Calon kanak-kanak Komuni Pertama pada 20 Nov bersama paderi paroki Fr Paul Lo
Oleh Averil Simon
Nov 30 2020
KOTA KINABALU – Dengan sukacita seramai 70 kanak-kanak berbahasa Malaysia dari Pertemuan Minggu Gembira (PMG)Katedral Hati Kudus telah menerima Komuni Suci Pertama pada 20 Nov, manakala 39 kanak-kanak berbahasa Cina menyambut Komuni Suci Pertama pada 21 Nov 7:30 pagi, dan kanak-kanak berbahasa Inggeris menyambut Komuni Suci Pertama pada 28 Nov pagi adalah seramai 101 orang.
Penerimaan Sakramen Ekaristi dirayakan dalam Misa Kudus secara tertutup dan terhad kepada calon, ibu bapa dan katekis berdasarkan Standard Operational Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sakramen Pertobatan diikuti dengan Misa Kudus pelbagai Bahasa dipimpin oleh Fr Paul Lo bersama pembantu Fr Russell Lawrine Fr Sunny Chung, Fr Saimon William dan Fr Joshua Liew diadakan di bilik F7 serta F6 di Pusat Paroki Hati Kudus pada masa berlainan.
Dalam homili semasa Misa, paderi berharap agar kanak-kanak percaya bahawa Komuni yang akan diterima oleh mereka melalui Ekaristi adalah Yesus sendiri. Maka mereka diminta menghidupi iman dengan cinta kasih yang telah diterima dari Yesus dan tekun berdoa supaya mengeratkan hubungan dengan Yesus. Mereka mula menyertai Misa sepenuhnya melalui penyambutan Komuni Suci pertama. Ibu bapa dipanggil untuk memikul tanggungjawab memupuk iman anak mereka melalui teladan kehidupan.
Pada permulaan, Penerimaan Komuni Suci Pertama dirancangkan pada bulan Oktober tahun ini, namun ditangguhkan kerana pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga mendapat kelonggaran daripada Kerajaan Negeri Sabah bahawa rumah-rumah ibadat diberi kebenaran untuk dibuka kembali.
Semua penerima Komuni Suci Pertama ini telah mengikuti kelas dalam talian yang dilakukan oleh Pembimbing PMG dalam bahasa masing-masing, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan. Melalui kaedah ini, murid-murid tersebut mampu membuat persediaan secara rohani serta belajar seperti biasa dalam norma baharu.
Walaubagaimanapun, para Penerima Komuni Suci Pertama ini berasa sangat gembira dan bersyukur kerana mereka mendapat peluang untuk menerima Sakramen Pertobatan serta Sakramen Ekaristi pada tahun ini.
Sebelum Misa Kudus bermula, kesemua mereka telah menjalani pengakuan dosa secara individu oleh paderi pada masa itu. Turut hadir sama adalah para ibubapa serta pembimbing yang bertugas.