
Oleh Alicia Dora Paul, Catholic Sabah
KOTA KINABALU – Uskup Agung John Wong mengalu-alukan kehadiran semua pelajar Tahun Permulaan dan Tahun Persediaan dalam perayaan Misa Kudus pembukaan kalendar akademik tahun 2025 pada 18 Feb di Kolej St Peter, Kota Kinabalu.
Turut hadir merayakan Misa Kudus pada hari itu adalah Fr Mattheus Luta, Fr Isidore Gilbert, Sister dari kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC) dan Daughters of St Paul (FSP), ahli Liga Wanita Katolik dari Katedral Hati Kudus, ahli Secular Order of Discalced Carmelites (OCDS), pensyarah kolej serta umat.
Uskup Agung mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua yang sentiasa menyokong Rumah Pembentukan aspiran dan seminarian. “Jika kamu tanyakan kepada saya apakah rahsia kepada persediaan pembentukan aspiran dan seminarian, saya tidak mempunyai apa-apa rahsia. Saya hanya boleh berkongsi satu elemen penting iaitu datang. Datang dan pergi kepada Yesus,” kata prelatus itu lagi.
Dalam homilinya, Uskup Agung berkata bahawa setiap individu mencari Yesus dengan niat yang berbeza. Ada di antara mereka yang mahu melihat keajaiban, ada yang terinspirasi dengan ajarannya dan ada yang mahu disembuhkan oleh Tuhan. “Tidak kisah apa yang terjadi dalam hidup kita, yang penting adalah kita teruskan berjalan menuju Tuhan. Hanya Dia yang tahu keinginan hati kita yang terdalam dan menunjukkan arah kehidupan kita,” tambahnya lagi.
“Benarkan Yesus mempengaruhi hidup anda agar pembentukan anda sedikit demi sedikit menjadi sama seperti Dia,” pesan Uskup Agung John Wong kepada pelajar aspiran dan seminarian.
Selesai Misa Kudus, semua yang hadir beralih ke ruangan terbuka di luar bangunan Kolej St Peter untuk acara makan bersama. Sebelum acara makan dimulakan, pengarah di kedua-dua Rumah Pembentukan iaitu Fr Mattheus dan Fr Isidore telah memberikan ucapan tahniah kepada pelajar yang berjaya memasuki sesi akademik tahun 2025.
Fr Mattheus dalam ucapannya memberitahu bahawa tema kepada sesi akademik tahun 2025 ialah “Tahun Jubli 2025: Formasi Rumah Harapan” sebagai maklumbalas kepada seruan Bapa Suci Franciskus sepanjang Tahun Jubli 2025, yang bertemakan Penziarah Pengharapan.
Fr Mattheus berkata, sejak penubuhan Rumah Pembentukan itu pada tahun 2001, seramai 57 daripada 214 seminarian telah ditahbis menjadi paderi. “Saya berkongsi data itu kepada kamu semua adalah untuk memberitahu bahawa sentiasa ada harapan dalam pertambahan jumlah paderi di Gereja di masa akan datang. Harapan tidak mengecewakan” tambahnya lagi.
Selesai acara makan, semua pelajar diminta untuk memperkenalkan diri masing-masing. Untuk tahun 2025, seramai sembilan pelajar Tahun Persediaan diterima masuk iaitu tiga orang dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, lima orang dari Keuskupan Keningau dan seorang dari Keuskupan Agung Kuching. Manakala 10 pelajar telah diterima masuk di Tahun Permulaan iaitu lima orang dari Keuskupan Agung Kota Kinabalu, dua orang dari Keuskupan Keningau dan masing-masing seorang dari Keuskupan Agung Kuching, Keuskupan Miri dan Sandakan.