St Martin De Porres terletak di Kg Mook, Kinarut (Gambar oleh Hani Jois)
Oleh Linda Edward
Mei 23 2022
KINARUT – Keinginan Komuniti Katolik Kg Mook untuk memuji Tuhan dan berdoa di sebuah gereja di dalam kampung mereka sendiri kini terkabul apabila Gereja St Martin De Porres telah siap dibina dan diberkati oleh Uskup Agung John Wong pada 6 Mei yang lalu.
Keinginan ini timbul ekoran ketiadaan tempat yang sesuai untuk mengadakan upacara rohani selain daripada balai raya Kg Mook sendiri, lalu hal ini disuarakan oleh para pemimpin Katolik di sana, menurut majalah cendera kenangan Pemberkatan Gereja St Martin De Porres.
Dari itu, usaha pencarian tapak tanah yang sesuai giat dijalankan walaupun berhadapan dengan kekangan sehinggalah seorang umat Kg Mook sendiri tampil ke hadapan dan menyerahkan tanah milik keluarganya kepada pihak gereja Katolik.
Sylvia Salimah Bototol, 71, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Salimah, berkata dia percaya keputusan yang diambil olehnya dan keluarganya adalah permintaan dari Tuhan.
Uskup Agung John Wong, Pn Sylvia Salimah Bototol (tengah), Fr Wilfred Atin, para klergi dan pemimpin gereja paroki Penampang meraikan pemberkatan Gereja St Martin De Porres
Menurutnya apabila bisikan permintaan ini tertanam di hatinya, dan selepas mendengar bahawa pemimpin gereja di St Augustine sedang berusaha mencari tanah yang lebih sesuai untuk mendirikan gereja di Kg Mook untuk memenuhi keperluan umat Katolik di Kinarut, Pn Sylvia mempunyai dorongan yang sangat kuat untuk menyahut permintaan tersebut.
Maka selepas mencapai kata persetujuan di kalangan keluarganya dan membawa hal ini di dalam doa hariannya, Pn Sylvia menyerahkan tanah seluas 0.625 ekar sebagai tapak pembinaan Gereja St Martin De Porres kepada Fr Fundes Motiung, paderi paroki Penampang pada waktu itu, pada 24 Jun 2016 dengan menandatangani surat perjanjian di Pejabat Daerah Papar.
Gereja St Martin De Porres dalam tanah seluas 0.625 ekar (Gambar dari majalah cendera kenangan upacara pemberkatan)
Tapak tanah sudah pun ada, Fr Fundes kemudian bertungkus lumus mencari dana dan seorang lagi umat Katolik menyahut permintaan khusus ini iaitu Tun Richard Malanjum.
Tun Richard bersama rakan-rakan dermawan dalam Osimal Foundation telah tampil ke hadapan memenuhi keperluan rohani umat Katolik Kinarut yang semakin meningkat dan merealisasikan keinginan umat Katolik di Kg Mook untuk menjalankan aktiviti keagamaan dalam gereja di tempat mereka sendiri.
Perjumpaan pertama antara Uskup Agung, tuan tanah, umat Komuniti Katolik Kg Mook dan penyumbang utama dana, Tun Richard (duduk empat dari kiri) (Gambar dari majalah cendera kenangan upacara pemberkatan)
Gereja baharu yang indah ini siap dibina pada tahun 2021, dan diberkati pada 6 Mei, sejajar dengan tarikh kanonisasi St Martin De Porres sebagai santo (6 Mei 1962).
Seramai 500 umat Kg Mook berserta pemimpin paroki Penampang dan jemputan khususnya para dermawan, hadir dalam Misa Kudus pemberkatan Gereja St Martin De Porres yang bermula pada jam 5.00 petang, yang juga disiar langsung secara online. Walaupun tidak dapat hadir, Tun Richard turut menyertai Misa ini secara online, yang kini bekerja bersama United Nations di New York, USA.
Hadirin semasa Misa Pemberkatan
Fr Wilfred Atin, paderi paroki Penampang sekarang, berkata di dalam ucapannya, “Gereja ini adalah satu tanda iman kita, tanpa iman, kita tidak dapat dirikan gereja ini.”
Katanya lagi, “Gereja ini hanya akan menjadi satu ‘bangunan’ tanpa adanya pelayanan dan aktiviti keagamaan yang konsisten.
“Untuk itu, saya menyeru semua umat Katolik di Kg Mook ini untuk memanfaatkan Gereja ini sebaiknya supaya Khabar Gembira akan kasih setia Tuhan yang baik sentiasa diberitakan.”
Uskup Agung Wong juga berterima kasih kepada semua penderma yang bermurah dan bersatu hati dalam menjadikan keinginan ini sebuah realiti, terutamanya Pn Sylvia dan Tun Richard sendiri.
Uskup Agung menyatakan harapan kepada Komuniti Katolik Kg Mook agar mengingati Visi Keuskupan Agung untuk sentiasa berjalan bersama dalam iman.
Pemberkatan St Martin De Porres
Uskup Agung memulakan pemberkatan Gereja sebelum memulakan Misa, dia disertai oleh Fr Wilfred Atin, paderi paroki Penampang dan paderi-paderi pembantu, Frs Gilbert Marcus, Jeffri Gumu, paderi Korea Frs Lawrence Kim dan Andrew Kim.
Uskup Agung Wong membuka kain penutup dan menandatangani ‘Plaque’
Uskup Agung memalu gong
Uskup Agung memulakan upacara dengan Doa Pemberkatan di hadapan pintu utama Gereja
Uskup Agung memberkati Pintu Utama Gereja dengan air suci
Uskup Agung memberkati Pintu Utama Gereja dengan pedupan
Uskup Agung membuka Pintu Utama Gereja
Para paderi berarak masuk ke dalam Gereja
Uskup Agung memberkati air suci
Uskup Agung memberkati para umat dengan air suci
Uskup Agung memimpin Misa Kudus dibantu oleh para paderi paroki Penampang
Banci penduduk 2019 mencatatkan 765 penganut Kristian Katolik di Kg Mook dengan 10 kelompok KKD (Komuniti Kristian Dasar) yang saling menyokong dalam pemantapan iman.
Kg Mook termasuk di dalam Zon St Augustine Kinarut, salah satu daripada 11 zon di bawah Paroki Penampang.