Kakitangan Catholic Archdiocesan Center semasa taklimat ‘Zero-waste Lifestyle’ oleh Sr Terry Loukang
Oleh Euseclara Suah
Oct 7 2022
KARAMUNSING – CAC “Goes Green” telah diadakan di Catholic Archdiocesan Center (CAC) pada 21 September lalu untuk menggalakkan kakitangan memulakan kempen “Go Green”.
Dominic Lim berkata dalam ucapannya, “Menjadi ‘hijau’ adalah satu proses untuk mengubah cara hidup kita untuk menjaga ciptaan Tuhan.
“Saya berharap menjelang tengahari ini kita dapat mempelajari perkara baru dan memulakan langkah demi langkah untuk menjadi ‘hijau’,” katanya.
Dominic berterima kasih kepada semua kakitangan yang hadir dan berharap kempen “Goes Green” memberi kesedaran kepada semua kakitangan untuk mengamalkan hidup hijau.
Di dalam pembentangan slaid dengan tema Kempen PROTEC tahun ketiga iaitu Hentikan Pencemaran Plastik, Sr Terry Loukang, FSIC menyampaikan taklimat tentang ‘Zero-Waste Lifestyle’ kepada kakitangan yang hadir.
Sr Terry menerangkan konsep 7R’s (Refuse, Reduce, Reuse, Recycle, Rot(compost), Repair dan Repent) sebagai langkah menghidupi ‘Zero-Waste’.
Kakitangan CAC juga mengambil bahagian semasa demonstrasi kitar semula plastik terpakai yang mempunyai logam kepada dompet dengan bantuan para aspiran FSIC. Selain plastik terpakai, kain terpakai juga boleh dikitar semula menjadi beg tote.
Selesai taklimat, Sr Terry dan para aspiran FSIC membuat demonstrasi kompos di halaman belakang CAC untuk memberi pencerahan tentang cara membuat kompos dengan betul.
Tiga cara kompos yang ditunjukkan kepada kakitangan adalah Half Sunken barrel, Net barrel dan Trench Compost.
Program selesai pada jam 3.30 petang.