
Oleh Alicia Dora Paul
KOTA KINABALU – Komisi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (AECEC) Keuskupan Agung Kota Kinabalu mengadakan Training of Trainers Pentaksiran Bilik Darjah pada 5-7 Feb 2025 di Katedral Hati Kudus.
Training of Trainers (TOT) itu dihadiri oleh 93 peserta yang terdiri daripada guru besar, guru-guru dan pembantu guru dari 23 tadika di bawah kelolaan Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Manakala 10 tadika lagi tidak menghantar wakil mereka.
Matlamat utama AECEC dalam menganjurkan program seumpama itu adalah untuk melahirkan TOT peringkat tadika yang mahir dalam bidang pentaksiran bilik darjah, mengendalikan bengkel TOT pentaksiran bilik darjah peringkat tadika, mempersiapkan pelatih yang mampu membimbing rakan sejawat dalam bidang pentaksiran, membangunkan komuniti TOT di mana pengetahuan dan keterampilan dapat dikongsi dan diperluas secara kolaborasi dan akhir sekali, membantu dan memantau rakan sejawat melaksanakan pentaksiran bilik darjah dengan efektif dan efisien.
Justeru, melalui program itu juga diharapkan beberapa objektif kursus dapat dicapai. Antara objektif yang telah disenaraikan oleh pihak penganjur adalah agar peserta kursus boleh mengendalikan kumpulan dinamik semasa melaksanakan bengkel, memberi motivasi dan inspirasi kepada peserta kursus agar dapat membangunkan rasa percaya pada diri sendiri dan keinginan untuk belajar, dan dapat menyelesaikan masalah yang wujud semasa mengendalikan bengkel.
Selain itu, peserta boleh membuat penilaian bengkel, merancang jadual dan kerja secara berpasukan dengan rakan sejawat semasa melaksanakan bengkel pentaksiran bilik darjah di tadika masing-masing. Elemen paling penting dalam program itu juga adalah refleksi diri peserta selepas program dan tindakan susulan mereka dalam memperbaiki sistem pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) di dalam kelas.
Menurut pengerusi AECEC, Jennifer Anjek, kursus selama tiga hari itu dikendalikan oleh jurulatih mahir dari maktab perguruan. Isi kandungan program adalah berpandukan kepada buku manual pertama yang dikeluarkan oleh Komisi Pendidikan Awal Kanak-Kanak Keuskupan Agung Kota Kinabalu. “AECEC mengambil masa selama dua tahun untuk menggubal dan menyediakan satu buku manual yang boleh digunapakai oleh guru-guru tadika dalam proses pentaksiran bilik darjah. Kami sangat gembira dan berbangga dengan pencapaian itu,” tambah Jennifer lagi.
Buku manual pentaksiran bilik darjah yang diperkenalkan di dalam kursus itu bukan sahaja membantu guru-guru untuk membuat penilaian terhadap tahap kecekapan murid dalam pelajaran, malahan dalam jangka masa panjang turut melatih guru-guru dalam meningkatkan daya saing dan menaiktaraf diri mereka. Melalui pentaksiran itu juga, guru-guru dapat menilai secara terperinci sejauh mana seorang murid mampu mengadaptasi pelajaran mereka di sekolah.
Selepas kursus itu, peserta diberikan masa selama tiga bulan untuk mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari dan melatih guru-guru di tadika masing-masing. Proses latihan itu akan berterusan dipantau dan dikawalselia oleh AECEC. Di akhir tempoh tiga bulan itu, AECEC akan memilih beberapa guru yang sesuai untuk dilantik menjadi jurulatih dalam AECEC. Menurut Jennifer, AECEC telah merancang beberapa kursus lanjutan selepas bengkel itu khususnya untuk memberi latihan berterusan kepada guru-guru tadika.
AECEC juga banyak mengadakan aktiviti untuk membantu guru-guru tadika di bawah kelolaan Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Selain daripada menggalakkan guru-gurunya untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan dan pencapaian diri, AECEC juga ada menganjurkan program pembinaan pasukan sekali dalam masa tiga tahun. Program itu menggalakkan interaksi sosial antara guru-guru dari tadika yang berbeza. AECEC juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada guru-guru yang memerlukan. Selain kecerdasan fizikal, AECEC juga amat menitikberatkan kesihatan mental guru-guru di bawah seliaan mereka.
Jennifer turut memberitahu bahawa terdapat beberapa tadika kini menyediakan kelas tambahan untuk Bahasa Kadazan Dusun dan Bahasa Mandarin. Kelas itu dibuat dua kali seminggu dan sejam untuk setiap sesi. Kelas itu bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid akan kepentingan bahasa ibunda yang semakin dilupakan. Melalui kelas itu, diharapkan generasi muda dapat bertutur dalam bahasa ibunda mereka di rumah dalam pertuturan seharian. Inisiatif itu disambut baik dan mendapat reaksi positif daripada ibu bapa murid.