
Oleh Lily Akau
MAHANGA, Maang – Walaupun hujan lebat tetapi tidak mematahkan semangat ahli-ahli KKD di pertempatan Mahanga untuk menghadiri Misa Kudus yang pertama kali diadakan untuk KKD itu. Misa Kudus pada 20 Feb 2025 yang berlangsung di Balai Raya dianjurkan oleh KKD Gabungan-6 yang merangkumi KKD Suok, KKD Mahanga dan KKD Solokon.
Dalam homili Friar Gerald Terence Saimel ofm, yang memimpin Misa pada jam 8.00 malam itu memuji iman setiap ahli KKD yang hadir terutama yang tinggal di atas bukit penempatan itu yang mana keadaan laluan sangat licin dan gelap.
“Walaupun hujan turun dengan lebatnya, kita tidak goyah dalam program KKD ini. Inilah cintakasih sebenar yang kita mahu, hidup harmoni, bersatu dan saling bekerjasama dalam apa jua aktiviti, kita diajak untuk bersama dalam komuniti untuk membangun kesetiaan dan berkomitmen dalam kesetiaan,” kata Friar Gerald.
Paderi itu juga menekankan tiga peranan utama dalam hidup berkomuniti iaitu saling bantu membantu, belajar untuk berkorban dan belajar untuk memaafkan.
”Dalam hidup berkomuniti, kita haruslah benar-benar peduli terhadap jiran yang memerlukan, bukan saja dalam bentuk material tetapi kita berbagi masa dan tenaga. Kita belajar bagaimana untuk melayani menjadi pendamai untuk orang lain,” katanya.
Friar Gerald mengakhiri homilinya dengan memberi peringatan kepada kita, dengan bertanya diri sendiri ‘apakah saya sudah melayani atau menyebabkan perpecahan.
Misa Kudus itu diserikan lagi dengan kumpulan koir dari Gereja Divine Mercy, Maang.
Penduduk Mahanga adalah majoriti Katolik daripada pelbagai latar belakang dan KKD Mahanga bernaung di Gereja Divine Mercy, Maang, salah satu zon Paroki St Michael, Penampang. KKD yang sudah lama terbentuk namun baru pertama kalinya dilawati oleh paderi.
Selepas Misa, hadirin menikmati pelbagai jenis masakan yang disediakan oleh KKD Mahanga. Sambil makan dihiburkan dengan persembahan pentas oleh pelajar-pelajar Pertemuan Minggu Gembira (PMG) serta beberapa cabutan nama bertuah.