Oleh Dokumentasi AGM CSC
21 Mei 2021
Kota Kinabalu – Ahli Jawatankuasa Catholic Student Council (CSC) Keuskupan Agung Kota Kinabalu sesi 2021/2022 yang baharu telah dibentuk dalam Annual General Meeting (AGM) pada 14-15 Mei yang terdiri daripada presiden Catholic Student Group (CSG) daripada sembilan buah kampus di Keuskupan Agung.
AGM CSC 2021 yang dilaksanakan bersama Archdiocesan Campus Ministry Office telah dijalankan pertama kalinya atas talian di dalam platform Zoom dengan penyertaan 72 orang yang juga disertai oleh Campus Ministry dan Fr Isidore Gilbert selaku Penasihat Rohani Komisi Belia.
AGM dua hari ini mengangkat tema “Stand Up. I Appoint You As A Witness Of What You Have Seen”. Sr Dora Obod, fsic, memberi perkongsian dalam sesi ‘See, Stand & Be a Witness!’ sebagai peneguhan pelayanan sebelum bermulanya pembubaran dan pembentukan baharu.
Dalam perkongsiannya, Sr Dora berkata untuk menjadi saksi Kristus Hidup, menginspirasikan dengan berpusatkan Yesus, tetaplah beriman, tetaplah bersemangat, serta hidup dalam kasih. Kebersamaan dan kesatuan juga perlu ada dalam perjalanan hidup kerana kita saling bergantung antara satu sama lain.
Keputusan undian memutuskan bahawa Moses Michael Juilih, Presiden CSG UMS-KK, akan melayani sebagai Presiden Catholic Student Council bagi sesi 2021/2022 dibantu oleh rakan-rakan presiden kampus lain.
Moses berkata dalam ucapannya, sekarang adalah masa untuk kita pulih dan bangkit kembali selepas segala perkara yang telah dialami tahun lepas di dalam pandemik yang banyak menghalang pergerakan pelayanan dan menjadikan segala yang ada pada kita untuk meneruskan pelayanan.
Manakala Fr Isidore berterima kasih kepada barisan CSC 2020/2021 atas komitmen mereka di sesi lepas dan tahniah kepada barisan CSC baharu. Fr Isidore berkata situasi sekarang yang penuh dengan ketidakpastian pasti lebih mencabar daripada dahulu, namun kebersamaan itu harus ada untuk saling menguatkan antara sesama.
Perasaan syukur dapat dirasai sepanjang berjalannya AGM CSC 2021 ini kerana masih disambut dan mendapat sokongan penyertaan daripada belia-belia kampus di Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Meskipun hanya secara maya dan bergantung sepenuhnya melalui penggunaan teknologi namun Tuhan tetap berkarya di setiap saat dalam setiap keadaan.