Fr Lazorous Uhin
Oleh Juanis Marcus
Nov 15 2021
KENINGAU – Fr Lazorous mengaitkan panggilan kepaderiannya dengan pembacaan pada hari itu iaitu tentang kerajaan Tuhan.
“Sepanjang 25 tahun pelayanan membuatkan saya menyedari betapa pentingnya peranan seorang yang bergelar ‘paderi” dalam menyebarkan kerajaan Tuhan, terutama Kerajaan Tuhan yang penuh dengan cintakasih,” ungkapan Fr Lazorous dalam homilinya semasa Misa Kudus menyambut ulang tahun Jubli Perak Kepaderiannya yang dirayakan di Katedral St Francis Xavier, Keningau pada 11 Nov lalu.
Turut bersama beliau merayakan Misa Kudus jam 5.00 petang itu ialah Uskup Cornelius Piong, Fr Bonaventure Unting, Fr Wilfred James, Fr David Gasikol, Fr David Mamat, Fr Joseph Gapitang, Fr Charles Chiew dan Diakon Morti Lambutan.
Mengimbas kembali cabaran dalam menyahut panggilan menjadi seorang paderi, Fr Lazorous menyifatkan sebagai sesuatu yang sangat “sukar” pada mulanya. “Keluarga saya tidak bersetuju untuk saya memasuki seminari, terpaksa senyap-senyap bertolak ke seminari di Kuching. Malah semasa dalam seminari saya pernah gagal dalam satu subjek pelajaran. Mujurlah Fr Charles Chiew sentiasa ada untuk membantu saya. Semua cabaran itu membuatkan saya merasa tidak layak. Namun akhirnya semuanya itu jugalah yang menguatkan saya, kerana dalam Injil Yohanes 15:16 mengatakan, bukan kamu yang memilih Aku, tetapi Akulah yang memilih kamu,” katanya.
Dalam sesi ucapan, Fr Lazorous mengucapkan terima kasih di atas kehadiran uskup, para paderi, pengerusi-pengerusi, ahli keluarganya dan umat yang hadir untuk memberi sokongan kepada beliau.
Uskup Cornelius Piong mengungkapkan rasa syukur kerana Fr Lazorous telah mendengar dan menyahut panggilan menjadi seorang paderi.
“Memang benar Tuhanlah yang memanggil kita, namun bukan sahaja memanggil kita, tetapi Dia jugalah yang akan menopang kita. Seorang paderi haruslah aktif dalam komunitinya, mengapa? Sebab kita mempunyai misi, iaitu membawa dan menghadirkan kerajaan Tuhan kepada umat,” jelas uskup.
Selesai Misa Kudus, fellowship ringkas bersama hadirin menutup tirai perayaan pada hari itu.