Oleh Joannes Patrick Wasai
TONGOD – Hari Kebudayaan Paroki Santo Martin, Telupid disambut meriah pada 16 Jun bertempat di Gereja St Patrick, Entilibon sebagai tuan rumah. Zon St Thomas yang terdiri daripada empat buah Komuniti Umat Katolik (KUK) iaitu KUK St Patrick, Entilibon, KUK St Petrus, Kironggu, KUK St Mary, Sanan dan KUK St Bede, Bobotong merupakan penganjur bersama bagi sambutan ini.
Acara ini dimeriahkan dengan kehadiran ratusan umat dari seluruh paroki. Mengambil tema “Berjalan Bersama, Menghargai Ciptaan Tuhan dan Menghormati Budaya” ataupun dalam bahasa Labuk “Saasandad Mampanau, Mongorogo di Vinangun do Kinoroingan om Mamantang Do Koubasanan” mencerminkan kesatuan umat serta penghormatan terhadap alam dan warisan budaya.
Perayaan dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Julius Dusin Gitom dari Keuskupan Sandakan dibantu oleh paderi paroki, Fr Christopher Ireneus. Uskup Julius dalam homilinya menekankan akan pentingnya pewartaan Injil dalam menyebarkan Firman Tuhan. Uskup mengumpamakan pewarta Injil sebagai biji sesawi yang ditaburkan di atas tanah, yang tumbuh menjadi pohon besar dan memberikan manfaat kepada makhluk lain. Dia juga mengajak semua umat agar menjadi pewarta Firman Tuhan yang setia, bermula dari diri sendiri, keluarga, komuniti, dan masyarakat.
Selepas Misa, acara Hari Kebudayaan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi penganjur iaitu Mutalip Apiang. Dalam ucapannya menyatakan rasa syukur atas kehadiran Uskup Julius dan mengucapkan terima kasih kepada paderi paroki serta kepimpinan paroki kerana memberikan kepercayaan kepada Zon St Thomas untuk menggalas pelayanan sebagai penganjur Hari Kebudayaan kali ini. Mutalip juga berterima kasih kepada semua jawatankuasa pelaksana serta umat yang telah memberikan kerjasama baik dalam menjayakan sambutan ini, termasuk sumbangan dari segi masa, tenaga, bahan, dan wang.
Kemudian, Fr Christopher mengalu-alukan dan berterima kasih atas kehadiran Uskup serta seluruh umat yang dapat meluangkan masa bersama-sama dalam sambutan Hari Kebudayaan ini. Dia telah mengulas secara ringkas mengenai tema perayaan yang disesuaikan dengan visi dan misi Keuskupan Sandakan, yang merujuk kepada pentingnya penyertaan dalam Ekaristi sebagai puncak kehidupan Kristian. Tema ini juga menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar sesuai dengan dokumen Laudato Si’ yang dikeluarkan oleh Bapa Suci Fransiskus, serta penghormatan terhadap budaya.
Seterusnya, Uskup Julius mengucapkan tahniah kepada paderi paroki, pengerusi penganjur, ahli jawatankuasa serta seluruh warga Paroki St Martin, Telupid kerana berjaya menganjurkan Hari Kebudayaan Paroki. Uskup menekankan bahawa merayakan budaya adalah sesuatu yang wajar dan merupakan anugerah daripada Tuhan sendiri. Tema perayaan yang dipilih mengingatkan kita untuk hidup dalam suasana harmoni bersama alam ciptaan Tuhan serta bersyukur dan menjaga warisan budaya sebagai tanda iman dan penghargaan kepada Tuhan.
Selesai acara di dalam Gereja, perayaan diteruskan di perkarangan dengan upacara mengetam padi sebagai simbolik perasmian Hari Kebudayaan yang disempurnakan oleh Uskup sendiri diiringi paderi paroki, pengerusi Majlis Pastoral Paroki, pengerusi Zon St Thomas dan pengerusi ahli jawatankuasa pelaksana perayaan. Sepanjang majlis berlangsung, pelbagai persembahan budaya dipersembahkan seperti tarian Magalai dan paluan gong tradisi etnik Sukang oleh Kerasulan Belia Katolik (KBK) St Patrick Entilibon, tarian Limbai-Limbai dan Sumazau oleh KBK St Mary Sanan. Selain itu, terdapat juga tarian kreatif daripada komuniti Pelayanan Pastoral Indonesia Paroki serta tarian rampaian bertema “Berjalan Bersama” oleh KBK St Joseph, Lumou. Acara cabutan tiket nama bertuah, sukan tradisi dan rakyat seperti kupas pinang, kupas kulit padi, sumpit beras dan mipulos (gusti lengan) serta lawatan pondok tradisi turut menambah lagi kemeriahan sambutan. Penyediaan makanan secara potluck dengan pelbagai juadah tradisi dan moden oleh setiap zon memperlihatkan mesej berjalan bersama dan kesatuan umat yang dipraktikkan.
Sambutan Hari Kebudayaan merupakan acara tahunan yang dilaksanakan secara bergilir mengikut zon di Paroki Santo Martin, Te|upid ini bukan sahaja dapat memperkukuhkan ikatan persaudaraan antara umat, tetapi juga mengingatkan kita akan pentingnya menghargai ciptaan Tuhan dan melestarikan warisan budaya. Diharapkan dengan semangat yang dibawa oleh tema “Berja|an Bersama, Menghargai Ciptaan Tuhan dan Menghormati Budaya,” acara ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus memelihara alam dan budaya kita. – dospo