![](https://www.catholicsabah.com/wp-content/uploads/2024/08/eddly.jpeg)
Oleh ADP Catholic Sabah
KOTA KINABALU – Bersempena dengan sambutan Hari Belia Antarabangsa, pihak Catholic Sabah gembira menerima kunjungan daripada Eddly Adrian yang berkongsi pengalaman serta pandangan peribadinya berkenaan dengan belia masa kini, pada 29 Jul di pejabat Catholic Sabah.
Tentang sambutan Hari Belia Antarabangsa ini, pada 17 Dis 1999, Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan Hari Belia Antarabangsa disambut pada 12 Ogo setiap tahun bertujuan untuk membawa isu belia kepada perhatian masyarakat antarabangsa sekaligus meraikan potensi belia sebagai rakan kongsi dalam masyarakat global hari ini. Sambutan ini juga memberi peluang kepada belia untuk mengetengahkan suara, tindakan dan inisiatif golongan muda serta penglibatan aktif mereka yang bermakna, sejagat dan saksama.
Mengimbas kembali penglibatannya dalam pelayanan Gereja dan aktiviti belia, Eddly merupakan naib pengerusi yang pertama kepada Catholic Student Association (CSA) sekitar tahun 2006-2009. Dia juga bergiat aktif dalam pelayanan di St Francis Assisi, Cheras Selangor dan memegang jawatan sebagai Ketua Belia pada tahun 2010-2015 sebelum kembali ke Sabah atas tuntutan kerja. Menurutnya, hubungan di antara pelajar Katolik di Semenanjung sangat akrab seperti adik-beradik. Pelbagai aktiviti belia dianjurkan bersama oleh universiti tempatan dengan kerjasama paderi di paroki St Francis Assisi, bertujuan khususnya untuk pemantapan iman dan perkembangan rohani pelajar dan belia yang berasal dari Sabah.
Menurut Eddly, seperkara yang sangat berguna dan boleh diaplikasikan oleh golongan belia Katolik yang berasal dari Sabah sekiranya berpeluang melanjutkan pelajaran atau bekerja di Semenanjung ialah, cari persatuan Katolik yang terdekat dan turut serta dalam komuniti itu. Selain berjumpa dengan kenalan baru, sistem ini juga dipanggil sebagai sistem sokongan kita apabila berada di tempat yang baru.
Ditanya berkenaan dengan ekspektasi belia terhadap intipati penganjuran Sabah Youth Day 6 (SYD6), Eddly berkata, pihak penganjur harus mempunyai objektif yang jelas. Semestinya penganjuran kali ke-enam ini, tentatif program lebih teratur dan pengisian masa yang padat dan bersesuaian. Dalam masa yang sama, Eddly juga menyeru para belia untuk mempersiapkan diri dari aspek fizikal, mental dan rohani sebelum mengikuti kem SYD6 itu. Belia secara peribadi harus membuat renungan akan tujuan sebenar mereka menyertai program itu. Ada belia yang mengikuti program tersebut kerana diajak oleh rakan terdekat, ada yang berhasrat untuk mencari kenalan baru, ada yang ingin mendapat penyembuhan peribadi dan ada juga yang mahu mengenali Tuhan secara lebih dekat lagi. Walau apapun tujuan belia mengikuti program itu, haruslah bersandarkan kepada objektif pihak penganjur dan tema program.
Eddly juga mencadangkan agar para belia menyediakan satu senarai semak dan membuat penilaian kendiri sepanjang program itu berlangsung untuk membantu dan melihat secara terperinci sama ada visi dan misi peribadi oleh belia dalam mengikuti program itu telah tercapai ataupun tidak. Ini untuk memastikan hasil yang mereka harapkan daripada program itu tercapai dan pertumbuhan rohani belia sentiasa berkembang dari masa ke semasa.
Di akhir sesi temuramah, Eddly yang juga merupakan Pengurus Pemasaran di AMC University College telah memberikan sedikit penerangan berkenaan dengan profil dan program yang ditawarkan oleh kolej tersebut. Kolej itu menawarkan kursus jangka pendek, kursus yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Sabah, serta kursus profesional untuk golongan yang sudah bekerja. Selain itu, bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, kolej itu juga menawarkan program bermula dari kemahiran asas, program peringkat diploma sehingga peringkat ijazah kedoktoran.
Keterangan lebih lanjut bolehlah melayari laman sesawang kolej tersebut atau bertemu sendiri dengan pegawai perunding di pejabat AMC University College.
![](https://www.catholicsabah.com/wp-content/uploads/2024/08/eddly-rey-kimara-750x536.jpeg)