Oleh Sherley Milly
INANAM – Dengan tema “Mereka yang berharap pada Tuhan, berjalan tanpa lelah” -Yes 40:31, seramai 52 orang muda Katolik (OMK) menyertai program persiapan Hari Orang Muda Sedunia (HOMS) anjuran Tim Pelayanan Belia Paroki (TPBP) pada 13 Nov 2024. Kebanyakan peserta yang hadir merupakan peserta Belia Masuk Kampung (BMK) 2.0.
Program persiapan HOMS ini bertujuan untuk memberikan para belia ruang untuk berehat sebentar daripada kesibukan dunia dan lebih mendengar kepada Yesus. Tema HOMS 2024 telah dikongsikan lebih awal kepada para belia supaya mereka lebih mengetahui tujuan sebenar serta tema HOMS pada tahun ini.
Program bermula pada jam 7.00 petang dengan welcoming serta enegizer dari TPBP. Seterusnya, Fr Sylvester Wong menyampaikan sesi mengikut tema HOMS 2024. Beliau berkata bahawa belia pada masa ini haus akan cinta kasih sama ada daripada keluarga, rakan-rakan, haiwan peliharaan mahupun media sosial.
Namun, tidak ada cinta kasih yang sejati seperti Yesus. “Carilah ketenangan, carilah rehat dalam Yesus, dalam ekaristi, kerana dalam ekaristi Yesus memberikan segala-galanya pada kita. Yesus menunjukkan cinta kasih-Nya kepada kita”, jelas Fr Sylvester.
Fr Sylvester juga menyatakan bahawa, “kita terlalu sibuk dengan kehidupan kita sehingga tiada masa untuk merenung dan berehat. Namun, kita boleh berehat dalam Tuhan, supaya Tuhan dapat membuatkan sesuatu di dalam hidup kita.” Dia juga berpesan kepada para belia agar mencari seseorang untuk meluahkan perasaan dan tidak menyimpan semua di dalam hati.
Program diakhiri dengan saat teduh di mana OMK diberikan ruang untuk membuka hati mereka, mendengarkan suara Yesus dan berehat secara bermakna bersama Yesus. Fr Sylvester juga membawa para belia di dalam renungan agar tumpuan mereka tertuju kepada Yesus.
Selepas program persediaan HOMS, para belia mengadakan BMK 2.0 pada 23 Nov 2024. Program HOMS Inanam pada kali ini berlainan dari tahun-tahun sebelumnya, di mana selalunya perkhemahan diadakan, tetapi pada tahun ini, seramai 58 OMK mendaki dari Chapel St Victor Poring-Poring ke St Joseph, Kokol sambil memungut sampah di sepanjang perjalanan. Mereka juga melawat rumah orang-orang sakit dan berdoa bersama serta menyampaikan sumbangan barang keperluan. OMK juga mengendalikan liturgi dan koir pada Misa sempena Kristus Raja dan HOMS pada 24 Nov 2024.