23 Okt 2021
SANDAKAN – Keadaan negara yang masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 masih sangat membimbangkan rakyat. Namun, ini tidak mematahkan semangat Tim Kerasulan Belia Keuskupan (KBK) Sandakan untuk terus mengadakan pelbagai program bagi semua belia khususnya di peringkat Keuskupan Sandakan.
Pada 3 Okt 2021, KBK telah mengadakan program Lawatan Pastoral Belia ke Paroki Sandakan. Program ini terbuka kepada semua umat dan diadakan secara virtual melalui aplikasi Zoom yang bermula dari jam 7:30pm.
Lawatan ini turut dihadiri oleh Fr Dafrin Diwol selaku Penasihat Rohani, Sr Rusiah fsic selaku Kordinator Kerasulan Belia Keuskupan dan Michael Phoon selaku Kordinator Kerasulan Belia Paroki Sandakan.
Program ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) iaitu Freddy Graman dan beberapa ahli MPP yang lain termasuklah Michael Lai, Adaris Sintan, Cristopher Aban dan Justine Marcus.
Tujuan utama lawatan secara virtual ini adalah untuk mengongsikan peranan dan fungsi Tim Kerasulan Belia sama ada di peringkat Keuskupan mahupun di peringkat Paroki di samping, memberi peluang kepada semua umat untuk mengenali barisan Tim Kerasulan Belia bagi sesi 2021-2023.
Perkongsian dimulai dengan pengenalan dan sejarah pembentukan Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan yang dikongsikan oleh Corey Felino dari Paroki Sandakan.
Tim Kerasulan Belia mengalami beberapa perubahan semenjak pembentukan pertamanya pada 3 Oktober 2009 namun itu tidak mengubah peranan dan fungsinya iaitu antara lain berkhidmat sebagai satu badan penasihat kepada uskup dalam segala hal berkenaan dengan belia terutamanya dalam merancang, melaksanakan serta menilai program-program belia.
Turut dikongsikan adalah maksud disebalik logo Kerasulan Belia yang dihasilkan oleh Arturo Teneros yang mana masih kekal penggunaannya sehingga pada hari ini.
Program diteruskan dengan pengenalan dan fungsi Kerasulan Belia Paroki (KBP) yang disampaikan oleh Fettwinda Sipaan dari St Martin, Telupid. Seperti KBK, KBP turut berfungsi menjadi penasihat kepada paderi dalam segala isu yang berkaitan dengan belia di paroki di samping, merancang, melaksanakan dan menilai sesuatu program.
Turut dikongsikan lima logo KBP dan tanah misi gereja iaitu Paitan yang mempunyai maksudnya tersendiri.
Selain itu, Fettwinda juga menyentuh tentang kemajuan digital dan kepentingan dalam menggunakan media sosial ini dengan bijaksanaan iaitu sebagai alat mengongsikan sebarang program dan pengisian rohani.
Perkongsian diakhiri dengan rumusan ringkas dan padat secara keseluruhan pelayanan kerasulan belia di diosis ini oleh Gregory.
Adalah menjadi harapan semua agar program lawatan seperti ini dapat membantu mendekatkan umat dengan gereja dan berjalan bersama khususnya para belia di paroki Sandakan di era digital ini. – DOSPO