Kanak-kanak migran membuat persembahan semasa acara hari ulang tahun ke-8
Oleh Titehena
Okt 24 2023
PAPAR – “Buruh migran dan perantau yang bermartabat adalah sebuah impian bagi para perantau dan pencari kerja dengan kualiti peribadi agar dapat bekerja secara aman. Cita-cita membangun hidup dan keluarga yang bahagia dapat menjadi sebuah kenyataan. Cita-cita inilah yang menjadi dambaan hati bagi setiap warga migran”.
“Di negeri ini banyak sekali warga migran dan perantau, mereka sedar bahawa menjadi buruh migran adalah bukan semata-mata usaha untuk memperbaiki nasib hidup yang tidak menentu, tetapi dilihat sebagai satu panggilan Tuhan, kesetiaan iman kepada Tuhan menjadi seorang buruh migran sebagai orang yang memiliki martabat sebagai anak-anak Tuhan”.
“Banyak kisah warga migran yang berjaya namun banyak juga kisah kegagalan yang mencemarkan diri sendiri. Dalam kacamata iman, kita harus mengakui bahawa kisah kegagalan terjadi kerana orang lupa dan tidak setia kepada Tuhan, ketidaktaatan kepada aturan mahu pun pada iman akan Tuhan membawa akibat buruk bagi peribadi kaum migran dan perantau”.
“Iman yang kuat akan membawa berkat yang berlimpah bagi diri sendiri sekaligus menjadi saluran berkat bagi orang lain”.
Kata-kata di atas adalah ucapan daripada Pengelola Community Learning Centre (CLC) Yohanes Pati Sogen dalam acara majlis Hari Ulang Tahun Community Learning Centre St Joseph yang ke-8 pada 1 Okt lalu.
Beliau menambah “warga migran hendaknya bersyukur walaupun banyak kesulitan hidup tetapi mereka dapat menyekolahkan anak-anak di CLC dengan harapan anak –anak kelak dapat memutuskan rantai kemiskinan,” katanya.
Yohanes berharap pada kanak-kanak yang sedang bersekolah di CLC St Joseph, agar bertumbuh dan berkembang menjadi anak yang berguna bagi gereja dan masyarakat.
Turut disampaikannya adalah sejarah pembentukan sekolah migran yang dimulai pada 1 Okt 2015, kemudian pada 13 Jul 2016 sekolah yang berkedudukan di Gereja St Joseph itu dirasmikan oleh Konsul Jenderal Republik Indonesia Kota Kinabalu.
Acara Hari Ulang Tahun ke-8 sekolah itu berjalan dengan lancar, diwarnai dengan pelbagai persembahan tarian dan nyanyian oleh siswa-siswi sekolah tersebut.