakhir Mini Ziarah diadakan perarakan Ikon dan doa Bonda Maria. Perarakan ini yang sepatutnya diadakan dari kaki bukit Nulu Sosopon terpaksa ditukar ke dewan terbuka kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan, namun ianya tidak mematahkan semangat umat.
Uskup Cornelius Piong bersama para penziarah dan tim pelaksana
Perarakan disusuli dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh YM Uskup Datuk Cornelius Piong. Dalam homilinya, uskup berkata terdapat tiga hal yang perlu kita ingati dan utamakan dalam perjalanan iman kita. Pertama adalah ‘Penyembahan’; dalam hidup seharian kita perlu mengutamakan Tuhan, maksudnya kita perlu berdoa setiap hari, bersyukur atas rahmat-Nya, mendengar firman-Nya, mengikuti adorasi, berdoa bersama komuniti seperti Bonda Maria yang menerima dirinya dipakai Tuhan, dan kita melihat Tuhan menyertai Maria sepanjang hidupnya.
Kedua ialah ‘Membentuk Iman’; ramai umat berpendapat bahawa hanya dengan dibaptis, iman sudah memadai. Padahal seperti mana kata Rasul Paulus kepada umat di Kolose, “Kamu telah menerima Kristus Yesus, Tuhan kita. Karena itu hendaklah hidupmu tetap di dalam Dia. Hendaklah kamu berakar di dalam Dia dan dibangun di atas Dia, hendaklah kamu bertambah teguh dalam iman yang telah diajarkan kepadamu, dan hendaklah hatimu melimpah dengan syukur.” Kol 2:6-7.
Uskup Piong berkata Firman ini memberitahu kita bahawa kita perlu tetap berusaha membangun iman walau dengan apa cara sekalipun seperti mendengar, melihat dan membaca sumber-sumber yang mampu membentuk iman kita.
Yang ketiga ialah dalam perjalanan iman, kita perlu selalu ingat kepada ‘Tanggungjawab Sosial’; kita perlu peka terhadap keadaan keperluan sekeliling, keluarga, komuniti kita dan peka terhadap keharmonian alam ciptaan Tuhan. Lebih-lebih pada masa ini dunia kita terlalu menderita kerana kurangnya tanggungjawab daripada manusia.
Uskup juga mengingatkan bahawa pelbagai program penjagaan alam sekitar telah dirangka khususnya di Keuksupan Keningau dan mengajak umat untuk mangambil sikap ambil tahu dan bertindak mulai sekarang.
Turut hadir dalam Mini Ziarah adalah Nancy Joneh, Pengerusi Majlis Pemimpin Pastoral KSFX, yang menyatakan rasa syukur dengan terlaksananya Mini Ziarah kali ini. Menurutnya Mini Ziarah ini sepatutnya diadakan secara besar-besaran kerana ianya pertama di katedral ini namun keadaan sekarang tidak mengizinkannya.
“Saya sungguh yakin dan percaya ini merupakan titik permulaan kita untuk melaksanakan Ziarah secara besar-besaran kelak dan membukanya kepada seluruh umat di Keuskupan Keningau dan luar keuskupan,” ujarnya.
Nancy juga melahirkan rasa terima kasih dan gembira melihat kesatuan dan kesungguhan tim pelaksana dalam memastikan Mini Ziarah ini terlaksana serta mencapai objektif.
Sepanjang Mini Ziarah ini, umat berkata mereka rasa teruja dan berharap agar ziarah ini diteruskan setiap tahun malah menjadi program tahunan.