Oleh Lissa Johannes
Okt 22 2020
SEMPENA “Kempen Lindungi Bumi Kita, Lindungi Anak-anak Kita” yang telah dilancarkan di seluruh negara pada 1 September yang lalu, ketiga-tiga keuskupan di Sabah iaitu Keuskupan Agung Kota Kinabalu, Keuskupan Keningau dan Keuskupan Sandakan mengambil kata sepakat untuk mengadakan “Earth Hour” secara serentak di seluruh Sabah pada setiap 23 hari bulan bermula Oktober 2020 sehingga Ogos 2021.
Program “Earth Hour” ini dianjurkan oleh Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan, Keuskupan Agung Kota Kinabalu; Komisi Keharmonian Alam Ciptaan Tuhan, Keuskupan Keningau dan Komisi Keadilan Ciptaan Tuhan, Keuskupan Sandakan.
Ianya selari dengan tema bagi tahun pertama kempen iaitu ‘Kurangkan Penggunaan Elektrik’. Ini juga adalah satu inisiatif dan tindakan konkrit yang boleh dilakukan oleh semua umat di seluruh Sabah untuk bertindak dalam menangani perubahan iklim global.
Program ini hanya memerlukan umat untuk menutup suis selama satu jam bermula 8.00 malam hingga 9.00 malam hanya dari rumah masing-masing. Semua umat digalakkan berdoa Rosari bersama keluarga semasa “Earth Hour” ini dijalankan.
Marilah bersama-sama menyebarkan, melaksanakan dan menjayakan kempen ini bagi melindungi bumi kita dan generasi akan datang.