Penyerahan tugas oleh Fr Thomas Madanan kepada Msgr Nicholas Stephen sebagai Penasihat Rohani SOCCOM sambil diperhatikan oleh Uskup Agung John Wong semasa majlis sua mesra ahli-ahli KOMSOS, pada 21 Mei 2023.
Oleh Peter Z
Mei 23 2023
KOTA KINABALU – Meraikan tema “Berbicara dari hati menurut kebenaran dalam kasih” (Ef. 4:5) sempena Hari Komunikasi Sosial Sedunia ke 57, para ahli Komiti Komunikasi Sosial (KOMSOS) dari hampir kesemua paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu berkumpul dalam Misa Kudus pada 21 Mei lalu di Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu. Misa kudus yang dirayakan pada jam 11 pagi itu dipimpin oleh Uskup Agung John Wong dan turut dibantu oleh Msgr Nicholas Stephen, Penasihat Rohani Komisi Komunikasi Sosial Keuskupan Agung (Social Communication Commission – SOCCOM) yang baru dilantik, Fr Thomas Madanan, mantan Penasihat Rohani SOCCOM dan Paderi Paroki Katedral Hati Kudus, Fr Paul Lo.
Tiga minggu sebelum itu, pada 1 Mei, para ahli KOMSOS telah berkumpul terlebih dahulu dalam satu rekoleksi bagi memahami dan mendalami mesej yang terkandung dalam Pesanan Bapa Suci Paus Franciskus yang telah pun diterbitkan pada 24 Januari 2023.
Memetik semula dan sambil memberikan penekanan inti utama dari Pesanan Sri Paus, Prelatus Keuskupan Agung Kota Kinabalu itu menyatakan dalam ucaprasminya bahawa dengan berbicara dari hati, ia memperlihatkan keikhlasan yang seterusnya membuka peluang untuk dialog.
Prelatus itu menekankan bahawa sebagai ahli KOMSOS, ianya bukan sekadar tentang kemahiran dalam mengendalikan gajet-gajet komunikasi tetapi setiap ahli perlu menjadi ‘ahli komunikasi bagi perkara kebaikan’ (communicator of the good things). Menjadi ahli komunikasi bagi perkara kebaikan hanya dapat dimulai jika seseorang itu belajar mendengar dan mempunyai hati yang ‘melihat’, tambah beliau.
Selain dari meraikan majlis sua mesra dikalangan ahli-ahli KOMSOS bersama dengan Uskup Agung dan juga dengan ahli SOCCOM, terdapat juga pameran aktiviti-aktiviti oleh KOMSOS paroki, jualan baju dan persembahan pentas.