Gambar edaran ini diambil dan dikeluarkan pada 28 Oktober oleh Rangkaian Maklumat Kokang menunjukkan anggota Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar berjalan melepasi pangkalan tentera Myanmar selepas merampasnya semasa pertempuran berhampiran perbandaran Laukkaing di negeri Shan utara Myanmar. (Foto oleh Edaran / Rangkaian Maklumat Kokang / AFP)
Nov 10 2023
Kumpulan gereja membantu memindahkan dan melindungi ratusan orang awam termasuk Kristian ketika pertempuran semakin memuncak di Myanmar yang dilanda konflik.
Sekurang-kurangnya 600 orang, kebanyakannya beragama Katolik, telah berlindung di dalam sebuah Katedral dan pusat pastoral di bandar Lashio setelah melarikan diri dari kawasan di utara negeri Shan di mana pertempuran sengit antara tentera dan pasukan pemberontak berlaku sejak 26 Oktober.
Edward, seorang pekerja sosial gereja dari keuskupan Lashio berkata, “Gereja sedang berusaha untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka dari tabung sumbangan Lenten dan bantuan daripada keuskupan.”
Beratus-ratus yang lain berlindung di gereja Baptist dan biara Buddha di bandar Lashio dan dibantu oleh kumpulan masyarakat awam dan penderma swasta, katanya kepada UCA News pada 8 November.
Edward berkata pekerja gereja juga menyediakan bantuan wang tunai melalui paderi paroki tempatan di beberapa kawasan yang tidak dapat mereka hubungi kerana pertempuran.
Sebuah paroki di bandar Hsenwi dibawah keuskupan Lashio telah ditinggalkan oleh paderi, biarawati, dan umat selepas Gereja Katolik dan biara rosak akibat tembakan dan serangan udara.
“Tiada kemalangan jiwa kerana paderi dan biarawati telah berlindung di tempat selamat berhampiran,” kata sumber gereja yang enggan namanya didedahkan kepada UCA News.
Sumber itu berkata komunikasi terputus kecuali untuk satu rangkaian mudah alih dan sukar untuk mengetahui keadaan situasi di kebanyakan kawasan konflik.
Hampir seribu orang telah terperangkap ketika dalam perjalanan dari bandar Laukkai, berhampiran sempadan China, ke bandar Lashio, lapor BBC Burma pada 8 Nov.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan yang semakin meruncing di Myanmar berikutan pertempuran baharu dalam dua minggu lepas.
“Rakan-rakan kemanusiaan kami memberitahu bahawa sejak 26 Oktober, hampir 33,000 lelaki, wanita dan kanak-kanak telah dipindahkan. Ini menyebabkan keperluan bantuan kemanusiaan meningkat,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephance Dujarrice kepada pemberita pada 6 Nov.
Pertempuran semakin sengit di negeri Shan utara selepas kumpulan perikatan tiga bersaudara – Tentera Pembebasan Kebangsaan Ta’ang, Tentera Arakan dan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar – melancarkan kempen yang diberi nama kod “Operasi 1027.”
Kumpulan itu dilaporkan telah mengambilalih lebih 100 pos tentera dan empat bandar termasuk Chinshwehaw yang berhampiran dengan sempadan China.
“Jika kerajaan tidak menguruskan insiden yang berlaku di wilayah sempadan dengan berkesan, negara akan berpecah kepada pelbagai bahagian,” Myint Swe, presiden pro tem Majlis Pentadbiran Negeri, memberitahu mesyuarat majlis pertahanan dan keselamatan negara yang diadakan di ibu negara Naypyidaw pada 8 Nov.
Sementara itu, China telah berulang kali menyeru gencatan senjata dan untuk membawa kestabilan di sepanjang wilayah sempadan.
Beijing mengesahkan pada 7 November bahawa terdapat orang China yang terkorban akibat ordinan tentera yang merentasi sempadan.
Penganalisis melihat pertempuran baharu di negeri Shan sebagai cabaran terbesar bagi junta tentera sejak rampasan kuasa 2021. – UCA News