(Kiri ke Kanan) Fr Isidore Gilbert, Fr Russell Lawrine dan Uskup Agung John Wong ketika homili
Oleh Nelson Fernandez
July 29 2022
DONTOZIDON, Penampang – Uskup Agung John Wong menjalankan lawatan pastoral di Paroki St Paul Dontozidon pada 10 Julai lalu dan merayakan Misa Kudus jam 8.00 pagi, dibantu oleh Fr Russell Lawrine dan Fr Isidore Gilbert.
Di dalam homilinya, Uskup Agung berpesan kepada umat agar mengingati perintah Tuhan dengan mendengar sabdaNya kerana melalui sabda kita dapat merasakan kasih dalam diri untuk dikongsi dengan orang lain di sekeliling kita.
Melalui perintah dalam sabda Tuhan, Dia membawa kita kembali kepadaNya supaya mempunyai kehidupan yang kekal, cintakasih dan bahagia selama-lamanya.
Prelatus juga bertanya, “Mengapa Tuhan menyuruh kita untuk mengasihi dia terlebih dahulu sebelum kita mengasihi sesama?
“Ada orang yang sangat susah untuk mengasihi kerana tidak menyukai seseorang atau dalam kumpulan yang berbeza.
“Kasih ini adalah dari hati sendiri dan bukan dari Tuhan.
“Kasih daripada Tuhan mengajar kita untuk mengasihi sesama termasuk seseorang yang tidak disukai.
“Setiap orang mempunyai misi khas daripada Tuhan dalam penyertaan kita dalam aktiviti gereja.
“Keyakinan mesti ada dalam penyertaan kita dalam aktiviti gereja agar dapat kekal semangat dalam berjalan bersama untuk penginjilan khabar gembira,” kata prelatus.
Mesyuarat dan dialog bersama Majlis Pastoral Paroki, para pemimpin, umat, belia, pelayan-pelayan komuni tak lazim (ECM) dan para katekis
Selesai Misa, Uskup Agung diiringi oleh para paderi dan pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP), Hermes Sikajat, ke dewan paroki untuk acara fellowship, turut hadir adalah paderi paroki Fr Paul Lo.
Di samping fellowship, mesyuarat dan dialog juga diadakan di antara Uskup Agung dan barisan klergi, para pemimpin, umat, belia, pelayan-pelayan komuni tak lazim (ECM) dan para katekis, bermula pada jam 9.50 pagi sehingga 12.20 tengahari.
Setiap wakil komiti telah berkongsi intipati pelayanan sebagai pengerusi dalam membentuk komiti yang teguh dan berjalan bersama sepanjang melayani dalam MPP.
Dialog ini juga menyentuh isu kekurangan pelayanan di kalangan belia dan hampir semua komiti. Pelayanan yang kurang memuaskan dan tidak memberi kerjasama sepenuhnya juga dibincangkan dalam dialog ini di mana Uskup Agung dan paderi memberikan respon mengenai isu-isu tersebut.