Mengetam padi – perasmian Kaamatan dilakukan oleh Fr Paul Lo (paderi paroki), Paulus Jouil (pengerusi majlis) dan Hermes Sikajat (pengerusi MPP)
Oleh Nelson Fernandez
May 24 2022
DONTOZIDON – “Pengorbanan dan Kesyukuran” adalah dua ungkapan kata yang dijelaskan oleh Fr Russell Lawrine dalam homilinya semasa Misa Kudus sempena Pesta Kaamatan Paroki St Paul Dontozidon pada 16 Mei 2022.
Penjelasan Fr Russell tentang ungkapan pengorbanan dan kesyukuran itu sangat sesuai dengan tema Pesta Kaamatan Negeri 2022 iaitu “Kaamatan Menjiwai Alam Sekitar” atau bahasa Kadazannya adalah “Kaamatan Poingginavo Kinoizonon Sandad”.
Misa Kaamatan yang dipimpin oleh Fr Russell jam 10.00 pagi itu didahului dengan tarian sumazau oleh para belia St Paul Dontozidon dengan iringan paluan gong oleh kumpulan KUK Koidupan.
Simbolik padi di dalam ‘wakid’ di bawa masuk dan diletakkan di hadapan altar, ini diikuti dengan perarakan para petugas liturgi dan para paderi dengan iringan lagu pembukaan Misa Kudus.
Di dalam Misa perayaan Kaamatan ini, pihak gereja tidak mengabaikan peraturan yang masih ditetapkan oleh pihak MKN dan KKM dengan mengikuti “Standard Operation Procedure” (SOP) dengan mengenakan pelitup muka, penggunaan hand sanitizer dan dan melakukan sanitize.
Fr Russell bersama Fr Paul Lo (paderi paroki), Fr Joshua Liew dan Fr Isidore Gilbert dalam Misa Perayaan Kaamatan
Turut bersama Fr Russell di altar ialah Fr Paul Lo (paderi paroki), Fr Joshua Liew dan Fr Isidore Gilbert.
Fr Russell menjelaskan bahawa kita semua ini adalah pengikut Tuhan yang mempunyai latar belakang berbeza dari segi budaya,umur, pekerjaan namun kita mempunyai identiti yang sama iaitu kita adalah anak-anak Tuhan dan Tuhan adalah Bapa kita.
“Kita mengimani Tuhan yang sama dan melalui iman ini segala perbezaan yang wujud, diketepikan dan kita rapatkan sebagai satu keluarga untuk merayakan “Kaamatan di paroki kita”, kata Fr Russell.
Menurut beliau, terdapat dua nilai yang membawa erti menyambut Kaamatan ini yang dapat dipelajari iaitu nilai pengorbanan.
“Seperti yang kita semua tahu, melalui cerita yang diwariskan kepada kita dari turun temurun, menceritakan bagaimana seorang wanita cantik yang diberi nama “Huminodun” pada masa dahulu. Huminodun merelakan dirinya untuk dikorban demi menyelamatkan masyarakat dan adat masa dahulu dari kebuluran makanan, Dengan daging dan darahnya ditumpahkan ke atas tanah memulihkan tanah menjadi subur dan menghasilkan tanaman yang segar. Begitu juga dengan Yesus Kristus, yang mana Dia menderita, sengsara dan wafat di kayu salib untuk menyelamatkan kita,” jelas Fr Rusell.
Beliau menambah, “jika Huminodun adalah korban yang menyelamatkan melalui tubuh, fizikal dari bencana kebuluran,Yesus juga adalah korban yang memberikan kita keselamatan dan kehidupan kekal.
“Nilai kedua ialah kesyukuran yang mana bukanlah masa perayaan sosial atau masa berkumpul untuk keramaian namun ia adalah korban syukur atas tuaian padi sudah selesai di kerjakan. Ucapan syukur juga bukan saja untuk tuaian padi, tetapi semua jenis tanaman yang kita tanam. Hasil tuaian ini menjadi sumber makanan dan hasil pendapatan pada kita semua. Rasa syukur ini merupakan satu respon kita yang perlu, ini kerana tanda kita menyedari bagi berterima kasih apa yang kita terima dari Tuhan”.
“Ada banyak cara juga kita mengucap syukur kepada Tuhan iaitu melaui doa dan memberi, selain itu, merayakan pesta Kaamatan merupakan satu simbol kesyukuran atas pemberian dan rezeki yang Tuhan berikan kepada kita. Dalam kita merayakan Kaamatan ini, marilah kita menjaga alam semulajadi, kerana dengan mengekalkan dan menjaga alam sekitar ini, dapat memberi peluang kepada generasi baru untuk dapat merasai hasil dan tuaian dari alam semulajadi sesuai dengan tema kaamatan “Kaamatan Menjiwai Alam Sekitar”.
Sebelum Misa berakhir, ucapan ringkas daripada pengerusi penganjur iaitu Paulus Jouil bersyukur atas peluang yang diberikan dan berterima kasih kepada semua yang telah membantu sehingga perayaan ini lancar dan berjaya. Beliau juga berterima kasih di atas kehadiran wakil MPP dan umat dari Gereja Mary Immaculate dan beberapa wakil dari Katedral Sacred Heart Kota Kinabalu.
Pemotongan kek Kaamatan
Paderi Paroki, Fr Paul Lo dalam ucapannya juga memberi insprasi dan semangat kepada umat di Paroki St Paul Dontozidon. Fr Paul berpesan agar menjaga nilai-nilai budaya dan mengekalkan budaya tersebut suku kaum Kadazandusun ini kerana ianya satu anugerah yang indah pemberian Tuhan. Dan dalam ajaran Gereja, memberitahu setiap kebudayaan di seluruh budaya adalah satu persiapan untuk kehadiran Yesus Kristus.
Dalam kesempatan itu, Fr Paul menyampaikan sijil penghargaan kepada empat Katekis yang bersara atas sebab yang telah ditetapkan dalam mesyuarat uskup dan para paderi Diosis Kota Kinabalu pada tahun 2020 iaitu kepada katekis yang sudah mencapai umur 70 tahun dinasihatkan agar bersara.
Maka dengan itu, pihak Paroki St Paul Dontozidon mengucapkan terima kasih kepada empat katekis yang bersara iaitu dua katekis mencapai umur 70 tahun dan dua lagi katekis bersara atas faktor kesihatan.
Selepas Misa Kudus Kaamatan, umat beralih di dewan gereja di mana perasmian Kaamatan dilakukan dengan memalu gong sebanyak tujuh kali.
Program diteruskan dengan pemotongan kek Kaamatan, makan tengah hari sambil dihiburkan dengan pelbagai persembahan pentas.
Antara pengisian dalam program Pesta Kaamatan ini ialah pertandingan masakan tradisional, memalu gong, mewarna, membaca dalam bahasa Kadazan, kuiz, sukaneka dan banyak lagi termasuklah cabutan tiket bertuah.
Kemuncak program Pesta Kaamatan Paroki St Paul Dontozidon adalah Pertandingan Unduk Ngadau Gingiliton yang dimenagi oleh adik Vanessa.