Proses Sinodal bersama umat belia di Katedral Hati Kudus pada 21 Nov
Oleh Mitchelle George
Nov 23 2021
KOTA KINABALU – Hari Belia Sedunia peringkat paroki telah berlangsung di Katedral Hati Kudus sejajar dengan Proses Sinodal pada 21 Nov lalu. Program ini dilaksanakan bersama Paderi Paroki, Fr Paul Lo dan 28 peserta yang terdiri daripada tiga komuniti pelayanan di Katedral Hati Kudus iaitu Efata, Komuniti Tritunggal Mahakudus dan Apostolik Alkitab Hati Kudus.
Fr Paul Lo menerusi homilinya, menjelaskan bahawa Proses Sinodal kali ini berbeza dari proses yang sebelumnya kerana kali ini Bapa Suci Fransiskus mahu mendengarkan suara para umatnya, terutama sekali dari para belia. Maka itu, Fr Paul Lo berpendapat bahawa Hari Belia Sedunia kali ini penting untuk dirayakan bersama dengan Proses Sinodal.
Memetik dari bacaan injil ketika itu, Fr Paul Lo juga mengingatkan bahawa sepertimana Yesus berjalan bersama kita di saat kita kecewa dan hilang harapan, begitu jugalah kita sebagai Gereja, berjalan bersama dalam apa juga hal yang dilalui.
Para peserta kemudiannya dibahagi kepada beberapa kumpulan dan diminta untuk mebahaskan soal selidik yang disediakan. Rumusan kemudiannya dibentangkan dari setiap kumpulan. Antara isu yang disentuh para peserta adalah agar Gereja dapat berjalan bersama dalam menangani isu-isu semasa yang kita hadapi, yang lebih dibebani semenjak pandemik Covid-19 bermula.
“Walaupun sudah lama tidak dapat melayani di Gereja, namun saya sungguh bersyukur dan gembira dapat mengikuti program pada hari ini.” ujar Vanessa, salah satu peserta yang melayani bersama tim Apostolik Alkitab Hati Kudus.
“Jika kita melihat tema yang dipilih oleh Bapa Suci Fransiskus untuk Hari Belia Sedunia pada kali ini iaitu ” Berdirilah. Saya menetapkan engkau menjadi saksi tentang sesuatu yang kau lihat”, saya percaya pada hari ini juga Tuhan berseru kepada saya dan semua belia di seluruh dunia untuk bangkit menjadi saksiNya,” ujar Anisa yang melayani bersama dengan Komuniti Tritunggal Mahakudus.
Turut berkongsi adalah Veronita, yang melayani bersama tim Efata, “Harapan saya adalah agar bukan sahaja saya, tetapi juga semua umat dan belia yang lain dapat berjalan bersama dengan komuniti lain. Saya juga berharap apa yang belia suarakan dalam Proses Sinodal hari ini dapat dibawa ke peringkat yang lebih besar agar belia di luar sana tahu bahawa mereka juga didengari dan dipedulikan,” kata Veronita yang melayani bersama tim Efata.