Uskup Agung John Wong memberkati para pelayan SOCCOM Keuskupan Agung Kota Kinabalu dalam misi penginjilan Gereja pada 29 Mei di St Paul Dontonzidon
Oleh Linda Edward
31 Mei 2022
DONTOZIDON – Keuskupan Agung Kota Kinabalu merayakan Hari Komunikasi Sosial Sedunia ke-56 (WCD) pada 29 Mei lalu di paroki St Paul Dontozidon, setelah dua tahun tidak meraikan sambutan ini akibat pandemik.
Uskup Agung John Wong memimpin Misa Kudus sambutan Hari Komunikasi ini yang jatuh pada Minggu Paska ke-tujuh pada setiap tahun. Bersamanya adalah Fr Thomas Madanan, Penasihat Rohani SOCCOM Keuskupan Agung Kota Kinabalu.
Uskup Agung John dan Fr Thomas Madanan bersama umat menonton video WCD ke-56 peringkat Keuskupan Agung KK selepas Misa Kudus
Bapa Suci Fransiskus menjemput umat Katolik bukan hanya mendengar mesej Injil, tetapi “Mendengar Dengan Telinga Hati” iaitu tema perayaan WCD 2022.
Di dalam pesannya, Uskup Agung John berkata di zaman IT ini, pengaliran informasi dan berita yang cepat dan banyak melalui media sosial dan televisyen menyebabkan manusia tidak lagi berhenti untuk merenung apa yang dilihat, baca atau dengar, mengakibatkan kesan yang tidak baik.
“Akibatnya berita-berita yang sedih atau yang memerlukan respon tidak dapat dilakukan.
“Tema WCD tahun ini menjemput kita untuk berubah.
“Kita dijemput untuk mengubah amalan-amalan ini kepada melihat dan mendengar dengan telinga hati, supaya kita tahu dan sendiri mengalami situasi hidup tersebut dari dekat,” katanya.
Harapannya kepada pelayan-pelayan SOCCOM Keuskupan Agung KK, “Dalam setiap kegiatan pelayanan anda, cubalah mendengar peristiwa atau kejadian dengan telinga hati terlebih dahulu.
“Dan kemudian melalui suara ini, (dengar) apa Roh Kudus ingin katakan kepada para pembaca atau pendengar dalam kejadian ini.
“Kalau anda dapat buat demikian, liputan anda pasti membawa kesan yang luar biasa,” kata prelatus itu.
Dia berharap agar mesej tema “Mendengar dengan telinga hati” dapat membawa satu pembaharuan dalam diri dan pelayanan mereka.
Penganjur St Paul dan SOCCOM Keuskupan Agung juga menyediakan sudut pameran pada hari tersebut
Komisi SOCCOM Keuskupan Agung dan perwakilan SOCCOM paroki, Joe Leong (tengah berbaju biru)
Mengulas mengenai sambutan WCD, Pengerusi SOCCOM Keuskupan Agung, Joe Leong berkata kehadiran peribadi Uskup Agung John dalam sambutan ini adalah sangat signifikan dan bermakna.
“Uskup Agung kita tidak berhenti menyokong acara tahunan SOCCOM yang penting ini sejak tahun-tahun yang lalu.
“Oleh itu, kita melihat kehadiran Uskup Agung sebagai pengiktirafannya ke atas kepentingan peranan komunikasi sosial di dalam keuskupan agung kita,” tambahnya.
Uskup Agung menyapa ahli SOCCOM semasa jamuan makan tengahari di dewan St Paul
Beberapa paroki di bawah Keuskupan Agung telah menghantar wakil ke perayaan termasuk St Paul sendiri, iaitu dari Kepayan, Tuaran, Kiulu, Inanam, Penampang, Kota Belud, Manggatal, Church of Mary Immaculate Bukit Padang dan Katedral Hati Kudus yang akan menjadi tuan rumah sambutan WCD pada tahun hadapan.
Jasta Pamantar, SOCCOM St Michael Penampang, bersyukur atas sambutan WCD tahun ini, “Puji Tuhan, syukur, saya gembira sebab hari ni kita dapat kesempatan bersama-sama di St Paul. Tema tahun ini adalah baik, memberi kita semangat untuk terus bekerja.
Nelson Fernandez dari Tim Penganjur WCD St Paul gembira diberi peluang menjadi tuan rumah tahun ini, “Terima kasih kepada Tim SOCCOM Keuskupan Agung kerana memberi kami peluang, harapan dan keyakinan untuk menganjur sambutan ini.
“Sangat gembira namun gementar juga disebabkan masa yang singkat untuk persiapan tapi dengan bantuan Roh Kudus, kami dapat melakukannya.
Nelson berkata dia gembira kerana Tim SOCCOM dari paroki lain dapat hadir pada hari tersebut, dan dapat meraikan bersama Uskup Agung dan Fr Thomas Madanan.
Erica Thomas, SOCCOM St John Tuaran, menyatakan perasaan gembira yang sama, “Gembira sebab sudah dua tahun tidak berjumpa dengan Tim SOCCOM dari paroki lain. Dua tahun juga tiada penganjuran bengkel, memang ada rasa sedih juga.
“Tema tahun ini sangat mendalam. Secara peribadi, saya mendengar hanya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
“Tetapi bagi saya tema ini memberitahu saya untuk mendengar dan mesti simpan dalam hati supaya apa yang saya dengar itu membantu saya secara peribadi terutamanya dalam pelayanan SOCCOM,” kata Erica.