Peserta MCYMC di Diosis Penang
Oleh Sabrina Dalusim
Sep 29 2023
PENANG – Inisiatif MCYMC berjalan bersama menuju ke MPC2026 ini mempunyai dua fasa. Fasa pertama ialah Inisiatif MCYMC di mana ianya sedang berjalan bermula tahun 2023 sehingga tahun 2024. Sementara itu, fasa kedua iaitu Malaysia Catholic Youth Pastoral Assembly (MCYPA) akan diadakan pada tahun 2025 di mana para belia Katolik di seluruh Malaysia akan berkumpul bersama buat pertama kalinya.
Inisiatif MCYMC di Keuskupan Penang merupakan Inisiatif yang ke-lima di antara Sembilan inisiatif yang lain di setiap diosis. Ia diadakan pada 6-12 Jul 2023 oleh Penang Diocesan Youth Network (PDYN) dengan tema “Get Up and Go!”
Inisiatif ini dihadiri oleh 22 perwakilan pemimpin belia yang datang dari Keuskupan Agung Kuching, Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Keuskupan Melaka Johor dan Keuskupan Penang sebagai tuan rumah. MCYMC Initiative di Penang mempunyai tiga objektif iaitu:
1) “To grow in missionary consciousness, fervour, commitment and zeal (Evangelli Nuntiandi, no 58)
2) To encounter and experience the unconditional friendship which Jesus offers us (Christus Vivit, no 290)
3) To extend our circle of friends and acknowledge the worth of every human persons (Fratelli Tutti, no 97 and 106)
Program Inisiatif ini dimulakan dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Andrew di Church of the Immaculate Conception, Pulau Pinang. Di akhir Misa Kudus, para peserta telah diutus untuk melakukan misi dalam upacara pengutusan yang dilaksanakan oleh Fr Andrew. Acara suai kenal dilakukan selepas makan malam di mana para peserta yang datang dari tempat dan latar belakang yang berbeza dibantu untuk dapat mengenali antara sesama sebelum memulakan kerja-kerja misi mereka.
Sr Terry memberikan penerangan mengenai program MCYMC yang sedang berjalan
Pada hari kedua, para peserta berjalan kaki selama 10 minit ke gereja Assumption yang dibina pada tahun 1786, untuk perayaan Misa Kudus oleh Kardinal-Pilihan Sebastian Francis selaku Uskup bagi Keuskupan Penang. Kardinal-Pilihan Sebastian di dalam homilinya memberi galakan kepada para peserta untuk meneruskan semangat pelayanan mereka demi mencapai impian menjadi Gereja yang sinodal dan seterusnya mengalu-alukan kedatangan para peserta ke Keuskupan Penang.
Selepas itu kami telah melawat Diocesan Museum dan Gallery di mana kami telah diberi penerangan tentang sejarah gereja Keuskupan Penang dan melihat hasil lukisan yang sungguh unik oleh seorang paderi yang dilukis berdasarkan renungannya terhadap Alkitab. Ianya telah memberi inspirasi dan renungan dalam menghargai dan mahu meneladani para missionari yang terdahulu.
Bersama warga tua
Pada petang itu aktiviti kami ialah berjumpa dengan orang-orang yang tidak mempunyai rumah di Lighthouse. Lighthouse ialah satu usaha Gereja di Keuskupan ini membantu orang-orang miskin terutama mereka yang tidak berumah. Setiap hari mereka akan pergi ke tempat itu dan Gereja akan memberi mereka makan dan minum tanpa apa-apa bayaran. Kami mempunyai peluang berinteraksi serta bernyanyi untuk mereka dan memberi makanan dan minuman kepada mereka. Kesemua mereka adalah dari golongan orang tua.
Tim dari Caritas Penang memberikan perkongsian tentang apa yang Caritas lakukan untuk membantu mereka yang memerlukan. Kesemuanya ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para peserta akan tanggungjawab dan peranan sebagai seorang belia Kristian terhadap golongan yang tidak bernasib baik. Para peserta mengakhiri hari tersebut dengan Adorasi Sakramen Mahakudus di dalam gereja yang dipimpin oleh Fr Dasmond. Masa ini, para peserta mempunyai masa istimewa bersama Tuhan Yesus untuk mendengarkan Dia melalui SabdaNya dan pengalaman sepanjang hari tersebut.
Pada hari ketiga kami meneruskan perjalanan misi ke Sg Batu dan menghadiri Misa di Chapel of the Immaculate Conception yang dirayakan oleh Fr Victor Louis. Selesai Misa, kami meneruskan perjalanan ke Bukit Mertajam dan di sini kami mempunyai peluang untuk melawat tempat-tempat bersejarah di Mini Basilica St Anne. Setelah selesai kami telah ditempatkan di rumah keluarga angkat dan tinggal bersama mereka pada malam itu. Keluarga angkat ini terdiri daripada umat di paroki ini. Kami sangat terharu dengan layanan keluarga angkat yang begitu ramah dan murah hati.
Pada hari keempat, kami memulakan hari dengan perayaan Misa di St Anne Mini Basilica bersama umat. Selepas itu kami meneruskan perjalanan ke Taiping untuk program outreach di Vincent’s Home. Tempat ini merupakan tempat tinggal kanak-kanak yatim. Seramai 21 kanak-kanak tinggal di sana. Aktiviti yang kami lalukan di sini adalah makan tengahari bersama sambil meluangkan masa bersama mereka. Kami juga mengadakan aktiviti permainan dan berkebun. Kami gembira dapat meluangkan masa bersama mereka walaupun hanya beberapa waktu saja.
Dari kanak-kanak ini kami belajar untuk selalu bersyukur dan menghargai apa sahaja yang diterima walaupun dalam serba kekurangan. Pada petang itu kami tiba di gereja Sacred Heart, Kampar, dan disambut oleh paderi paroki Fr Simon Anand juga selaku ketua PDYN. Kami telah dibahagi kepada beberapa kumpulan untuk menjangkau kelompok migran. Di sana kami mempunyai kesempatan untuk mendengar cabaran dan hidup iman mereka yang tinggal jauh di rantau orang untuk mencari nafkah hidup. Ini mengajar kami untuk memahami dan lebih prihatin terhadap suara para migran. Sebenarnya kita semua adalah penziarah di bumi ini.