Perayaan Hari Migran dan Perantau Sedunia 2018 di Gereja St Michael Penampang
Oleh Linda Edward
Sep 28 2020
KOTA KINABALU – Uskup Agung John Wong berkata Gereja sentiasa bersedia menghulurkan tangan kepada migran yang merantau dan mencari nafkah di negeri ini.
Katanya Gereja selaku Ibu dan Guru kepada semua insan, sentiasa membantu para migran atau perantau dari negara lain tanpa mengira alasan yang menyebabkan seseorang itu merantau di bumi ini “kerana setiap insan itu berharga di mata Tuhan,” kata Uskup Agung Kota Kinabalu itu.
Dia berkata ini semasa Misa Kudus merayakan Hari Migran dan Perantau Sedunia pada 26 Sep secara online melalui laman Youtube Keuskupan Agung “Archdiocese of Kota Kinabalu”.
Gereja Universal meraikan Hari Migran dan Perantau Sedunia tahun 2020 dengan tema “Dipaksa melarikan diri seperti Yesus”.
Kata Uskup Agung tema ini diilhamkan oleh kehidupan Tuhan Yesus sendiri kerana sejak kecil lagi dia sudah berada dalam keadaan yang sulit sebagai seorang pelarian di mana dia terpaksa melarikan diri ke Mesir bersama ibubapaNya kerana diburu oleh Raja Herodes.
Bercakap kepada para migran dan perantau yang berada di negeri ini, Uskup Agung memberikan kata-kata sokongannya:
“Kadangkala disebabkan oleh keadaan kemiskinan, ada yang terdorong untuk merantau ke negara lain untuk membina hidup yang lebih selesa bagi diri dan keluarga. Ada pula yang terpaksa melarikan diri kerana terdapat penindasan dan ancaman di negara asal.
“Pastikanlah kamu menjadi keluarga dan buruh migran yang hidup bermartabat, aman dan legal. Dengan kata lain, patuhilah undang-undang negara ini, bekerjalah dengan rajin dan bertanggungjawab.
“Jika kamu dapat buat demikian, kamu tidak perlu merasa takut dengan mana-mana pihak sebab kamu bukan penjenayah. Malahan kehadiran kamu akan menyumbangkan kepada perkembangan sosio-ekonomi negeri ini.
“Anggaplah Gereja lokal komunitas kamu. Jangan segan untuk melibatkan diri dalam kegiatan Gereja, Kongsikanlah kemahiran, talenta, tenaga dan masa lapang kamu demi pembangunan komuniti paroki kamu di sini,” kata Uskup Agung.
Selama enam bulan pandemik COVID-19 melanda negara ini, Uskup juga mengakui bahawa ramai para migran terkesan akibat krisis ini seperti dihentikan kerja, dikurangkan gaji, tidak punya bekalan dapur, hidup dalam kebimbangan dan ditangkap kerana pas kerja mereka mati semasa pandemik.
Bagi meringankan beban mereka, Gereja Katolik telah membantu seramai 1,400 keluarga dengan mengedarkan barangan dapur.
Uskup juga memuji ketabahan para migran menghadapi semua rintangan semasa pandemik, “Usaha kamu saling mendukung dan memperhatikan iman dan kebajikan sesama amatlah dipuji.”
Katanya ketabahan yang dipraktis oleh mereka ini harus dicontohi oleh penduduk tempatan negeri ini.
Ucapan penuh Uskup Agung John Wong Hari Migran dan Perantau Sedunia 2020.