
Oleh Gabriel Singi
BUNDU TUHAN- “Kami mohon berkatilah mereka dengan kebijaksanaan, pengetahuan dan pengertianMu. Semoga mereka tetap berdedikasi dalam profesion mereka sebagai pendidik. Semoga mereka senantiasa memberikan inspirasi kepada anak-anak didik melalui perkataan dan teladan seturut SabdaMu. Berilah mereka kesabaran, ketekunan, kekuatan dan kebijaksanaan untuk terus berjuang mendepani pelbagai cabaran mendatang demi mendidik generasi masa depan. Bantulah mereka menjadi teladan positif dan sumber kunci utama dalam kebahagiaan.”
Demikianlah inti doa berkat oleh paderi paroki Fr Federick Raymond kepada semua guru dalam berkat khas guru-guru dalam Misa Kudus sempena sambutan Hari Guru Peringkat paroki Bundu Tuhan pada 19 Mei 2024. Dengan inisiatif dan kerjasama Komiti Pendidikan yang diterajui oleh Penny Pius, sambutan hari guru berjaya dilaksanakan dengan jayanya.
Sambutan itu julung kali diadakan di peringkat gereja, dengan sokongan padu daripada paderi paroki dan semua guru Katolik di bawah paroki Bundu Tuhan, majlis Hari Guru berjaya dilaksanakan dengan penuh kemeriahan dan berkat.
Selepas Misa Kudus, acara sosial diteruskan di dewan gereja. Pengerusi MPP, Simon Paing dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada Komiti Pendidikan kerana berjaya menganjurkan sambutan hari guru.
“Sambutan kali ini merupakan satu sejarah bagi gereja kita. Ia cukup bermakna kerana dirayakan serentak dengan sambutan Hari Pentakosta. Saya berharap agar para guru terus berjalan bersama untuk membimbing anak-anak bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam Pertemuan Minggu Gembira (PMG) di gereja kerana guru-guru lebih berpengalaman untuk berhadapan dengan anak-anak dalam dunia pendidikan di sekolah dan pendidikan iman,” kata pengerusi MPP itu.
Pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan sambutan itu seperti acara memotong kek kesyukuran, koir Hari Guru, cabutan tiket bertuah, persembahan nyanyian dan karaoke.
Semua guru yang turut serta dalam perayaan bersyukur kerana, walaupun bertugas di sekolah yang berlainan tempat tetapi dapat bersatu dengan guru lain melalui perayaan di gereja. Sambutan itu telah mencipta satu permulaan yang baik bagi Komiti Pendidikan paroki dan telah melahirkan idea baru untuk sambutan seumpama pada tahun hadapan.
Pada tahun hadapan, Hari Guru peringkat gereja akan diadakan secara bergilir di pringkat zon. Turut hadir dalam majlis ialah Sr Caroline Pius dan Sr Maybelle. Acara selesai pada jam 1.00 tengahari dengan doa penutup dipimpin oleh Sr Caroline Pius. Semoga semua guru terus berkarya di sekolah dan di gereja seturut kehendak Tuhan sebagaimana pesanan khas oleh paderi paroki kepada semua guru agar menggunakan segala kebijaksanaan anugerah Tuhan untuk mendidik dan menjadi inspirasi positif kepada semua anak didik. Semoga guru-guru akan terus berjalan bersama untuk memperkembangkan Kerajaan Tuhan.