Kompilasi oleh ES
KOTA KINABALU – Komisi Belia Keuskupan Agung Kota Kinabalu menganjurkan Konvensyen Belia Keuskupan Agung Kota Kinabalu (Kota Kinabalu Archdiocese Youth Convention – KKAYC) pada 25-27 Okt di Dewan Catholic Archdiocesan Centre, Kota Kinabalu.
Seramai 135 pemimpin belia dari 23 paroki dan satu dari Catholic Student Council berkumpul bersama dalam program bertujuan untuk para belia dapat merayakan, mendengar dan berjalan bersama di dalam terang Tuhan serta bersiap dalam menuju Malaysian Catholic Youth Day (MCYD) dengan tema “Orang-orang yang menantikan Tuhan akan berjalan dan tidak menjadi lelah” (Yes 40:31).
Aktiviti utama bagi konvensyen itu adalah ‘Perbualan Rohani’ di mana pihak penganjur telah menjemput seorang penceramah yang lebih arif dan biasa dengan aktiviti perbualan rohani iaitu Brother Jaclay Schalliven John dari kongregasi Jesuit.
Dalam Misa Kudus pembukaan, Uskup Agung John Wong berterima kasih kepada semua belia yang hadir untuk mengikuti kovensyen itu. “Saya percaya bahawa kebanyakan datang selepas balik dari kerja. Terima kasih,” kata prelatus itu.
Uskup juga mengatakan beberapa kunci utama dalam pembacaan pertama di mana St Paulus memohon agar mereka menjalani kehidupan yang sesuai dengan panggilan mereka. “Setiap orang yang dibaptis dipanggil untuk menghidupi kehidupan yang Kudus, itu sebabnya St Paulus memberi kita nasihat untuk menjadi Kudus; rendah hati, lemah lembut, sabar, menunjukkan cintakasih, saling membantu serta berusaha memelihara kesatuan roh dalam ikatan damai sejahtera sebab hanya ada satu roh dan satu tubuh.”
Prelatus meminta mereka untuk memilih satu dan memulakan dengan itu dahulu.
Di akhir homili, dia berkata bahawa “semua kita memainkan fungsi yang berbeza dalam tubuh ini tetapi kita semua adalah penting dan unik.”
Program itu membawa para pemimpin belia untuk duduk dan merenung kembali pelayanan mereka. Semasa aktiviti perbualan rohani mereka mempraktikkan sikap mendengar dan berdialog di antara sesama mengenai pengalaman pelayanan mereka di paroki masing-masing.
Berikut merupakan perkongsian pengalaman daripada belia yang mengikuti program konvensyen itu:
Program kali ini membawa impak yang besar kepada diri saya apatah lagi saya datang sebagai Tim Pelayanan Belia Paroki (TPBP), saya berasa sangat bersyukur dan bersukacita kerana berpeluang mengikuti program KKAYC ini. Dalam program ini saya bertemu dengan rakan belia atau pemimpin belia dari pelbagai paroki. Tidak lupa juga penceramah yang begitu berpengalaman dalam pelayanan gereja. Saya juga merasa terharu apabila melihat perkembangan iman katolik di borneo khususnya di Diosis Agung Kota Kinabalu, dan kagum apabila mendengar perkongsian rakan belia lain dalam perjalanan pelayanan gereja mereka. Ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk melayani. Program ini juga mengekalkan sukacita dan pengharapan dalam diri saya secara peribadi. Sekali lagi, saya sangat bersyukur kerana menjadi salah satu peserta KKAYC ini. Apa pun yang dilakukan semua ini adalah untuk kemuliaan Tuhan Yesus.
Sesi yang menarik perhatian saya adalah sesi pertama iaitu ‘Martha works, Mary listens’ yang disampaikan oleh Brother Jaclay. Saya memilih sesi ini kerana ia membawa saya merenung dan mengingat semula bagaimana perjalanan saya dalam pelayanan gereja. Sesi ini juga membawa saya merenung lebih dalam bagaimana tindakan saya menuju pelayanan Gereja. Sesi ini menunjukkan dua keperibadian yang berbeza. Pertama Martha yang hanya bekerja tanpa mendengar dan yang kedua Maria yang cuma mendengar. Disini saya dapat mempelajari bahawa dalam pelayanan perlu ada keseimbangan dalam diri kita agar pelayanan dapat dijalankan dengan lebih baik, Sesi ini juga menyedarkan saya supaya lebih komited dalam menjalankan pelayanan dan tidak lupa bahawa tunjang utama adalah selalu memohon bantuan daripada Roh Kudus. Sesi ini mengajar bahawa iman tanpa perbuatan adalah kosong atau tiada apa-apa. Oleh itu, perlu untuk mengimani dan bertindak. Selain itu, spiritual conversation juga menarik perhatian saya di mana sesi ini kami saling berkongsi antara satu sama lain dan banyak saya pelajari dari kisah perjalanan pelayanan rakan-rakan belia yang lain terutama dari belia senior.
Harapan saya selepas menyertai program ini adalah semoga saya menjadi seorang belia atau pemimpin yang lebih berkomitmen dalam pelayanan tanpa berasa lelah, lebih berani dan yakin untuk terus mengambil peranan sebagai orang muda katolik (OMK) dalam misi Kristus lebih-lebih lagi dunia masa kini yang penuh dengan cabaran, terus berdoa dan percaya kepada Tuhan Yesus. Sebagai OMK, mari kita bergerak memenuhi panggilan dan misi Tuhan yang lebih besar, lebih tinggi dan mulia. Jangan pernah takut memenuhi misi Tuhan. Saya juga berseru kepada belia di luar sana untuk terus meneladani sikap Yesus dan terus berdoa kepadanya dan melalui bonda kita ibu Ratu Rosari. Saya juga mahu mengajak OMK agar berjalan bersama menuju misi Kristus dan berani menyahut pangilan Tuhan bekerja di ladangnya sebagai paderi mahupun religius. Jangan takut untuk katakan YA kepada Tuhan yesus. – Andrew Mervin Juitin, 31, St Peter Claver, Ranau
Syukur dan terima kasih atas kesempatan yang diberikan untuk mengikuti youth convention ini. Saya rasa ianya satu peluang dan kesyukuran kerana program ini julung kalinya diadakan, di mana ia mengumpulkan semua ahli Tim Pelayanan Belia Paroki (TPBP) yang ada di Diosis Kota Kinabalu.
Sesi yang menarik bagi saya dalam program ini adalah spiritual conversation, kerana melalui sesi ini, kami dapat mendengar pengalaman atau perkongsian hati ke hati belia dari paroki yang berbeza. Apabila mendengar perkongsian mereka, memang banyak persamaan yang berlaku seperti di Paroki saya Stella Maris, rata-rata semua mempunyai pengalaman seperti cabaran berjalan bersama dengan satu tim dalam TPBP. Syukur kepada Tuhan, program ini bukan sahaja dapat berkongsi pengalaman, namun juga dapat memberikan kesedaran akan peranan sebagai pemimpin dalam TPBP di mana berjalan bersama sebagai satu Tim itu adalah penting. Kerjasama dan campur tangan Tuhan Yesus di dalam doa harus disertakan setiap hari apabila melakukan sesuatu aktiviti itu, seperti dalam cerita Marta dan Maria di mana Marta selalu sibuk akan tugasannya di dapur dan Maria pula menghabiskan masa untuk berdoa. Pengalaman Marta dan Maria ini memberi mesej yang dalam kepada para pemimpin bahawa kerja dan doa haruslah sentiasa sama rata.
Harapan saya kepada pemimpin belia yang mengikuti program ini adalah, semoga mereka dapat memberikan kerjasama di antara sesama TPBP untuk membawa belia katolik yang tidak aktif melayani di dalam gereja dan semoga mereka mendapat kesedaran yang mendalam bahawa berjalan bersama sebagai pemimpin belia dalam TPBP adalah penting dan memainkan peranan yang besar di dalam belia kita kerana, jika pemimpin itu sendiri tidak bertanggungjawab atau bersikap pentingkan diri sendiri, maka visi dan misi pelayanan belia dalam TPBP itu tidak akan tercapai. Tuhan memberkati. – Sr Edna Sylvester (Youth Animator), 41, Stella Maris
Shallom, saya Scholastica Dominic dari Paroki St Peter Kudat Syukur dan puji Tuhan, saya sangat gembira dan teruja dapat mengikuti KKAYC ini selama Tiga hari bertempat di KK Archdiocese.
Sesi yang diberikan sepanjang program tersebut semuanya menarik. Apa yang paling menyentuh hati saya ialah biarpun umur saya sudah 51 tahun, saya masih dan boleh mengikuti program ini sehingga selesai. Saya yang sudah lama tidur , kini bangkit semula. Bersemangat apabila mendengar setiap ceramah yang disampaikan oleh penceramah.
Harapan dan nasihat saya kepada pemimpin belia yang mngikuti program ini agar dapat mempraktikkan hidup berdoa, merenung firman Tuhan dalam kehidupan harian dan mengongsikan pengalaman dalam pelayanan Belia seperti Martha dan Maria yang harus ada dalam peribadi pemimpin belia harus seimbang iaitu mendengar firman Tuhan dan bertindak dalam perbuatan kasih Tuhan. – Scholastica Dominic, 51, Paroki St Peter Kudat
Shallom, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana berpeluang menyertai program KKAYC. Sebenarnya pada mulanya saya dua hati untuk pergi disebabkan saya ada kerja luar pada 26 Okt.Kalau pergi pada 25&27 Okt saja rasanya saya tidak akan dapat dengar sesi Bro Jacklay yang sangat mantap. Tapi syukur kerja yang saya maksudkan itu ditunda dan saya dapat menyertai keseluruhan program. Kalau saya tidak sertai program ini, Saya rasa saya lah orang yang paling rugi dalam dunia.
Kedua-dua sesi Bro Jacklay yang memberi saya renungan tentang pelayanan saya. Input yang diberikan sangat ringan dan membuatkan saya semangat untuk memahami lebih dalam tentang sesi ini. Spiritual conversation juga membantu saya untuk membuka mata dan terus prihatin kepada belia-belia masa kini. Mendengar cerita tentang belia di paroki lain membuat saya sedar yang kita sebagai pemimpin belia harus pandai dan kreatif berhadapan dengan pelbagai jenis personaliti belia. Perkongsian setiap kawan-kawan dalam kumpulan juga membantu perkembangan iman di dalam pelayanan belia saya. Satu hal yang saya sentiasa pegang dalam pelayanan saya ialah, kita sebagai belia mempunyai pelbagai bakat dan talenta. Dengan bakat ini kita bukan bersaing di dalam pelayanan tetapi saling melengkapi.
Harapan saya semoga terus dapat berjalan bersama dengan semua pemimpin belia dari pelbagai paroki. Walaupun kita mungkin menghadapi cabaran yang berbeza-beza di paroki kita, tapi saya percaya kita pasti boleh menghadapinya dengan terus mendoakan satu sama lain dan terus memberi inspirasi yang terbaik kepada belia yang kita layani pada masa kini. – Zeveon Steven, 37, Paroki St Augustine Kinarut
Untuk Program KKAYC ini, bagi saya, keseluruhan program sangat menarik dan saya sangat gembira sebab dapat berjumpa, berkenalan dan mendengar sesi Bro Jaclay yang sangat bermakna buat saya. selain itu, saya dapat berkenalan dengan kordinator belia paroki seluruh keuskupan KK, saya juga berpeluang utk mengenali para penganjur yang hebat, para sisters terbaik yang hadir pada program itu. Antara sesi yang paling menarik perhatian saya adalah ketika berkumpul dalam spiritual conversation, dimana kami dibahagikan kepada setiap kumpulan. dalam setiap kumpulan tersebut, kami mempunyai seorang fasi dan beberapa belia yang saya sendiri tidak kenal bergabung, tetapi apabila berada dalam kumpulan, kami sangat selesa untuk sharing dan terbuka untuk berkongsi serta bersama-sama memberi kata-kata semangat kerana, bagi saya sesi ini membuka mata, hati, perasaan untuk mendengar apa sahaja situasi yang kami hadapi sebagai belia atau pemimpin belia. Harapan saya sebagai salah seorang pemimpin belia dan juga kepada pemimpin belia yang lain adalah jangan berputus asa! Marilah bersama berjalan meneruskan Misi Kristus. – Shirley Wanda Herry, Paroki Holy Nativity Terawi
Perasaan saya mengenai keseluruhan program ini adalah saya rasa penuh kesyukuran dan diberkati. Sejujurnya sebelum hadir ke Youth Convention ini saya mengalami cabaran yang membuatkan saya merasa tidak dapat hadir. Syukur kerana di beri tugasan oleh ketua belia untuk melayani semasa Youth Convention ini. Saya juga rasa terpanggil dan diilhamkan hasil semangat yang telah ditunjukkan oleh penganjur Youth Convention. Mereka sangat hebat.
Semua sesi daripada Brother Jaclay telah memberikan input yang sangat-sangat baik kepada kami semua namun satu sesi iaitu Sesi pertama iaitu ‘Martha Works, Mary Listens’ dan “Jesus went to a solitary place” telah membuka mata saya akan pelayanan yang telah saya buat dan harus teladani dalam pelayanan sebagai pemimpin belia.
Harapan dan nasihat saya kepada pemimpin belia agar menyeru lebih ramai belia untuk terus menerus menjalankan misi Kristus. Kongsikan semangat dan api Roh Kudus kepada belia di paroki masing-masing agar lebih ramai terpanggil menjadi pemimpin belia. – Zaerenee Xavier, 31, St Theresa, Kota Marudu