Suasana di dewan Gereja Holy Family semasa Hari Kempen Derma Darah berlangsung (Gambar: Thomas Chong, Soccom HFC)
Oleh Pauline James Ringgingon
August 11 2022
TELIPOK – Pada setiap tahun, tarikh 14 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Penderma Darah Sedunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Tema tahun ini adalah ‘Derma Darah, Kukuhkan Perpaduan’.
Demikian juga setiap tahun Gereja Holy Family, Telipok mengadakan Kempen Derma Darah. Tahun ini ia diadakan dengan cogan kata “One Bag of Blood Saves 3 Lives atau Satu Beg Darah Mampu Menyelamatkan 3 Nyawa”.
Baru-baru ini umat Gereja Holy Family dan orang ramai yang tinggal berdekatan dengan Gereja Holy Family turut tidak ketinggalan bersama-sama hadir ke Dewan Gereja Holy Family untuk mendema darah.
Kempen Derma Darah dan Ceramah Kesihatan/Saringan Kesihatan ini dianjurkan bersama oleh Komiti Caritas, Majlis Pastoral Paroki, KPMP (Migran) dengan Unit Perubatan Transfusi (Tabung Darah), Hospital Kanak-Kanak dan Wanita, Likas.
Antara aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut adalah ceramah kesihatan. Professor Dr. Helen Lasimbang tampil dengan memberi taklimat yang berkaitan dengan kesihatan wanita.
Manakala ceramah kedua pula disampaikan oleh Elsie Primus yang berkaitan dengan masalah keganasan dalam rumah tangga. Ceramah ketiga telah disampaikan oleh En. Francis Mujim, Presiden Persatuan Thalassemia Sabah. Beliau memberikan penerangan terperinci mengenai apakah itu penyakit Thalassemia.
Di samping itu banyak pameran turut dipamerkan antaranya pameran dari Dimention Lab yang menjual alat-alat kesihatan seperti mesin memeriksa tekanan darah dan memeriksa kadar gula. Selain itu, Persatuan Thalassemia Sabah juga membuat pameran, di samping pameran poster dan pamphlet kesihatan ada juga foot refexology, bazaar makanan dan bundle pakaian terpakai.
Lina Empang, pengerusi Caritas menyampaikan sagu hati kepada salah satu penderma darah, diapit oleh Lawrence Kimkuan, pengerusi Majlis Pastoral Paroki Holy Family Church (Gambar: Thomas Chong, Soccom HFC)
Lina Empang, Pengerusi Caritas, seorang pesara jururawat menjelaskan pada hari Kempen Derma Darah tersebut, seramai 220 pengunjung telah mendaftar, 78 saringan telah dibuat dan 48 orang berjaya menderma darah. Kempen tersebut telah berjalan dengan baik.
Kata beliau lagi, Kempen Derma Darah akan diadakan secara berkala sebagai aktiviti tetap Gereja Holy Family setiap tahun. Ini kerana kata beliau, setiap 43 saat, satu beg darah diperlukan bagi menampung keperluan pesakit di Sabah. Oleh itu, kegiatan ini bertujuan memberi laluan kepada warga gereja untuk menyumbang ke arah mencapai sasaran tersebut dengan mengadakan Kempen Derma Darah di gereja. Pusat Darah Negara (PDN) memerlukan sebanyak 15,000 hingga 17,000 beg darah sebulan bagi menampung keperluan bekalan darah bagi merawat pesakit yang memerlukan.
Justeru itu, menderma darah boleh membantu menyelamatkan nyawa individu yang memerlukan, iaitu satu beg darah boleh digunakan untuk tiga pesakit lain. Kata beliau lagi menderma darah secara berkala baik untuk kesihatan penderma, iaitu mampu mengurangkan risiko penyakit jantung, kanser, mengurangkan kalori dalam badan serta memberikan kecergasan apabila sel darah baharu dijana selepas menderma darah.