Para umat yang menghadiri Doa Sinodal Marian
Oleh Nelson Fernandez
Jun 8 2023
DONTOZIDON, Penampang – Paroki St Paul telah mengadakan Doa Sinodal Marian pada 31 Mei 2023 bersamaan hari Rabu jam 10.00 pagi.
Kehadiran umat amat menggalakkan walaupun pada masa tersebut agak sibuk dengan cuti Kaamatan tetapi umat juga mengambil kesempatan dalam Doa Sinodal Marian ini.
Doa itu dikendalikan oleh Fr Rusell Lawrine selaku pemimpin utama dalam doa ini. Doa Sinodal Marian ialah liturgi yang memperingati akan kunjungan perawan Maria dan kemuncak bulan Maria dan ia juga untuk mempercayakan Maria sebagai Bonda Gereja serta pelayanan Agung Sinod Uskup yang ke XVI (16).
“Bonda Maria, sentiasa bersama dengan kita dalam perjalanan sinodal, kerana dia adalah Bonda Gereja kepada Gereja (Mater Ecclesiae), Bonda kepada semua yang menjadi sahabat dan pengikut puteranya. Bilamana kita merasa jauh, bingung atau ragu-ragu akan jalan hidup, kita hanya perlu memandangnya untuk menunjukkan jalan. Di manapun umat Tuhan itu berjalan, mereka sentiasa dalam misi, kedua-duanya tidak boleh dipisahkan, kerana hanya satu jalan dan satu keinginan kita, satu sumber kehidupan dan harapan kita Yesus Kristus.”
Dalam doa ini, ia dimulakan dengan mendengar sabda Tuhan dalam pembacaan Injil dan renungan kepada semua umat yang hadir.
“Kita berdoa rosari hari ini sebagai sinod dan sebagai satu gereja untuk berdoa bagi para uskup dalam acara sinod mereka agar mereka dapat membuat keputusan yang terbaik untuk kebaikkan gereja kita. Walaupun kita tidak dapat bersama-sama dengan mereka secara fizikal,” kata Fr Rusell dan berterima kasih kepada mereka yang hadir walaupun sibuk merayakan Kaamatan.
Doa rosari diakhiri dengan berkat doa penutup iaitu doa Sinod oleh Fr Rusell.