
Oleh SOCCOM STKM
KOTA MARUDU – Seramai 215 peserta yang terdiri daripada pemimpin Komuniti Umat Katolik (KUK) hadir di hari bersejarah bagi Paroki St Theresa, Kota Marudu pada 22 Feb 2025 atas titik bermulanya Komuniti Kristian Dasar (KKD) wujud di paroki itu melalui program Formasi KKD.
St Theresa, Kota Marudu merupakan salah satu paroki yang baru memulai KKD di bawah Keuskupan Agung Kota Kinabalu, walaupun pada dasarnya iman Katolik telah bertapak di daerah itu sejak 19 Apr 1961 di St Andrew, Rasak.
Program bermula dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Paderi Paroki, Fr Rayner Bisius.
Program itu bertujuan untuk memperkenalkan tentang KKD di mana pemberi katekesis, Fr Rudolf Joannes, dari Keuskupan Keningau bersama tim menerangkan latar belakang dan tujuan KKD diwujudkan, menyampaikan praktikal pelaksanaan KKD serta membuka sesi soal jawab. Stella Kinsik juga salah satu pemberi katekesis dalam program itu.
Kedua-dua pemberi sesi mempunyai pengalaman luas dan mendalam mengenai KKD kerana di Keuskupan Keningau telah membudayakan KKD dalam kalangan umat Katolik.
Jadual pelaksanaan program Formasi KKD yang agak padat tidak mematahkan semangat peserta malah mereka berpuas hati kerana program dapat berjalan lancar. Pihak penganjur bersyukur atas kejayaan program dan berterima kasih kepada Fr Rudolf dan tim atas katekesis yang disampaikan dengan baik.