DSP Simiun Lomudin merakam gambar kenangan bersama Fr MaxmillIanno Hantor, Pegawai Kanan, Anggota serta umat St Victor Kg Bongkud
Oleh Clarence Dol
Apr 29 2023
RANAU – Suasana harmoni dalam kelompok masyarakat perlu dikekalkan kerana ia sebahagian daripada amalan dalam ajaran agama.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, keharmonian hidup bermasyarakat membolehkan daerah Ranau terhindar dari sebarang bentuk ancaman keselamatan dan jenayah berat yang menakutkan penduduk.
“PDRM Ranau berterima kasih kepada seluruh masyarakat daerah ini yang sentiasa bekerjasama dengan pihak kami dalam mengekalkan keharmonian dan ketenteraman awam bersama. Saya memberi jaminan bahawa daerah Ranau sentiasa selamat dan terhindar dari ancaman keselamatan dan jenayah”. Tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas menghadiri Misa Khas Sempena Memperingati Sambutan Hari Polis Ke-216 Tahun di Gereja Katolik St Victor Kg Bongkud.
Dalam pada itu, Simiun turut menjelaskan pihaknya akan terus komited membenteras jenayah penipuan dalam talian dan gangguan seksual dikalangan remaja dan kanak-kanak bawah umur dimana beberapa kes pernah dilaporkan berlaku di daerah tersebut.
Katanya, kerjasama masyarakat dalam menasihati anak-anak, belia dan umat di sekitar perkampungan amat diharapkan agar kedua-dua bentuk jenayah tersebut tidak bertambah serius.
“Terdapat beberapa laporan diterima sejak akhir-akhir ini dimana terdapat mangsa-mangsa penipuan dalam talian dan kes amang seksual. Kami akan terus memastikan ia dibanteras sepenuhnya”. Tegasnya.
Menyentuh mengenai program yang dianjurkan, beliau berkata ia merupakan aktiviti tahunan sempena sambutan memperingati Hari Polis Ke-216 dan kali ini gereja katolik di Kg. Bongkud dipilih selepas gereja Sidang Injil Borneo (SIB) pada tahun sebelumnya.
Upacara sembahyang tersebut dipimpin oleh Fr MaxmillIanno Hantor, Paderi St Peter Claver, Ranau dan dihadiri sekitar 150 orang yang terdiri daripada kalangan pegawai kanan, anggota, ahli keluarga PDRM Ranau serta umat kristian setempat.
Sementara itu, Fr Max mengingatkan anggota polis Kristian supaya menjalani kehidupan yang penuh dengan doa, terutamanya sifat panggilan mereka yang sentiasa berhadapan dengan keadaan yang tidak diduga.
“Yakinlah dengan doa, kita boleh menghadapi apa jua keadaan dengan yakin bahawa Tuhan akan sentiasa melindungi kita dan membimbing kita dalam membuat keputusan yang baik semasa bertugas menjaga keamanan dan keselamatan persekitaran kita,” katanya.
Turut hadir adalah ASP Lesius Drunnsung, Inspektor Cawangan Khas Daerah Ranau selaku pengerusi penganjur, Inspektor Rony Ray Pius, Ketua Bahagian Logistik Dan Teknologi IPD Ranau, Georgina George, Pengerusi Proktokol Gereja SPCR Daerah Ranau dan Faustine Thonas, Pengerusi Komuniti Umat Katolik Gereja St Victor Kg. Bongkud.