Oleh Gabriel Singi
BUNDU TUHAN – Dalam kemeriahan menyambut Tadau Kamatan di seluruh Sabah, umat di Chapel St Philip Neri Pekan Nabalu turut serta menganjurkan perayaan empat-dalam-satu di peringkat chapel sebagai tanda kesyukuran umat di chapel itu pada 28 Mei 2024.
Perayaan bermula dengan Misa Kudus sempena Hari Santo Penaung Chapel St Philip Neri. Inti utama perayaan itu diserikan lagi dengan tiga sambutan lain iaitu Kaamatan, Hari Ibu dan Hari Bapa.
Sambutan perayaan seumpama ini yang dirayakan di peringkat chapel bukan sahaja dapat mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama umat tetapi, ia juga menghidupi kebudayaan tradisi yang disesuaikan dengan sambutan perayaan di gereja. Semua umat mengungkapkan syukur lebih-lebih lagi perayaan disambut dalam Misa Kudus.
Dalam perayaan kesyukuran itu, pelbagai acara menarik telah diadakan seperti persembahan orang muda Katolik (OMK), pertandingan zandi tavanus, gundohing tavantang, pertandingan minum dan makan makanan tradisional, lagu-lagu tajaan dan cabutan tiket bertuah.
AJK Penganjur turut menyediakan hadiah istimewa kepada para ibu dan bapa. Seiring dengan perjalanan gereja sinodal di paroki itu, perayaan empat-dalam-satu itu telah memperlihatkan kebersamaan umat melalui partisipasi dalam Misa Kudus dan acara sosial yang menggembirakan.