
Oleh AT Soccom KB
DARIPADA 82 peserta dari tiga keuskupan, seramai 26 umat St Hilary Timbang, Paroki Kota Belud telah mengikuti Ziarah di Sarawak pada 21-24 Feb 2025. Ziarah itu dirancang pada tahun lalu dan diurus oleh Eugene Holiday Travel.
Pada hari ketibaan para penziarah di Kuching, mereka melawat Gereja St Jude Bunan lalu berdoa Doa Kerahiman Ilahi yang dipimpin oleh Sr Rose Ginibun, FSIC selaku Pembimbing Rohani sepanjang ziarah. Mereka juga berkesempatan untuk mengadakan Jalan Salib di Taman Gethemane dan diteruskan dengan Doa Rosari serta suai kenal pada malam itu.
Hari berikutnya, para penziarah memulakan hari mereka dengan mengikuti Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Pratap sebelum bertolak ke destinasi seterusnya di St Peter Padungan. Tiba di destinasi, mereka membuat doa peribadi dan mendengar taklimat mengenai latar belakang pembinaan gereja itu oleh petugas yang menyambut para penziarah.
Selepas itu, mereka melawat Kolej St Peter, Kuching iaitu tempat pembentukan menjadi paderi. Kedatangan mereka disambut oleh Fr Francis Dakun yang juga memberikan taklimat kepada mereka.
Perjalanan diteruskan ke Gereja St Ann, Kota Pedawan dan mereka mengikuti Misa Kudus serta Adorasi Penyembuhan yang dipimpin oleh Fr Don Don lalu bertolak ke bandar Sri Aman.
Pada hari ketiga ziarah, para penziarah melawat dan mengikuti Misa di Bukit Hosana yang dipimpin oleh Fr Jerome Julang. Perjalanan mereka menuju ke gereja itu diuji dengan stamina fizikal di mana mereka menaiki 202 anak tangga.
Walaupun perjalanan ziarah mereka memenatkan disebabkan jarak setiap destinasi yang agak jauh dan memakan masa yang banyak, namun rata-rata semua peserta gembira serta bersemangat kerana ada peserta yang pertama kali mengikuti rombongan itu dan sampai ke tempat-tempat ziarah.
Ada peserta yang berkongsi dapat mengalami sentuhan Roh Kudus semasa Doa Penyembuhan yang dikendalikan oleh Fr Don Don.
Mereka juga berasa bertuah kerana dapat bersalaman dan bergambar bersama Fr Don Don dan para paderi yang memimpin Misa sepanjang ziarah.
Pengalaman yang mereka peroleh akan dikongsikan kepada umat di tempat masing-masing untuk meningkatkan semangat dalam pelayanan komuniti.
Para penziarah juga berterima kasih kepada penasihat rohani, Sr Rose Ginibun kerana setia bersama mereka dalam ziarah itu dan juga kepada Eugene Holiday Travel yang mengurus perjalanan ziarah mereka.
Mereka berharap dapat mengikuti ziarah seumpama itu lagi di masa hadapan jika ada peluang.