Oleh Mahapson Mahap
TAMPARULI – Umat Katolik di Kg Wangkod Gontung kini boleh beribadat dengan lebih selesa di dalam bangunan chapel baharu yang telah dirasmikan dan diberkati pada 24 Ogos yang lalu.
Perasmian dan pemberkatan chapel tersebut dilaksanakan oleh Uskup Agung John Wong. Turut hadir dalam upacara itu ialah Fr Thomas Yipp, Paderi Paroki Tuaran, paderi pembantu, Fr Wiandigool dan Fr Bradley Stephen, Pengerusi MPP St John Tuaran, Dr Bonaventure Boniface, Britus Gubod Sedan, Pengerusi KKPZ Gereja St Mary Mother Of God, Topokon, Elizabeth Sunsin, Pengerusi KPUK Chapel St Benedict Abbot, umat dari St John Tuaran, St Mary Mother Of God dan umat di Kg Wangkod Gontung. Sekitar 200 orang hadir dalam Misa Kudus pemberkatan chapel baharu itu.
Upacara pemberkatan bermula dari luar bangunan chapel dengan upacara pemberkatan pintu masuk dan seterusnya Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John.
Bangunan chapel yang baharu itu didirikan di atas tanah seluas setengah ekar yang dibeli dari salah seorang umat, Marinus Bangus dengan harga ikhlas sebanyak RM600.00. Setelah beberapa perjumpaan bagi perbincangan dan mencapai kesepakatan, kerja-kerja pembersihan dan meratakan kawasan mula dilaksanakan pada tahun 2018.
Dalam masa yang sama, Komiti Umat Katolik (KUK) juga di tubuhkan bagi kampung tersebut. Pada tahun 2019, paderi paroki ketika itu, Fr Edward Raymond telah memberkati tapak pembinaan chapel dan dalam masa yang sama menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM2,000.00 bagi memulakan pembinaan tersebut. Pembangunan chapel tersebut dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan pada kemampuan kewangan yang terkumpul. Pada 19 Ogos 2022, badan NGO, melalui Dr Bonaventure Bonicface, telah menyumbangkan bahan binaan kepada pihak pengurusan.
Ketika ini, bilangan umat katolik di kampung tersebut adalah sekitar 60 orang.