Peserta HOMS bersama Fr Mitchelly Kiun selepas Misa Harian pada Sabtu, 25 Nov 2023
Oleh Rhena Rhen Jitumin
Dis 12 2023
KOTA MARUDU – Tim Pelayanan Belia Paroki (TPBP) St Theresa, Kota Marudu telah mengadakan program belia pada 24-26 Nov 2023 bagi meraikan Hari Orang Muda Sedunia (HOMS). Program buat julung kalinya ini diadakan di Dewan Paroki St Theresa di mana lebih daripada 200 peserta berumur di antara 13 – 45 tahun daripada Zon Pusat, Zon Tandek, Zon Langkon dan Zon Pitas telah menyertainya termasuk para belia daripada Paroki St Peter, Kudat.
Tema HOMS peringkat paroki diambil dari ayat Alkitab Roma 12:12 “Bersukacitalah dalam Pengharapan” dengan objektif untuk membantu belia berani menghadapi cabaran dunia masa kini melalui pengharapan dalam Kristus.
Pendaftaran para peserta bermula pada jam 6.00 – 7.00 petang. Sejumlah 95 peratus dari para peserta tidur di sekitar kawasan dewan paroki sementara mereka yang tinggal berdekatan dengan Gereja dibenarkan pulang selepas selesai program. Setelah selesai pendaftaran, makan malam bersama telah disediakan dengan bantuan dari komiti Liga Wanita Katolik.
Pada jam 8.30 malam, TPBP dan semua peserta pergi ke Gereja untuk berlatih koir dan raptai perjalanan Misa Minggu yang akan diadakan pada hari Ahad sempena dengan Hari Minggu Kristus Raja Semesta dan perayaan HOMS. Setelah selesai latihan kira-kira pada jam 10.00 malam, kami semua pun berangkat kembali ke dewan paroki untuk pembahagian kumpulan. Koordinator TPBP, Marie Grace George, telah membahagikan para peserta kepada 10 kumpulan melalui nombor di tag nama, dan seorang ketua telah dilantik bagi setiap kumpulan dengan jumlah ahli seramai 20-22 orang. Taklimat dan peraturan juga telah disampaikan sebelum ‘lights off’ pada jam 11.30 malam.
Hari kedua dimulai dengan persiapan diri pada jam 5.00 pagi sebelum menghadiri Misa Harian pada jam 6.30 pagi di Gereja. Selepas itu, Zumba Rohani yang dikendalikan oleh TPBP telah dilakukan. ‘Ice breaking’ juga dijalankan agar para peserta dapat mengenali rakan-rakan baru dari zon-zon lain. Seterusnya, sarapan pagi adalah selama sejam sebelum sesi pertama dimulakan pada jam 9.00 pagi.
Aktiviti Team Building, hantaran tepung sampai kepada orang belakang
Sesi pertama bertajuk “Belia, Cabaran dan Yesus” disampaikan oleh Marcus Kopong. Seorang peserta yang bernama Olyvia Octavia Chia berkongsi semasa sesi ini, dia berkata bahawa belia adalah golongan yang mampu membawa khabar sukacita kepada orang lain. Pembangunan rohani sebagai seorang belia juga akan terbantut sekiranya cabaran daripada sekeliling dan diri tidak diatasi dengan betul. Baginya, Yesus merupakan sumber utama bagi segala pengharapan atas segala cabaran hidupnya.
Di dalam sesi kedua bertajuk “Sukacita dalam Pengharapan” yang disampaikan oleh Sr Ernna James, Fredolin Kamedis berkongsi perkataan yang menegur dirinya iaitu “dengarkanlah dan jadilah bijak. Tunjukkanlah hatimu ke jalan yang benar.” Ini memberikan inspirasi kepadanya untuk tetap kuat dalam melakukan pekerjaan dengan kasih.
Aktiviti petang diteruskan dengan energizer yang dikendalikan oleh para peserta dari Zon Tandek sebelum beralih ke sesi yang ketiga iaitu membaca dan mengongsikan renungan mereka tentang Pesan Bapa Suci Fransiskus untuk Hari Orang Muda Sedunia ke-38 dalam kumpulan masing-masing.
Setelah selesai sesi perkongsian ini, aktiviti Team Building bermula pada jam 3.30 – 5.30 petang. Melalui aktiviti ini, para peserta dapat membentuk kerjasama yang baik di antara ahli kumpulan dan yang lebih penting lagi, dapat merasakan sukacita melalui hubungan yang terjalin.
Pada jam 8.30 malam, Sesi doa Taize telah diadakan selepas sahaja persiapan diri dan makan malam. Melalui doa ini, para peserta diajak untuk meluangkan masa dalam suasana hening dan berkomunikasi secara peribadi dengan Yesus yang hadir setelah melalui hari yang telah memberikan banyak input rohani kepada mereka. Sebaik sahaja doa ini selesai, Malam Persahabatan terus diraikan dengan acara bertukar-tukar hadiah serta memberikan kata-kata peneguhan kepada rakan-rakan yang mereka kenali. Acara ini berakhir pada jam 10.00 malam.
Pada keesokan harinya, Misa Kudus bermula pada jam 8.10 pagi diraikan oleh Fr Mitchelly Kiun, paderi pembantu paroki. Seterusnya, selepas selesai Misa Kudus, semua peserta berangkat ke dewan untuk meraikan penutupan program ini bersama-sama dengan penerima Komuni Kudus Pertama. Semoga program seperti ini dapat dijalankan lagi bagi menyeru lebih ramai belia untuk menghidupi Pesan Bapa Suci Fransiskus.