Penanaman Pokok Avocado sebagai gimik perasmian yang disempurnakan oleh Uskup Cornelius Piong
Oleh Juanis Marcus
Aug 17 2023
BUNDU RANTAI, Apin-Apin – “30 tahun sudah kita lalui sebagai satu keuskupan, dan setiap kali kita merayakan UTK, saya akan mengingatkan anda agar hidup dalam “kekitaan”, atau berjalan bersama. Namun, mengapa berjalan bersama ini sangat penting terutama bagi keuskupan kita? Kerana dengan berjalan bersama kita dapat saling membantu,” tegas Uskup Cornelius Piong Ketika memberikan homili semasa Misa Kudus sempena perayaan 3-dalam 1, Peringkat Zon Apin-Apin yang diadakan di KUK Gereja St Petrus, Kg Rantai Bundu pada 22 Jul lalu.
Perayaan 3-dalam-1 itu adalah, Ulang Tahun Keuskupan Keningau peringkat Zon Apin-Apin, Ulang Tahun Pentahbisan Uskup Cornelius Piong dan Ulang Tahun Gereja St Petrus yang ke 51 tahun.
Uskup Cornelius turut menjelaskan, bahawa apabila kita mampu saling membantu, ini akan memudahkan setiap zon, kuk, komisi, kerasulan dan komiti dan akhirnya keuskupan untuk terus berkembang dari segi fizikal(pembangunan fizikal gereja) mahupun kerohanian umat di dalamnya.
“Semasa keuskupan kita ditubuhkan pada tahun 1993, saya agak risau bagaimana seharusnya saya membimbing umat di sini. Namun, kehidupan umat Kristian awal di bab 2 Kisah Para Rasul memberikan inspirasi kepada saya. Mereka hidup bersama, makan bersama dan berdoa bersama, memberi petanda bahawa mesej kesatuanlah yang harus saya pegang untuk mengembalakan umat di Keuskupan Keningau,” jelas prelatus itu panjang lebar.
Uskup yang memang sinonim dengan tema kekitaan itu juga menceritakan asal usul logo yang melambangkan hidup kesatuan iaitu corak, “Nantuapan”. Corak tersebut berasal dari suku kaum murut dan pada mulanya melambang tentang salah satu budaya suku kaum tersebut. “Namun setelah melihat logo tersebut, pertama-tama yang saya lihat adalah salib, dan Ekaristi yang dikeliling oleh umat,” jelas prelatus itu.
Pengerusi KUK St Petrus, Roger Jaunis pula mengucapkan terima kasih kepada Uskup Cornelius kerana sudi meluangkan masa untuk merayakan perayaan 3-dalam-1 ini. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang bukan sahaja menyumbang untuk perayaan tersebut tetapi juga sumbangan kepada pembangunan gereja. Pengerusi Zon Apin-Apin, Marcus Goh pula mengucapkan tahniah kepada umat di Gereja St Petrus kerana kesatuan merekalah perayaan kali ini berjaya dianjurkan. Beliau juga turut mengucapkan tahniah kepada Uskup Cornelius atas ulang tahun pentahbisannya.
Seusai Misa Kudus, Uskup Cornelius Piong memberkati Grotto dan juga Statue St Petrus di gereja tersebut. Prelatus itu juga menyempurnakan Gimik Perasmian Perayaan tersebut dengan menanam Pokok Avocado berdekatan dengan gereja. Uskup juga berkesempatan melawat pondok-pondok tradisional dan mencuba hidangan yang disediakan. Selain cabutan tiket bertuah, persembahan-persembahan tarian dari kuk-kuk dalam Zon Apin-Apin turut mewarnai perayaan tersebut.
“Sepanjang 51 tahun, bangunan gereja di KUK ini silih berganti, namun satu perkara yang tidak harus digantikan, iaitu kesetiaan kita kepada Yesus Kristus,” tegas Uskup Cornelius menutup homilinya.
Uskup Cornelius Piong melawat ke pondok-pondok tradisional