Fr Lazarous Uhin membaptis bayi semasa Misa Kudus pada 23 Mei
Oleh Juanis bin Marcus
26 Mei 2021
KENINGAU – Ibu bapa dan penanggung mempunyai tanggungjawab terhadap bayi yang dibaptis agar membesar dalam iman kepada Yesus Kristus tegas Fr Lazarous Uhin semasa memimpin Misa Kudus Pembaptisan Bayi pada 23 Mei di Dataran Keuskupan Keningau.
Seramai 56 bayi dibaptis kali ini, yang berumur tujuh tahun ke bawah dan khusus untuk Paroki Keningau.
“Secara manusiawi, bayi yang dibaptis seakan-akan dipaksa untuk dibaptis. Namun kerana kesedaran ibu-bapa pentingnya pembaptisan maka hari ini mereka berada disini. Oleh kerana mereka masih lagi bayi, ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk mendidik anak-anak agar mereka membesar dalam iman kepada Yesus Kristus,” tegas Fr Lazarous.
Para penanggung juga mempunyai peranan untuk membantu ibu bapa memberi pengertian mengapa pentingnya pembaptisan kepada anak-anak apabila mereka membesar kelak.
“Hari ini Hari Pentakosta, anak-anak yang dibaptis akan menerima Roh Tuhan sehingga dosa asal mereka dihapuskan. Bukan itu sahaja, anak-anak itu akan menjadi komuniti Katolik sejagat,” tambah Fr Lazarous menutup homilinya.