Oleh Catholic Sabah
Apr 12 2022
KENINGAU – Gereja Katolik tempatan dikejutkan dengan pemergian Fr Claudius Andrew yang melayani di Keuskupan Keningau, pada Isnin, 11 April di sini.
Uskup Cornelius Piong mengeluarkan mesej ringkas semalam melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan para klergi, religius dan umat bahawa Fr Claudius menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.15 malam di Hospital Keningau.
Susulan itu, Fr Clement Abel, paderi paroki St Peter Bundu Kuala Penyu, di mana Fr Claudius adalah paderi pembantu, menyatakan bahawa Fr Claudius telah mengalami serangan jantung setibanya di Pusat Ziarah Nulu Sosopon semalam, untuk tujuan menghadiri mesyuarat para paderi yang dijadualkan pada hari ini.
Pejabat Chancery Keuskupan Keningau seterusnya mengeluarkan kenyataan pada hari ini memaklumkan bahawa jenazah Fr Claudius masih lagi berada di mortuary Hospital Keningau dan keputusan ujian saringan Covid-19 baginya adalah negatif.
Oleh kerana gereja sudah memasuki musim Minggu Suci, maka Uskup Cornelius telah memutuskan untuk membawa jenazah mendiang ke Funeral Parlour Keningau sehingga 17 April.
Dia memutuskan juga bahawa umat boleh hadir ke funeral parlour untuk berdoa secara bergiliran dengan mematuhi SOP sedia ada.
Jenazah mendiang akan dibawa ke Dewan Paroki Holy Cross Toboh Tambunan pada petang 17 April.
Umat dibenarkan menziarahi dan memberi penghormatan terakhir pada hari Isnin, 18 April dari jam 7.00 pagi – 9.00 malam.
Misa Kudus pengebumian akan dijalankan di Gereja Holy Cross Toboh pada 19 April jam 10.30 pagi dan seterusnya mendiang akan disemadikan di Tanah Suci Perkuburan Paderi, Religius dan Betania St Theresa Tambunan.
Uskup Cornelius dan para klergi menyeru semua agar terus berdoa untuk ketenangan jiwa mendiang Fr Claudius agar rohnya berehat di dalam kasih Tuhan.
Umat yang ingin menyumbang ikhlas, bolehlah menyalurkan sumbangan ke akaun Catholic Mission Toboh: No Akaun Alliance Bank 101780010001145.