Fr Russell Lawrine (kanan) dan Fr Joshua Liew, merayakan Misa Kudus secara maya sempena Pesta Maria DiMahkotai pada 23 Ogos
Oleh Nelson Fernandez
26 Ogos 2021
KOBUSAK, Penampang – Di dalam Misa Kudus Pesta Maria DiMahkotai, Fr Russell berkata pada tahun 1954, Bapa Suci Pius ke-12 mengadakan Misa Kudus Perayaan “Annunciation Gabriel”, pada waktu itu Bapa Suci mengumumkan bahawa Maria akan menerima takhta Daud dan akan memerintah bersama Yesus selama-lamanya.
“Maria melawat sepupunya Elizabeth dan memanggil dia sebagai “Ibu Tuhanku” dan seperti dalam semua misteri kehidupan, kita dapat melihat Maria selalu berkait rapat dengan Yesus. Maria ada mengambil bahagian dalam pemerintahan bersama Yesus,” kata Fr Russell.
Gereja Our Lady Queen Of Peace, Kobusak di bawah Paroki St Paul Dontozidon telah merayakan Pesta Maria DiMahkotai, dalam Misa Kudus secara maya pada 23 Ogos jam 7.00 malam.
Misa dirayakan oleh Paderi Pembantu Katedral Paroki Hati Kudus, Fr Russell Lawrine dan Fr Joshua Liew.
Di dalam homily, Fr Russell berkata gereja amat bersyukur dengan kemudahan internet yang ada kerana umat masih dapat merayakan Misa Kudus Pesta Maria DiMahkotai secara maya melalui Zoom.
“Kita merayakan Maria Diangkat Ke Syurga, dan sekarang kita merayakan Queenship Santa Maria menjadi ratu syurga dan bumi yang diberi mahkota. Ini menunjukkan pada kita bahawa Bonda Maria layak menerima gelaran ini, kerana dia adalah ibu Tuhan yang mengambil bahagian dalam karya penebusan Tuhan Yesus.
“Kerana kesempurnaannya yang unggul dan sangat berkuasa, bila masa kita mohon doa kepada Bonda Maria, ia akan dikabulkan.
Pembacaan injil memberi kita gambaran bagaimana ia ada berkait rapat dalam perayaan yang kita sambut pada hari ini, kerana kita dengarkan melalui kerjasama Bonda Maria dengan Putera, penyelamatan telah hadir untuk kita semua.
“Perayaan ini juga mengajak atau menjemput semua umat sekali lagi untuk melahirkan Tuhan Yesus dalam diri masing-masing. Kita diminta untuk melahirkan Yesus dalam diri kita lebih-lebih lagi pada masa ini di mana banyak cabaran dan rintangan dalam kehidupan kita yang mana kita seolah-olah hidup dalam ketakutan, cabaran dan dugaan.
“Sebab itulah kita dijemput sekali lagi untuk melahirkan Yesus seperti mana Maria yang menerima Yesus pada hari ini.
“Seperti kita tahu, kedudukan Bonda Maria Diangkat ke Syurga, duduk di sisi kanan Yesus, dia dinobatkan sebagai ratu dan apa yang perlu kita lakukan pada hari ini sekali lagi adalah untuk berdoa.
“Walaupun kita hidup dalam ketakutan pada saat ini, kita harus serahkan doa kita kepada Bonda Maria kerana Bonda Maria lah yang paling dekat dengan Tuhan Yesus.
“Kita percaya kita minta Tuhan untuk terus melindungi kita, terus berjalan bersama kita dan terus lahir dalam diri kita. Apapun ketakutan yang kita alami saat ini, kita sentiasa yakin kita selalu dilindungi oleh Tuhan Yesus dan dalam masa yang sama kita harus menyerahkan ketakutan itu dalam doa kita.”